Isnin, 28 Julai 2014

CATATAN (8) - MINAT JADI PENULIS DAN PELUKIS.


 
Tidak dinafikan, minat saya dalam bidang penulisan dan lukisan adalah berpunca dari pembacaan. Dalam tahun 50an ada diterbitkan majalah untuk murid sekolah rendah bernama Hiburan Kanak-Kanak menggunakan tulisan Rumi. Majalah berukuran separuh akhbar tabloid itu dijual dengan harga 10 sen senaskhah. Saya kurang pasti ianya diterbitkan oleh penerbitan mana.

Kemudian dalam tahun 60an selepas tamat bersekolah rendah ada pula akhbar terbitan Utusan Melayu bernama Utusan Kanak-kanak. Akhbar ini menggunakan tulisan Jawi dan dijual terbuka di kedai-kedai buku dengan harga 20 sen senaskhah.

Dalam Utusan Kanak-kanak ada halaman komik yang dilukis oleh Rosdin Tangkak. Lukisan komik tersebut mengisahkan pengembaraan dua orang pelajar bernama Roslin dan Roslina ke alam angkasa lepas. Cerita pengembaraan tersebut sebenarnya hanyalah lahir dari khayalan mimpi Roslin  yang tertidur di atas sebuah pangkin / bangku panjang !.

Saya amat meminati komik tersebut !. Hinggakan , jika akhbar Utusan Kanak-Kanak habis dijual di pekan Sungai Besar, saya akan pergi mencarinya di kedai buku pekan Sabak Bernam. Atau saya meminjam dari kawan-kawan. Semata-mata ingin mengikuti jalan ceita komik berjodol 'Pengembaraan Roslin dan Roslina,

Kerana berminat dalam lukisan komik , saya berusaha mengikuti kursus melukis secara pos di Singapura beberapa bulan, selain membeli banyak buku komik yang dilukis oleh pelukis-pelukis waktu itu yang menggunakan dialog dalam tulisan Jawi . Hasil dari mengikuti kursus melukis cara pos dan melihat lukisan dari buku-buku komik yang dibeli, saya dapat menghasilkan sebuah buku komik diberi nama Panglima Hitam..

Malangnya , komik itu tidak dapat saya terbitkan. Kerana pencetak / penerbitan buku komik waktu itu banyak diterbitkan oleh Penerbitan Geliga yang berada di Singapura. Sedangkan saya waktu itu amat jahil tentang bagaimana untuk menghantar karya lukisan komik ke pihak penerbitan , selain hanya mengetahui cara menghantar surat kiriman biasa sahaja yang menggunakan stamp 10 sen sepucuk surat waktu itu.....

Dalam Utusan Kanak-Kanak terdapat berbagai halaman. Seperti halaman cerpen, surat pembaca, halaman karya / teka teki dan juga berita. Saya selalu mengikuti surat-surat pembaca yang ditulis oleh penulis-pemulis yang kebanyakannya dari negeri Johor berkenaan persatuan  penulis Johor . Ada juga sekali sekala menghantar kayra ke halaman teka teki dan juga lukisan gambar tersembunyi. Namun , tidak semua karya saya hantar telah disiarkan. Waktu itu, saya pun tidak tahu kenapa ada karya tersiar dan ada yang tidak.....

Semasa saya bersekolah agama di Madrasah Ubudiah Parit Enam, ada seorang wartawan / pemberita Akhbar Mambang yang diterbitkan oleh Utusan Melayu ( kalau tidak silap ! ) yang saya kenal bernama Abd.Hamid bin Ash'ari. Saya banyak bertanya kepada beliau tentang tugasan seorang wartawan / pemberita. Beliau adalah seorang peserta  kursus kewartawanan cara pos di Singapura .

Dalam waktu yang sama, saya telah berkenalan pula dengan seorang guru agama bernama Mohd. Hafizuddin bin Ismail yang sama-sama mengambil kursus pos kewartawanan dengan Abd.Hamid bin Ash'ari. Saya telah meminjam naskhah-naskhah kursus dari beliau untuk panduan menulis di akhbar mengikut peraturan yang sebenar.

Apabila akhbar Utusan Kanak-Kanak ditukar kepada Utusan Pelajar yang menggunakan tulisan Rumi, saya sering menghantar berita dan karya ke akhbar tersebut . Banyak juga karya saya tersiar. Namun , tidak ada sebarang bayaran saya terima dari pihak akhbar tersebut waktu itu .....

Walaupun begitu, saya amat merasa bangga dan dihargai kerana berita dan karya yang saya tulis hanya dengan tulisan tangan sahaja,  telah dapat disiarkan akhbar !..

Selain menghantar berita dan karya di akhbar Utusan Pelajar, saya juga gemar membaca nobel dan majalah hiburan  yang selalu dibeli oleh abang saya, seperti akhbar Gelanggan Filem, Majalah Fesyen , Utusan Filem dan Sport dan lain-lain. Halaman yang saya minati ialah halaman cerpen.

Kebetulan waktu itu di Radio Malaya dan Radio Singapura ada halaman membaca cerpen. Dari situ, saya mula berminat pula untuk membaca cerpen. Dalam pertandingan membaca cerpen anjuran sekolah dan Persatuan Muda Mudi ( Persatuan Belia waktu itu ) saya sering ikut serta dalam pertandingan dan mendapat kejayaan.

Saya masih ingat, dalam pertandingan membaca cerpen anjura Persatuan Muda Mudi  Parit 6, Sungai Besar, saya telah berjaya memenangi hadiah tempat pertama  dengan  membaca  cerpen  hasil karya saya sendiri berjodol  ' Wartawan Mambang '. Cerpen itu saya hasilkan merujuk kepada pengalaman Abd.Hamid bin Ashari sebagai seorang wartawan  / pemberita Akhbar Mambang di daerah Sabak Bernam yang sering tidak mendapat kerjasama orang ramai bagi mendapat sesebuah berita tempatan dan hampir-hampir beliau mohon berhenti dari pihak akhbarnya.

Untuk makluman, salah satu halaman popular yang ada dalam Utusna Pelajar ialah ' Sahabat Pena ". Saya adalah salah seorang yang telah berdaftar sebagai Sahabat Pena waktu itu. Kami sering berutus surat sesama rakan Sahabat Pena seluruh negara.

Saya akhirnya dapat berkenalan dengan seorang penulis tetap halaman agama Utusan Pelajar yang menggunakan nama pena ' Abha Zin '. Melalui perkenalan surat , saya dapat tahu beliau adalah seorang pelajar di Kolej Islam , Klang dan nama sebenar beliau ialah Shahari bin Mat Janah.

Shahari bin Mat Janah kemudian telah menjadi kenalan rapat sejak saya menjadi guru .Beliau juga adalah seorang guru agama , bertugas di salah sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan di daerah Sabak Bernam kemudian bertukar ke daerah Hulu Selangor hingga bersara. Beliau kemudian menetap di Kampung Sungai Limau, Sungai Besar.

Semasa  saya baru menjadi guru, di sebuah akhbar tempatan terdapat  iklan  tentang kursus pos kewartawanan. yang dianjurkan oleh Yayasan Bakti , Kampong Baru , Kuala Lumpur.  Saya diberitahu, pengelola kursus adalah bekas wartawan akhbar , bernama Encik Abd.Ghani bin Ahmad. Dengan tidak melepaskan peluang saya terus mendaftarkan diri.dan mengikuti kursus tersebut.


1 ulasan:

  1. Assalamualaikum,

    Terima kasih diucapkan kepada cikgu kerana menukilkan pengalaman cikgu bersama ayahanda saya Haji Shahari

    BalasPadam