Rabu, 24 Januari 2018

CATATAN ( 13 ) - SATU MASA DUA TUGAS.





Sepanjang bertugas sebagai wartawan sambilan di daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor, banyak kali saya dapat melaksanakan  ' dua tugas dalam satu masa '. Tugas pertama, tugas sambilan sebagai wartawan dan kedua tugas hakiki sebagai guru agama  di Jabatan Agama Islam Selangor ( JAIS).

Sebagai contoh, sering kali saya diarah oleh pihak ( JAIS ) supaya hadhir dalam program-program anjuran jabatan seperti seminar, wacana dan sebagainya yang diwajibkan ke atas semua guru agama atau khusus kepada guru-guru besar sekolah sahaja; di mana saya adalah salah seorang penyandang jawatan tersebut.


Kebiasaannya program JAIS peringkat negeri Selangor diadakan di Dewan Jubli Perak , Shah Alam yang turut dihadhiri oleh Pengarah JAIS atau Exco Kerajaan Negeri Selangor atau Menteri Besar (MB) sebagai perasmi.


Oleh kerana saya memang sedia hadhir dalam program tersebut, maka mudahlah saya mendapatkan maklumat-maklumat semasa pihak JAIS atau kerajaan negeri untuk siaran akhbar. Mungkin kerana pihak akhbar yang saya wakili juga sudah maklum saya memang selalu turut hadhir dalam program berkenaan, maka pihak pejabat akhbar biasanya tidak  akan menghantar wartawan khas mereka. Kadangkala rakan akhbar dari pejabat bertanya sama ada saya turut hadhir atau sebaliknya dalam program yang jemputannya turut diedar kepada pihak akhbar. Kalau saya hadhir, mereka pun ' boleh rehat ' di pejabat saja !.....


Bagi kebanyakan pegawai JAIS di Shah Alam pula, mereka memang maklum saya adalah  wartawan sambilan akhbar Utusan Melayu / Malaysia di samping tugas hakiki sebagai guru agama JAIS. Kerana itu , tugasan untuk membuat temuramah mereka untuk mendapatkan maklumat tambahan adalah mudah sekali.


Pada ketika yang lain, kadangkala semasa dalam keadaan bertugas tertentu dengan tidak secara langsung pula saya sudah mendapat bahan berita lebih awal, berbanding dengan rakan wartawan akhbar lain yang turut hadhir.


Sebagai contoh, pada beberapa tahun saya pernah dilantik sebagai juru acara Ujian Tilawah Al Quran peringkat Mukim atau peringkat Daerah Sabak Bernam. Sebagai juru acara majlis maka semua maklumat keputusan akan diserahkan kepada saya lebih dahulu untuk pengumuman oleh pengerusi jemaah hakim. Di sinilah mudahnya saya mendapat maklumat awal berbanding dengan rakan-rakan wartawan semasa bertugas, selain tidak perlu menunggu hingga pengumuman dilakukan .


Oleh itu , apabila acara pengumuan keputusan dilakukan, saya tidak tergopoh gapah dan sebuk untuk mengambil gambar para pemenang di samping mencatat nama mereka yang berkenaan seperti rakan-rakan wartawan yang lain !. ( Sebagai wartawan daerah, tugasan mengambil gambar terpaksa dilakukan sendiri disamping membuat catatan berita  )


Oleh kerana banyak tugasan dapat dilaksanakan dalam satu masa, maka keadaan itu telah memudah dan meringankan tugasan harian saya sebagai guru dan juga wartawan .Sedikit pun tidak menjadi gangguan atau kesebukan pada waktu-waktu tertentu.


Dan saya juga beranggapan tugasan-tugasan itu sebenarnya suatu ' amanah ' yang perlu dilaksanakan dengan jujur dan sempurna. Walaupun hampir setiap hari pada sebelah pagi termasuk hari cuti mingguan saya keluar bertugas sebagai wartawan, namun pada sebelah petang sebagai guru saya tetap menjalankan tugas dengan sebaiknya dan sempurna.


Saya amat bersyukur, sepanjang tempuh bertugas sebagai wartawan sambilan akhbar saya tidak pernah diberi amaran atau ditegur oleh pegawai atasan kerana mengabaikan tugas hakiki. Ini berlaku sama ada sepanjang saya masih menjadi ' guru biasa '  atau setelah dilantik sebagai guru besar mentadbir sekolah.


Saya sebenarnya mempunyai pegangan atau falsafah hidup : Sekiranya kita telah diberi satu ' amanah ' oleh mana-mana pihak untuk dilaksanakan serta telah memberikan kesanggupan ke atasnya, maka laksanakanlah amanah itu sebaik mungkin dengan keikhlasan dan kejujuran. Insya Allah, jika berlaku sebarang masalah dalam melaksanakannya,  Allah Taala tetap memberi jalan keluar dan memudahkannya !.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan