Selasa, 13 Ogos 2019

CATATAN ( 39 ) - RAMALAN PESAWAH JADI KENYATAAN.......


Sekitar tahun 80 an saya pernah membuat tinjauan akhbar dan temubual dengan kalangan pesawah berhubung penggunaan racun serangga yang digunakan oleh mereka waktu itu. Saya tertarik membuat tinjauan dan temubual tersebut kerana waktu itu sering diperkatakan bahawa berbagai jenis ikan yang didapati dalam sawah akan mati selepas penggunaan sejenis racun serangga yang mereka kenali sebagai ' racun tengkorak '.


Pada mulanya saya bertanya sendirian kenapa racun tersebut dikenali sebagai ' racun tengkorak '  .  Kerana tidak ada perkataan ' Racun tengkorak ' ditulis oleh pembuatnya pada label botol racun berkenaan. Setelah saya selidiki, rupa-rupanya memang ada gambar ' tengkorak bersilang tulang ' pada label botol berkenaan sebagai tanda amaran berjaga-jaga !. Bukanlah kerana nama racun tersebut dilabelkan sebagai ' Racun tengkorak ! '......


Memang benar. Selepas racun serangga tersebut disembur di kawasan sawah bagi membunuh serangga pada pokok padi yang mula membesar, selang beberapa jam kemudian semua ikan yang ada dalam air sawah termasuk juga belut atau ular air ( jika ada di dalam sawah ketika itu ) semuanya akan menjadi ' mabuk '  dan timbul dipermukaan air . Dalam beberapa ketika kemudian, hidupan tersebut akan mati dan timbul terdampar dipermukaan air  sawah !.


Oleh kerana racun tersebut diketahui amat ' mujarab ' membunuh serangga dan hidupan lain, tidak ada pesawah yang berani memakan ikan yang jadi mabuk itu , walaupun terdapat ikan yang besar-besar dan boleh dibuat lauk.


Sebenarnya, semasa saya membuat tinjauan dan kemudian telah disiarkan oleh akhbar Utusan Melayu berhubung kesan racun serangga tersebut, kebanyakan pesawah kawasan Panchang Bedena dan Sungai Panjang telahpun menggunakannya beberapa musim lepas. 


Kebetulan pada waktu itu juga kempen menggunakan racun serangga mencegah penyakit padi sedang giat dilakukan oleh Jabatan Pertanian, sebagai langkah pencegahan musuh padi dan untuk meningkatkan  hasil pendapatan.

Selang beberapa minggu dari artikel tersiar , saya telah diberitahu oleh Pegawai Pertanian Daerah Sabak Bernam ( memang saya kenali beliau ) menyatakan bahawa Pengarah Pertanian Negeri Selangor telahpun  mempersoal tinjauan dan temubual yang saya lakukan itu.....


Saya diberitahu , tinjauan dan temubual saya dengan pesawah ' dipersoalkan ' kerana saya memuatkan ' ramalan ' mereka bahawa ikan di sawah akan pupus suatu ketika nanti, jika pesawah berterusan menggunakan racun serangga jenis tersebut pada musim-musim tanaman padi akan datang.


Dikatakan juga, ramalan pesawah itu tidak berdasarkan kepada hasil ' kajian pihak jabatan ' yang bertujuan meningkatkan hasil pendapatan mereka. Maklumat lebih ' keras ' lagi,  saya telah diberikan sebagai ' amaran ' supaya tidak membuat temubual dan andaian yang mungkin boleh  ' menggagalkan ' rancangan jabatan atau ' pandai-pandai ' membuat ramalan sendiri !.......


Selepas ' amaran ' tersebut saya tidak merasa khuatir dan kecewa di atas tinjauan dilakukan. Malah saya turut merasa yakin apa yang diramalkan oleh pesawah berkenaan memang ada kebenarannya.


Ini kerana saya yang juga sebagai ' pesawah sambilan '   turut meyakini ikan dalam sawah akan pupus dalam tempuh sekitar 10 tahun atau lebih jika penggunaan racun serangga dilakukan pada tiap musim, kerana faktor benih ikan tidak dapat membiak di sawah berikutan sistem tanaman padi dua musim bagi setahun telah dilakukan.


Kalau pada masa tanaman padi semusim bagi setahun dahulu, air akan berada dalam sawah hampir empat bulan lamanya. Di mana pada tempuh tersebut anak ikan sempat membesar dan membiak, berbanding masa tanaman padi dua musim bagi setahun, yang mana air dalam sawah hanya berada kira-kira dua bulan lebih sahaja.


Akhirnya apa yang telah berlaku ?.......Sekitar tahun 2000 ramalan pesawah tersebut telahpun jadi kenyataan !.......


Sekarang di kawasan sawah padi tidak ada kolam ikan yang sengaja dikorek oleh pesawah untuk ikan berkumpul apabila air sawah mula dikeringkan. Hampir tidak ada lagi ikan yang boleh dipancing dalam sawah ketika musim padi membesar dan mula menguning. Tidak ada juga ikan haruan yang besar berat hampir tiga kilo seekor. Tidak ada lagi pesawah menjala ikan dan kaum wanita memasang ' tangkul ' di pintu-pintu air , kertika air parit dilepaskan mengalir ke laut.


Malah agak ' menggelikan hati ' para pesawah yang suatu ketika dahulu pernah memperolehi ikan berpuluh kilo selepas menjala ikan dalam parit besar kemudian menjualnya kepada peraih bangsa Tionghua / Cina, sekarang mereka terpaksa membeli ikan laut pula di pasar-pasar tempatan untuk dijadikan lauk harian !.


Memang benarlah ramalan pesawah dahulu dan ' kajian ' pihak berkenaan agak tersasar sekarang !...... 






Tiada ulasan:

Catat Ulasan