Rabu, 29 Mei 2019

CATATAN (30) - PENUBUHAN ALKHAIR ENTERPRISE



Di daerah Sabak Bernam sekitar tahun 90an terdapat tiga pertubuhan guru-guru agama. Pertama dikenali dengan nama ' Majlis Guru Besar SRA ' dianggotai oleh semua guru besar Sekolah Rendah Agama (SRA) dan ketua guru Kelas Fardhu Ain ( KAFA).  Kedua dikenali sebagai  ' Majlis Pengetua SMA ' dianggotai oleh semua pengetua dan guru Sekolah Menengah Agama (SMA) . Ketiga dikenali sebagai Badan Kebajikan Guru-Guru Agama Daerah dianggotai oleh semua guru dari SRA, KAFA dan guru dari SMA  .

Dua pertubuhan guru iaitu Majlis Guru Besar SRA dan Majlis Pengetua SMA tidak berdaftar dengan pendaftar pertubuhan , kecuali Badan Kebajikan Guru Agama Daerah Sabak Bernam sahaja. Dua pertubuhan tidak berdaftar itu hanya dalam makluman dan pemantauan Nazir Pelajaran  Daerah sahaja.

Majlis Guru Besar SRA pada mulanya dipengerusikan oleh  Guru Besar SRA Simpang 5, Ustaz Haji Ahmad bin Tahir . Selepas beliau bersara, dipengerusikan pula oleh Ustaz Haji Ismail bin Zakaria , Guru Besar SRA Simpang Empat BNO . Majlis Pengetua SMA dipengerusikan oleh Ustaz Haji Abdullah Saleh bin Sulaiman, Pengetua SMA Tengku Ampuan Jama’ah Sungai Besar  manakala  Badan Kebajikan Guru Agama Daerah juga turut dipengerusikan oleh beliau.

Dua pertubuhan guru tersebut iaitu Majlis Guru Besar SRA dan Majlis Pengetua SMA matlamat utamanya adalah untuk mengendalikan kebajikan guru, kemajuan korikulum dan juga ko korikulum sekolah di bawah pentadbirannya. Pertubuhan ini juga berfungsi sebagai rujukan berkaitan pentadbiran dan perhubungan dengan Nazir Pelajaran Agama Daerah.

Sekitar tahun 90a  juga terdapat hingga ratusan orang ramainya kalangan guru sementara ( Guru Farddu Ain ) yang bertugas lebih dari 30 buah Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Sekolah Fardhu Ain ( KAFA ) dalam daerah Sabak Bernam. Mereka itu tidak diberi gaji oleh Jabatan Agama Islam Selangor ( JAIS) , tetapi hanya diberi imbuhan tetap ( elaun ) sekitar RM 750 sebulan dari peruntukan JAIS sendiri, Baitul Mal dan juga Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ( JAKIM ). 

Memandangkan bilangan guru KAFA yang begitu ramai sedangkan ada di kalangan mereka sudah berkeluarga, maka tercetuslah ' ilham ' untuk membantu mereka dari segi kewangan, terutama ketika menjelang Hari Raya dan awal tahun persekolah anak-anak.

Dengan nasihat Nazir Pelajaran Agama Daerah maka tertubuhlah ‘ Badan Kebajikan Guru Agama Daerah Sabak Bernam ‘ yang dianggotai oleh semua guru agama , sama ada dari SRA , KAFA dan SMA.

Pertubuhan ini lebih kepada memberi ' kebajikan ' untuk ahlinya  dalam usaha membantu  kewangan melalui pinjaman wang jangka pendek selain membuat caruman bulanan yang ditetapkan.

Badan Kebajikan Guru Agama Daerah ini telah didaftarkan kepada pihak Pendaftar Pertubuhan Malaysia serta mendapat kelulusan pihak berkenaan untuk menjalankan aktiviti seperti yang terkandung dalam undang-undang tubuhnya.

Kebaikan yang  nyata diperolehi selepas badan ini ditubuhkan, masalah kewangan ahli yang memerlukan kewangan segera terdiri daripada kalangan guru KAFA telah berjaya dapat diatasi melalui pinjaman kewangan jangka pendek , tanpa sebarang bayaran faedah dikenakan kepada yang terlibat.

Dalam usaha meningkatkan aset kewangannya pula , Badan Kebajikan Guru Agama Daerah telah menjalankan perniagaan membekalkan buku tulis dan ringkasan mengajar guru ke semua sekolah agama yang ada di Daerah Sabak Bernam.

Pada waktu itu, saya sudah memegang jawatan bendahari dalam Majlis Guru Besar SRA , kemudian diminta pula oleh Bendahari Badan Kebajikan Guru Agama Daerah yang disandang oleh Ustaz Haji Sanusi bin Nasri dari SMA Muhammadiah Batu 40, untuk membantu beliau bagi mengendalikan jualan ke semua SRA , kerana  saya sudah mempunyai hubungan rapat dengan semua guru besar sekolah tersebut , katanya.

Bermula dengan tugasan itu saya  mulai dapat menimba banyak pengalaman ' berniaga ' termasuk berurusan dengan pihak pembekal dan juga mengendalikan wang jualan keluar masuk . Beberapa tahun berikutnya, selepas Ustaz Haji Sanusi bersara wajib dari jawatan guru, saya telah diberikan tugas sepenuhnya oleh Badan Kebajikan Guru Agama Daerah untuk mengendalikan perniagaan itu.

Berikutan pihak pendaftar pertubuhan telah ' memberi nasihat ' supaya pertubuhan tidak terlibat dalam perniagaan ( kerana tidak ada dalam undang-undang tubuhnya ) , bagi mengatasi dan sebagai jalan keluar akhirnya ditubuhkah ' Al Khair Enterprise ' ( Al Khair diambil dari perkataan ‘ kebajikan’ ) yang menjalankan perniagaan secara berasingan ,  sebagai usaha mendapatkan sumber kewangan di mana keuntungannya disumbang kepada Badan Kebajikan Guru Agama Daerah sedia ada.

Selepas Badan Kebajikan Guru Agama Daerah ' terbubar ' dengan sendirinya beberapa tahun kemudian, berikutan persaraan beberapa  guru  ‘ orang kuat '  pertubuhan dan tidak ada pengganti yang mampu mengendalikannya maka bagi ' nama ' Al Khair Enterprise telah saya ' ambil alih ' dan dijadikan nama kepada perniagaan yang saya kendalikan sendiri.

Sejak saya mengambil alih ‘ Al Khair Enterprise ‘ dan menjadi milik saya sepenuhnya, skop pernigaannya saya perluaskan lagi hingga ke daerah Kuala Selangor dan beberapa sekolah agama daerah lain. Namun perniagaan bekalan buku tulis dan buku ringkasan mengajar guru tidak lagi saya lakukan, tetapi diganti dengan perniagaan percetakan buku-buku pentadbiran sekolah dan resit keperluan SRA sahaja.

Oleh kerana di daerah Kuala Selangor terdapat lebh 30 buah SRA dan KAFA , pengurusan perniagaan di daerah itu pada awalnya saya serah kepada seorang  guru di Majlis Guru Besar SRA sebagai ' wakil jualan ' , begitu juga untuk daerah lain yang berhampiran. Beberapa tahun berikutnya setelah timbul ' masalah ' , pengedaran niaga akhirnya saya lakukan sendiri kerana kebetulan saya juga telah bersara.

Alhamdulillah, lebih 20 tahun saya terlibat secara lengsung dalam perniagaan Al Khair Enterpise , banyak pengalaman masam manis saya lalui. Dalam menjalan perniagaan ini juga adalah menjadi matlamat saya  untuk membantu rakan-rakan guru agama supaya tidak terlalu bergantung  kepada peniaga bangsa asing yang telah monopoli perniagaan itu selama ini.

Perniagaan saya jalankan pula lebih kepada mengambil kadar untung ' paling minima ' setiap urusniaga dilakukan . Kerana tindakan saya begitu,  peratusan SRA daerah Sabak Bernam dan daerah Kuala Selangor sekarang sudah berkurangan berurus niaga dengan peniaga bangsa lain.....

Dalam tempuh tersebut juga saya mendapat pengalaman dan membuat kesimpulan :Jikai menjalankan apa juga jenis perniagaan  ' hutang pelanggan ' adalah jadi penyebab atau penyakit kepada kemajuan perniagaan .

Namun bagi saya, hutang pelanggan yang tidak dijelaskan walaupun hingga jumlah ribuan ringgit tidak dapat mematahkan semangat berniaga, Kerana saya percaya dan yakin dengan janji NYA !..... Bagi saya, mereka yang tidak menjelaskan hutangnya hingga ' terus lupa ' tidak akan menjadikan beliau lebih kaya dan saya juga tidak jadi miskin kerananya ……



Tiada ulasan:

Catat Ulasan