Khamis, 23 Mei 2019

CATATAN ( 29 ) - PERISTIWA 13 MEI 1969......



Semasa berlaku peristiwa 13 Mei saya sudah bertukar tugas ke Sekolah Agama Sungai Haji Dorani, Sungai Besar dari Sekolah Kebangsaan Polis Depot, Kuala Lumpur. Rakan serumah saya semasa di Kampung Baru , Kuala Lumpur , Ustaz Tumadi Haji Salleh masih lagi tinggal di sana. 

Waktu itu saya masih bujang , tetapi sudah bertunang dengan rakan sekelas masa belajar di sekolah menengah dan akan melangsungkan perkahwinan beberapa bulan lagi.

Berita mengenai berlakunya rusuhan di Kuala Lumpur kami dapat tahu dari siaran radio kepunyaan ' Taukeh Nasrawi ' tuan punya kedai barang runcit di sebelah rumah sewa saya. Saya dan ramai penduduk kampung, sunyi sepi ketika mendengar ucapan Tunku Abd.Rahman Putra Al Haj, Perdana Menteri waktu itu dalam keadaan suara sedih seperti orang menangis, melalui corong radio.

Selesai mendengar ucapan Perdana Menteri , kedengaran suara di kalangan yang hadhir berteriak, " Perang sabil ! " , " Semua balik rumah ambik parang. Tak ada parang potong buluh runcing " ,  " Kita bakar kedai Cina pekan Sungai Haji Dorani ! " dan berbagai-bagai lagi kata semangat kedengaran......

Suasana agak riuh dan kelam kabut waktu itu, manakala saya dan seorang rakan duduk di sebelah dalam keadaan terpinga-pinga apa yang perlu dilakukan ?. 

Ramai penduduk di situ balik ke rumah tergesa-gesa memberitahu keluarga masing-masing supaya tinggal dalam rumah sahaja.

Rakan saya pula mencadangkan, " Kita cari buluh saja. Dekat belakang rumah aku banyak pokok buluh, kita buat bambu runcing untuk senjata ! "

Waktu kejadian itu berlaku pada malam  hari. Dalam keadaan tergesa-gesa kami dapat juga menyediakan sebatang  seorang ' senjata buluh runcing ' . Apabila datang semula di kawasan halaman Taukeh Nasrawi saya lihat sudah ramai penduduk kampung tua dan muda berkumpul untuk membuat serangan 13 mei !.

Pada waktu itu saya merasa badan seram sejuk antara rasa takut dan bersemangat menyertai ' perang sabil ' .Saya juga tidak tahu berapa ramai mereka yang datang berkumpul kerana keadaan waktu itu dalam gelap malam.

Dalam suasana begitu,  kedengaran seseorang memberi arahan (Saya rasa kenal suara itu - beliau salah seorang pendekar di  kampung Sungai Haji Dorani ! ) . Beliau mengarahkan kami pergi jangan membawa lampu suluh dan beliau akan pergi lebih awal ke pekan Sungai Haji Dorani sebagai orang yang membuat  tugasan ' mengintip '.

Kami berjalan kaki hampir satu kilometer untuk sampai ke pekan. Sepanjang perjalanan kami berzikir ' Laila ha illallah ! ' beramai-ramai....

Sedang dalam perjalanan , ' ketua ' kami tadi datang semula mendapatkan kumpulan dan memberitahu orang-orang Cina di pekan semuanya sudah tidak ada . Mereka sudah lari menaiki tongkang di laut , entah ke mana......

Hasrat untuk ' perang sabil ' terbatal !.

Walaupun begitu ' angkatan perang sabil ' tetap meneruskan perjalanan ke distinati. Setelah sampai , kami dapati memang benar semua kedai ditutup dan dalam keadaan gelap gelita . Kerana waktu itu belum ada bekalan elektrik di kawasan pekan dan kampung . Mereka hanya menggunakan lampu gaslin sahaja.

Di kalangan ramai ada yang menyarankan supaya dibakar deretan kedai-kedai di situ. Tapi ramai yang tidak setuju. Kerana kalau dibakar, susah pula nanti hendak membeli barang keperluan harian. 

Lagipun pada tujuan asal hanya sekadar untuk  ' berperang ' dan membunuh beberapa orang sahaja yang dikenali sebagai samseng dan sombong  di kalangan orang Cina di situ. Kalau mereka menetang, barulah deretan kedai mereka yang dibina dari bahan kayu dan beratapkan zing akan dibakar semuanya.

Keesukan harinya , telah diisytihar  ' perintah berkurung ' dalam rumah yang diumumkan oleh kereta peronda polis ke kampung -kampung .


*Catatan ini telah disiarkan oleh portal MALAYASIA KINI pada 14 Mei 2019 dalam halaman siri ' Cerita 13 mei kami ' . Terdapat sedikit pengubahsuaian dari catatan asal bagi siaran di sini.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan