Sabtu, 1 Jun 2019

CATATAN ( 32 ) - KEMBARA BERBASIKAL


Aktiviti ko kurikulum terutama berbentuk riadah di kebanyakan Sekolah Rendah Agama (SRA) daerah Sabak Bernam rata-rata amat terhad. Ini disebabkan ketiadaan kemudahan padang permainan seperti yang terdapat di Sekolah Rendah Kebangsaan. Malah terdapat juga sekolah SRA terhad kepada melakukan aktiviti ko kurikulum dalam bilik darjah sahaja.

Oleh kerana itu, terdapat di kalangan murid SRA merasakan sedikit kekecewaan  dengan keadaan itu apabila mereka datang bersekolah di SRA pada sebelah petang . Kerana pada sebelah pagi waktu mereka belajar di Sekolah Rendah Kebangsaan turut diadakan juga aktiviti kokurikulum luar bilik darjah.

Menyedari hal tersebut, ketika bertugas sebagai guru besar di Sekolah Rendah Agama Parit 6 Timur saya menyarankan kepada guru kokurikulum supaya murid-murid dapat juga mengikut aktiviti kokurikulm di luar . Saranan saya mendapat sambutan baik dari kalangan guru dan mereka menyifakannya sebagai satu cadangan ' baru ' yang belum pernah diadakan sebelum ini.

Saranan saya , supaya murid-murid diberi peluang juga memerhati keadaan di luar kampung sendiri sambil beriadah melalui aktiviti ' kembara berbasikal ' yang julung-julung kali diadakan oleh pihak sekolah di situ.

Sambutan dari kalangan murid amat memberangsangkan sekali apabila guru berkenaan memberitahu kepada kalangan murid berhubung ' projek ' yang akan diadakan nanti. Ini jelas sekali dengan permintaan ramai murid tahap satu ( darjah satu , dua dan tiga ) ingin turut sama dalam aktiviti kembara berbasikal yang diadakan nanti, walaupun ianya ditentukan kepada murid  tahap dua ( darjah empat, lima dan enam ) sahaja.

Amat membanggakan saya , projek tersebut turut disertai juga oleh murid dan guru dari SRA berhampiran iaitu SRA Parit 9  , melalui kerjasama Ustaz Abd.Rahman bin Anuar , guru kokurikulm sekolah tersebut. Beliau pernah bertugas  di SRA Sungai Limau , semasa saya bertugas sebagai guru besar di situ beberapa tahun dahulu.

Bagi langkah keselamatan, semua peserta yang ingin menyertainya perlu mendapat kebenaran dari penjaga masing-masing lebih dahulu, selain memiliki basikal yang selamat digunakan . Mereka juga perlu membawa bekalan makan minum sendiri. Kerana aktiviti tersebut berlangsung sehari suntuk dan melibatkan perjalanan lebih 20 kilometer !.

Pada hari ditentukan, selain dari semua guru yang terlibat sebagai pengawas sepanjang perjalanan menggunakan kenderaan motorsikal masing-masing, saya juga telah memandu sebuah kenderaan van yang digunakan jika berlaku kecemasan, membawa bekalan makanan murid serta peralatan membaiki basikal sekiranya ada berlaku kerosakan sepanjang perjalanan nanti.

Sebelum memulakan perjalanan, semua peserta yang berjumlah lebih 100 orang dari dua buah SRA itu telah diberi taklimat khas peraturan dan keselamatan sepanjang perjalanan di bawah pengawasan guru-guru ditetapkan.

Mereka juga diberitahu jalan-jalan kampung ditentukan yang akan dilalui nanti serta tempat-tempat rehat dibenarkan, selain tempat perhentian terakhir untuk makan tengah hari dan solat zohor sebelum perjalanan pulang.

Apa yang membanggakan saya, sepanjang perjalanan kami ramai penduduk kampung yang dilalui turut keluar rumah dan memerhati kumpulan murid berkenaan  . Mereka agak terpinga-pinga, malah ada yang bertanya tujuan murid-murid berbasikal begitu ramai !.

Selain itu , kami turut mendapat kerjasama erat dari pihak trapik Balai Polis Daerah , Sungai Besar yang turut membantu murid-murid waktu melintasi jalanraya Sabak Bernam - Kuala Selangor yang sentiasa sebuk dengan  banyak kenderaan lalu lalang sepanjang masa.....

Kejayaan kembara berbasikal ' kali pertama'  dianjurkan oleh SRA Parit 6 Timur itu akhirnya menjadi ' ikutan ' pula kepada kalangan guru dan murid di SRA Parit 9, apabila saya bertukar tugas ke sekolah tersebut dari SRA Parit 6 Timur beberapa tahun kemudian.

Hasil kejayaan kokurikum diadakan, saya berpendapat guru-guru bertugas di SRA perlulah memikirkan dan melaksanakan ' sesuatu yang baru ' di sekolah masing-masing. Supaya murid-murid tidak merasakan ' ada perbezaan ' ketara antara belajar di SRA pada sebelah petang dan belajar di Sekolah Rendah Kebangsaan pada sebelah pagi.

Saya juga berpendapat, sebahagian dari punca murid-murid di SRA agak sukar hendak didisiplinkan dalam banyak keadaan ( mengikut dakwaan ramai guru SRA ), kerana murid berkenaan merasakan terdapat perbezaan suasana di antara dua aliran sekolah tempat mereka belajar. Perbezaan itu ialah dari segi pelaksanan kokurikum sedia ada di sekolah-sekolah berkenaan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan