Ahad, 2 Jun 2019

CATATAN (33) - MURID MATI LEMAS DALAM PARIT


Ketika masih bertugas di SRA Simpang 5, Sungai Besar pernah berlaku nahas kemalangan agak berat ke atas seorang murid lelaki berumur sekitar 10 tahun. Murid tersebut telah patah di bahagian pergelangan tangan kanan akibat bermain bersama rakan-rakan waktu rehat separuh masa.

Saya telah diberitahu oleh seorang rakannya kejadian yang berlaku. Apabila saya teliti, memang benar tangan murid itu patah terkulai ( patah tebu ) di antara pergelangan tangan ke siku. Waktu itu saya lihat tangan yang patah sudah mula membengkak walaupun tidak mengeluarkan darah. Murid berkenaan juga sudah mula menangis melihat tangannya dalam keadaan begitu.

Dengan tidak membuang masa saya terus membawanya menaiki kereta dengan ditemani seorang rakannya ke rumah seorang tukang urut patah tulang yang saya kenali , di Kampung Parit Cangkat . Jauhnya hanya sekitar dua kilometer sahaja dari sekolah saya . Beliau bernama Haji Sudaif, tapi dikalangan penduduk beliau lebih dikenali dengan panggilan ' Wak Bugal ' sahaja. Beliau juga adalah seorang ' pakar ' mengurut patah tulang  yang terkenal hingga ke luar daerah Sabak Bernam !.

Setelah selesai diurut dan ' dijampi ' dan diberitahu tidak mudharat apa-apa tentang kecederaannya, murid berkenaan saya bawa pulang ke sekolah semula. Saya juga memberitahunya supaya  ' cuti ' bersekolah sementara keadaan tangannya pulih semula.

Namun pada hari persekolahan keesukan hari, saya diberitahu oleh guru kelas bahawa murid berkenaan telah datang bersekolah semula dan tangannya yang patah petang semalam telahpun pulih seperti sedia kala !. Al hamdulillah....

Walaupun peristiwa itu agak malang , kisah yang berlaku kepada murid semasa saya bertugas di SRA Parit 9, Sungai Besar adalah lebih mengerikan dan menjadikan perasaan saya amat sedih serta terharu sekali.....

Peristiwa itu berlaku pada suatu hari persekolahan selepas murid-murid tahap satu ( darjah satu, dua dan tiga ) dibenarkan pulang sekitar jam 5.30 petang. Kebanyakan guru bertugas tahap dua ( darjah emapat, lima dan enam ) sudah mula masuk ke kelas masing-masing untuk memulakan pelajaran baru.

Waktu itu saya sedang berada di bilik rehat guru, tingkat dua bangunan sekolah blok (B) , sementara menunggu giliran mengajar mata pelajaran terakhir. Tiba-tiba saya diberitahu oleh seorang guru ada sebuah kereta masuk ke dalam parit besar ketika hendak menyeberangi jambatan Sekolah Kebangsaan Seri Bahagia yang jaraknya tidak sampai 100 meter dari sekolah saya. Dipercayai juga ada murid kena langgar sebelum kereta tersebut masuk ke dalam parit besar di hadapan sekolah.

Saya bergegas pergi ke tempat kejadian. Ramai juga guru tahap satu yang telah tamat waktu mengajar turut serta ke sana.

Di tempat kejadian, memang benar sebuah kereta tenggelam dalam parit besar. Pemandunya ialah seorang jaga ( pekerja keselamatan ) di Sekolah Kebangsaan Seri Bahagia yang tinggal di rumah kediaman kawasan sekolah tersebut bernama Encik Sohor. Beliau baru sahaja dapat diselamatkan dari dalam kereta yang tenggelam oleh ramai penjaga murid yang datang mengambil anak mereka pulang dari sekolah.

Selain Encik Sohor, seorang murid perempuan berusia sekitar lapan tahun yang di langgar kereta turut dapat diselamatkan. Murid tersebut dalam keadaan truma dan menangis serta pakaian sekolahnya turut basah kuyup.

Saya dipahamkan, Encik Sohor baru sahaja membeli kereta beberapa hari lalu. Beliau belum biasa memandu memasuki jambatan untuk menyeberang ke kawasan sekolah dan rumah pekerja di situ.

Semasa membeluk masuk jambatan dari jalan besar Sungai Besar - Bagan Terap ramai murid berada di muka jambatan menunggu penjaga masing-masing untuk balik ke rumah. Oleh kerana belum biasa memandu, sekumpulan murid-murid di situ terlanggar oleh beliau dan menyebabkan keretanya  menjunam masuk ke dalam parit besar. Mujur, beliau sempat keluar dari dalam kereta yang tenggelam dengan dibantu orang ramai di tempat kejadian.

Murid yang dapat diselamatkan tadi sebenarnya hanya tercampak ke dalam parit ketika dilanggar kereta dan telah dapat diselamatkan segera oleh orang ramai yang membantunya naik ke darat. 

Dalam suasana kelam kabut begitu, saya mendapat tahu dari rakan murid-murid yang terselamat bahawa ada seorang lagi rakan mereka ketika kumpulan murid itu dilanggar kereta. Saya beritahu kepada orang ramai hal tersebut dan beberapa orang penjaga telah terjun ke dalam parit mencari seorang lagi mangsa disyakki....

Setelah usaha mencarinya dilakukan beberapa ketika , hanya sebelah kasut sekolah dijumpai berhampiran kereta yang telah tenggelam di situ. Maka sahlah memang ada seorang lagi murid telah ditindih kereta dalam air dan usaha mengeluarkannya gagal disebabkan terbenam dan ditindih kereta yang dipenuhi air dan lumpur !.

Tindakan seterusnya, pihak bomba dan penyelamat telah dihubungi untuk memberi pertolongan kecemasan !....

Akhir dari peristiwa ini, seorang murid perempuan berusia sekitar lapan tahun, cucu kepada kenalan saya di Kampung Parit 8 Barat, telah mati lemas akibat dilanggar dan ditindih oleh kereta Encik Sohor yang tenggelam ke dalam parit di situ......

Peristiwa sedih ini telah menjadi ' bahan berita ' kepada saya sebagai watawan akhbar dan turut disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia pada hari berikutnya....( semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh murid berkenaan ).

Namun, saya merasa inilah peristiwa paling sedih dan sayu apabila dikenang semula sepanjang kerjaya saya sebagai seorang guru,  berbanding dengan musibah atau kemalangan lain yang  pernah menimpa ke atas murid.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan