Isnin, 3 Jun 2019

CATATAN ( 34 ) - DAPAT SUMBANGAN ' ANAK YATIM '


Pada umumnya wakil-wakil rakyat dan pemimpin-pemimpin politik ' gemar ' kepada publisiti , supaya aktiviti yang mereka lakukan dapat diketahui oleh orang ramai dan tidak secara langsung akan menaikkan ' imej ' mereka. Satu cara paling berkesan untuk tujuan itu ialah melalui hebahan siaran akhbar .

Kerana itu, saya sebagai wartawan akhbar sering dihubungi oleh wakil-wakil rakyat dan pemimpin politik di peringkat cawangan dan bahagian untuk membuat liputan akhbar aktiviti mereka .

Oleh kerana itu , saya begitu rapat dengan beberapa orang wakil rakyat di kawasan parlimen Sabak Bernam, parlimen Tanjong Karang dan parlimen Kuala Selangor yang termasuk dalam ' kawasan ' tugasan saya.

Di kawasan parlimen Sabak Bernam saya kenal rapat dengan ADUN Sabak iaitu YB Mohd.Yusof Abd.Latif  , di parlimen Tanjong Karang ialah Ahli Parlimen Tanjong Karang yang juga Ketua  UMNO Bahagian, YB Dato Haji Kamaruzaman Ahmad dan di parlimen Kuala Selangor YB Mohd, Yusof Hasan ADUN Sungai Tinggi yang juga bekas rakan penulis dalam pesatuan penulis KEMUDI.

Oleh kerana semua wakil rakyat tersebut dari parti politik UMNO maka ramai pemimpin dan ahli parti PAS  beranggapan saya adalah ' orang kuat UMNO ' . Pada hal saya tidak aktif dalam mana-mana parti politik yang ada pada masa itu .

Kerana anggapan tersebut juga , pernah saya ' dicap ' oleh beberapa pemimpin parti PAS sebagai ' kaki bodek UMNO '. Padahal yang sebenarnya, mereka kurang menghubungi dan memberitahu saya aktiviti dilakukan , menyebabkan tidak ada ' bahan ' yang saya hendak hebahkan melalui akhbar bagi pihak parti PAS .

Saya masih ingat kata-kata pesanan , Encik Abd.Ghani Ahmad selaku pembimbing  saya semasa mengikuti kursus kewartawanan dahulu . Supaya sentiasa mengamalkan slogan kewartawanan iaitu : Wartawan itu ratu adil ! . Maksudnya, semasa membuat liputan akhbar kita perlu ' berdiri di tengah-tengah ' dan tidak memihak ke mana-mana, walaupun ianya bertentangan dengan kemahuan dan pendapat kita sendiri.......

Berbalik kepada hubungan baik saya dengan wakil-wakil rakyat , sehubungan itu saya sering dipelawa menikmati jamuan bersama-sama dengan tetamu kenamaan dalam satu-satu majlis rasmi yang saya hadhiri. Selain itu, saya juga sering menerima ' sumbangan '  sempena majlis diadakan.

Sebagai contoh, suatu ketika Ahli Parlimen Tanjong Karang , YB Dato' Haji Kamaruzaman Ahmad mengadakan majlis sumbangan Hari Raya kepada anak-anak yatim dan kumpulan asnaf di rumah kediaman beliau di Tanjong Karang. Saya turut hadhir membuat liputan di situ.

Selepas majlis tamat dan jamuan hendak bermula, saya diminta oleh juruacara majlis turut menikmati jamuan bersama tetamu lain dan sebelum itu diminta berjumpa dengan YB Dato' Haji Kamaruzaman . Saya berpendapat , tentu beliau ingin memberiahu sesuatu kepada saya maklumat baru selain maklumat dalam ucapannya tadi.

Sangkaan saya rupanya salah !.

Apabila bertemu , beliau telah ' menghadiahkan ' saya sehelai kain sarung atau lebih dikenali ' kain pelikat ' , sama seperti diberi kepada anak-anak yatim tadi. 

Sambil menghulurkan kain sarung kepada saya beliau berkata, " Ini sumbangan untuk ustaz.... " . Saya ucapkan terima kasih dan berkata sambil bergurau , " Saya ni bukan anak yatim lagi ,Dato..... " .

" Bukan begitu. Ini hadiah ikhlas dari Dato'.... ", ujar beliau sambil menjemput saya duduk bersama tetamu menikmati jamuan disediakan.

Seingat saya , ada beberapa kali saya turut menerima sumbangan begitu selama beliau menjadi Ahli Palimen Tanjong buat beberapa penggal. Walaupun begitu, hubungan baik dengan beliau tidak menyebabkan saya seorang wartawan yang boleh ' dicucuk hidung ' atau sentiasa bersetuju dengan tindakan beliau yang dianggap tidak sesuai atau bertentangan dengan norma-norma keadilan !.


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan