Jumaat, 31 Mei 2019

CATATAN ( 31 ) - ' PEDAS ' TAPI TIDAK DIRASA PEDAS.



Era 90an merupakan tahun-tahun yang ' cemerlang ' dan ramai penulis baru telah muncul serta aktif menulis. Pihak akhbar harian dan akhbar mingguan seperti Utusan Melayu, Utusan Malaysia, Utusan Zaman, Mingguan Malaysia, Berita Harian, Berita Minggu, Harian Metro serta majalah-majalah bulanan lain turut sama ' menyumbang ' melahirkan ramai penulis baru tersebut, khususnya di negeri Selangor.

Hampir setiap hari hasil tulisan penulis-penulis tersebut telah muncul dalam akhbar dan majalah tanahair. Sama ada dalam bentuk tulisan berita/ rencana atau penulisan kreatif seperti sajak dan cerpen. Kemunculan mereka  ' seolah-olah ' bersaing antara satu sama lain dalam penerbitan berkenaan

Pada tahun-tahun tersebut juga, selain menjadi ahli kepada Kelab Wartawan dan Penulis Daerah Sabak Bernam,  saya turut menjadi ahli kepada dua persatuan penulis yang aktif di negeri Perak  dikenali sebagai PENTAS dan juga persatuan penulis di negeri Selangor yang dikenali sebagai KEMUDI.

Melalui kedua-dua persatuan penulis itu saya telah dapat berkenalan rapat dan banyak berbincang mengenai penulisan dengan penulis-penulis lama dan terkenal. Saya juga berpeluang menyertai banyak acara pertemuan penulis peringkat negeri berkenaan dan juga peringkat kebangsaan seperti Hari Sastera beberapa siri yang dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) - Kalau tidak salah ingatan saya .

Di peringkat negeri Perak saya dapat mengenali penulis seperti Abu Bakar Sidek, Kamarudin Dani dan Kordi Dempol ( sekadar yang saya ingat ). Di peringkat negeri Selangor pula ramai yang saya kenali seperti Sabar Bohari, Ahmad Sarjo, Ismas Saring ( Saring Sirat ), Abu Hassan Ashari, Hamzah Noor, Shaharuddin Daud, Rosle Yusof, Yusof Hassan , Shahlan Saman , Sani Ahmad dan Sri Diah ( sekadar yang saya ingat ).

Melalui pertemuan dan perbincangan dengan ramai penulis di negeri Selangor itu maka tercetuslah satu ' ilham ' untuk menggabungkan semua penulis yang ada dan bakat-bakat baru penulis di daerah ke dalam satu persatuan penulis peringkat negeri pula. Ilham tersebut mula dicetuskan oleh penulis / wartawan akhbar Berita Harian daerah Kuala Langat, Hamzah Noor dan kemudian mendapat sokongan kuat dari ' orang kuat politik ' , Encik Abd.Samad Marahuddin yang juga ' tekong ' kepada persatuan penulis KEMUDI.

Beberapa pertemuan tidak rasmi turut diadakan untuk tujuan penubuhannya dan saya turut diberikan tugasan untuk mendaftarkan keahlian bagi daerah Sabak Bernam. Bagi daerah lain turut diserahkan kepada ' orang kuat ' daerah berkenaan pula , Seingat saya, hanya daerah Hulu Selangor sahaja yang tidak ada ' wakil ' persatuan yang bakal ditubuh nanti. Kerana daerah itu tidak ada penulis yang muncul menulis di mana-mana peberbitan.

Atas persetujuan bersama ,  persatuan penulis peringkat negeri yang akan ditubuhkan itu telah diberi nama  ' PEDAS '. Sebagai singkatan kepada  : Persatuan Penulis Daerah Negeri Selangor . Pihak jawatankuasa penubuhan juga bersetuju melantik Hamzah Noor sebagai  ' pengerusi penaja ' dibantu oleh jawatankuasa lain mewakili daerah-daerah.

Dalam suasana ' semangat berkobar-kobar ' oleh jawatankuasa penajanya, Hamzah Noor yang bertugas  di Pejabat Pos , Banting Kuala Langat telah bersara dari jawatan hakiki beliau dan berpeluang dilantik sebagai setiausaha akhbar kepada seorang seorang menteri ketika itu , Datin Paduka Zaleha Ismail.

Agaknya , kerana kesebukan beliau dengan tugasan harian maka usaha untuk mengadakan mesyuarat agung penubuhan rasmi ' PEDAS ' telah tertangguh banyak kali,  menyebabkan ' semangat ' jawatankuasa penaja turut menjadi tawar dan sejuk tidak bermaya !. 

Akhirnya, usaha untuk menubuhkan PEDAS hanya jadi kenangan ......



Tiada ulasan:

Catat Ulasan