Khamis, 6 Jun 2019

CATATAN ( 35 ) - MEMANDU MOTORSIKAL TANPA LESEN.


Saya bertukar tempat bertugas dari Sekolah Kebangsaan Polis Depot, Kuala Lumpur ke Sekolah Agama Sungai Haji Dorani pada awal tahun 1968. Pada peringkat awal bertugas di sekolah itu  saya terpaksa mengayuh basikal kira-kira 20 kilometer setiap hari pergi dan balik .

Pada sekitar tahun-tahun tersebut, basikal merupakan kenderaan utama orang ramai. Hanya sedikit sahaja mereka yang berkemampuan membeli motorsikal untuk kenderaan harian. Oleh kerana itu , walaupun saya sebagai seorang yang ' makan gaji ' menggunakan basikal sebagai kenderaan harian tidaklah dianggap sebagai ' ketinggalan ' sangat .

Tempat saya bertugas di Sekolah Agama Sungai Haji Dorani waktu itu ada dua sessi persekolahan. Sessi pagi untuk peringkat Darjah Khas ( Sekolah Menengah ) dan pada sessi petang peringkat sekolah rendah. Walaupun begitu, sekolah tersebut berada di bawah satu pentadbiran guru besar yang bernama Ustaz Masri bin Abd.Karim.

Bilangan guru bertugas pada sessi pagi kalau tidak salah ingatan saya hanya seramai lapan orang sahaja termasuk guru besar . Bilangan murid pula sekitar 100 orang lebih sahaja. Manakala guru bertugas sessi petang pula seramai enam orang dengan jumlah murid kurang dari 100 orang.

Kebanyakan gurunya datang bertugas ke sekolah menggunakan basikal sahaja. Hanya ada beberapa orang  datang menggunakan motorsikal, seperti guru besar , Ustaz Masri Abd.Karim.

Oleh kerana gaji guru-guru agama pada waktu itu rendah berbanding dengan gaji guru-guru sekolah kebangsaan maka tidak ramai di kalangan mereka mampu membeli motorsikal . Namun, gaji guru sekolah kebangsaan lebih RM 300 sebulan  , ramai  pula di kalangan mereka masih menggunakan basikal sahaja. Terdapat juga di kalangan mereka masih menggunakan kenderaan bas bertugas ke sekolah tiap hari , seperti beberapa orang guru di Sekolah Kebangsaan Sungai Haji Dorani yang jauhnya kira-kira satu kelometer sahaja dari sekolah saya !.

Sebenarnnya, gaji bulanan saya hanya lebih sedikit dari RM100 sebulan. Namun begitu, saya sudah berazam hendak membeli sebuah motorsikal terpakai, terutamanya untuk kegunaan bertugas harian ke sekolah, Kerana itu,  saya sudah  mula  berjimat dan  menyimpan wang gaji setiap bulan ......

Akhirnya , setelah hampir setahun saya berulang alik bertugas ke sekolah menaiki basikal wang simpanan pun sudah mencukupi untuk membeli sebuah motorsikal terpakai......

Dengan pertolongan dan nasihat dari guru besr, Ustaz Masri saya akhirnya berjaya membeli sebuah mtorsikal terpakai jenis Yamaha 100 cc di pekan Sabak Bernam . Saya masih ingat,  nombor pendaftarannya ialah AF 7742 !.

Untuk makluman, sebenarnya saya tidak pernah memandu motorsikal walau sekali pun pada masa lalu . Saya dianggap ' tahu ' cara-cara memandu sekadar melalui ' cakap-cakap ' mereka yang telah mempunyai motorsikal sahaja.....

Oleh kerana saya pulang ke Kampung Parit (9) Barat memandu motorsikal sendiri  manakala Ustaz Masri pula akan memandu motorsikalnya pulang ke Kampung Sungai Haji Dorani, beliau berkali-kali bertanya sama ada saya sanggup memandu motorsikal yang baru dibeli secara sendirian. Saya memberitahu beliau dengan yakin , " Insya Allah boleh ! "..

Akhirnya saya kuatkan azam dan memberanikan diri memandu sendiri motorsikal yang baru dibeli secara tunai sekitar RM 700 , untuk pulang ke rumah. Sebelum itu, saya diminta oleh Ustaz Masri memandu di hadapan dan beliau pula mengiringi saya di bahagian belakang sebagai ' pengawas '. Kami juga hanya melalui jalan kampung Tebuk Pulai - Parit 6 sahaja.

Sepanjang perjalanan , saya merasa ' seolah-olah  ada orang ramai memerhatikan saya memandu motorsikal . Pada hal waktu itu tidak ada seiapa pun !....... Al hamdulillah, sepanjang perjalanan dari pekan Sabak Bernam hingga persimpangan Kampung Parit 6 Barat , pemanduan saya berjalan lancar seperti orang yang sudah biasa menunggang motorsikal .

Apabila sampai di persimpangan Parit 6 Barat saya akhirnya terpaksa berpisah dengan Ustaz Masri yang pulang ke rumah di Kampung Sungai Haji Dorani. Saya pula perlu meneruskan perjalanan sendirian kira-kira empat kilometer lagi sebelum sampai ke rumah .

Jalan masuk ke Kampung Parit (9) Barat dari jalan besar Bagan Terap - Sungai Besar ada sebuah jambatan batu keadaannya mendaki dan semasa turun agak curam sedikit.  Sebelum sampai ke situ hati saya sudah merasa gugup sedikit.Takut kalau-kalau motorsikal tidak mampu naik jambatan atau enjin motorsikal akan mati di situ !

Di hujung jambatan yang saya akan lalui ada beberapa buah kedai minum. Waktu itu kebetulan tidak ramai orang berada di situ kerana sudah menjelang waktu tengah hari. Dengan tekad yang berani saya terus memandu motorsikal melalui jambatan di situ . Selamat.....dan saya berjaya !. Kalaulah ditakdirkan motorsikal tidak dapat naik dan enjin motorsikal mati ketika di atas jambatan, pasti saya dapat malu  jika dilihat oleh orang lain !....

Pada petang hari itu, saya cuba ' berlatih banyak kali  ' memandu motorsikal di jalam kampung . Kerana pada pagi hari esuk saya akan menggunakannya untuk bertugas ke sekolah dan juga pada hari-hari seterusnya....

Unuk beberapa bulan selepas membeli motorsikal dan berulang alik ke sekolah, saya sebenarnya memandu tanpa lesen hatta lesen (L) pun !. Mujur pada waktu itu sekatan pemeriksaan polis amat jarang sekali diadakan di jalan-jalan raya. Jadi, pemanduan saya tanpa lesen tidak mendatangkan apa-apa masalah .....

Hanya selepas mendapat lesen memandu beberapa bulan kemudian barulah saya  melekatkan huruf (L) pada motorsikal ketika pergi ke sekolah dan  untuk pergi kemana-mana .....



Tiada ulasan:

Catat Ulasan