Isnin, 10 Jun 2019

CATATAN ( 36 ) - JADI AGEN UMRAH SAMBILAN.



Selepas menunaikan fardhu haji kali pertama , saya sudah menaruh cita-cita dan harapan hendak pergi ke Mekah lagi untuk menunaikan umrah. Kerana saya merasa seolah-olah ' belum puas hati ' dengan ibadah-ibdah yang saya lakukan di sana.

Pemergian saya dan isteri ke Mekah dianggap ' bertuah ' kerana saya pergi menunaikan fardhu haji bersama dalam jamaah , Ustaz Haji Abd.Latif bin Abd.Shukur, yang juga bekas guru saya semasa belajar di Madrasah Ehyaul Falah dahulu . 

Walaupun begitu, sering kali semasa hendak pergi melakukan ibadah haji dan umrah saya merasakan seolah-olah ' terpaksa ' mengikut arahan , bagi mengelakkan ahli jamaah kami tidak ada yang ketinggalan atau tercicir melakukan perbuatan-perbuatan seperti dikehendakki.

Untuk pengetahuan, urusan pemergian kami ke Mekah waktu itu memang diuruskan oleh Lembaga Tabung Haji. Tetapi waktu itu masih belum ada lagi pengurusan  ' muassahah ' seperti sekarang. 

Setibanya kami di Mekah , sema urusan di sana dan juga urusan di Madinah akan diambil alih oleh seorang  ' syekh haji ' bernama Syekh Ayob Ibrahim Kedah. Pengurusan dilakukan oleh syekh haji tersebut termasuklah menyediakan penginapan, makan minum, pengangkutan dan masalah berkaitan dengan kesihatan dan kebajikan umum.

Oleh kerana gaji bulanan saya pada masa itu baru sekitar RM 200 maka saya terpaksa ' berjimat ' selain menambah dengan pendapatan saya mengerjakan sawah padi tiap musim, sebagai persediakan tambang menunaikan ibadah umrah yang berjumlah sekitar RM 3,000 seorang.

Sekitar tiga tahun kemudian, tabungan saya untuk pergi menunaikan umrah bersama isteri telahpun mencukupi. Bagi urusannya, saya terpaksa melalui agen umrah yang berada di Kuala Lumpur. Kerana pada waktu itu agen umrah tidak ada dan tidak banyak wujud di daerah-daerah seperti sekarang.

Semasa berada di Madinah menunaikan umrah, saya bertemu dengan rakan guru dari daerah Kuala Langat bernama Ustaz Haji Mohd,Idris bin Othman. Dalam perbualan , beliau mempelawa saya bersamanya jika hendak menunaikan umrah pada masa hadapan.

Beliau memberitahu , selain tambang umrah bersama beliau lebih murah dari agen tersebut malah bilangan hari berada di Mekah dan Madinah juga lebih lama.

Selain itu, beliau turut memberi tawaran saya mendapatkan pelanggan umrah dari daerah Sabak Bernam serta akan diberi ' saguhati ' atau komesyen perkepala setiap pelanggan umrah yang turut serta kelak.

Tawaran beliau saya telah terima . Maka mulai dari tahun berikutnya saya telah pergi bersama beliau menunaikan umrah serta menjadi pembantu para jamaah semasa di Mekah dan Madinah.  Saya juga diberi ' saguhati ' mengikut kadar  bilangan jamaah umrah turut serta dari daerah Sabak Bernam .

Walaupun wang tambang penerbangan tiap kali saya pergi menunaikan umrah dari wang sendiri , wang saguhati yang diterima dari beliau telah dapat mengurangkan jumlah bayaran sedia ada.

Alhamdulillah, selama saya menjadi agen umrah sambilan dan beliau bekerja dengan beberapa agen umrah seperti Utas Travel , Elmona Treval dan terakhir dengan CS Travel saya telah dapat membawa isteri dan lima orang anak turut menunaikan umrah secara bergilir-gilir pada tiap tahnun.

Saya berhenti menjadi agen umrah sambilan kepada beliau pada tahun 2000. Kerana mulai tahun itu, wang gaji bulanan saya telah digunakan bagi pembiayaan pelajaran anak-anak belajar di universiti tempatan. 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan