Khamis, 16 Mei 2019

CATATAN ( 28 ) - SEKOLAH ADA MAKHLOK JIN !.



Dalam Islam makhlok jin memang wujud. Mereka terdiri dari dua golongan . Jin kafir dan jin Islam. Kedua-dua jin ini dalam kalangan orang Melayu lebih dikenali dengan sebutan ' hantu ' . Jenis hantu-hantu yang jahat ( jin kafir ) biasa disebut sebagai pelesit, polong, penanggalan, pontianak dan sebagainya. Jenis hantu yang baik pula disebut sebagai orang bunian, 'sahabat' atau lain-lain sebutan.

Jin kafir atau hantu jahat biasanya berada di tempat ' yang tidak bersih/ tidak eluk '. Contoh mereka ada di tok kong, kuil, pokok-pokok besar, tandas, rumah tiada penghuni dan seumpamanya. Bagi jin Islam atau hantu baik mereka berada di tempat-tempat yang baik. Selalunya mereka dikaitkan dengan masjid, surau , sekolah agama dan seumpamanya.

Di daerah Sabak Bernam ada sebuah masjid lama di Kampong Panchang Bedena tidak jauh dari pekan Sungai Besar waktu kebelakangan ini di kenali sebagai ' Masjid Jin ' dan sudah dicatatkan oleh pihak Majlis Daerah Sabak Bernam ( MDSB ) sebagai salah satu tempat pelancongan. Masjid lama ini juga telah diambil alih oleh pihak Muzium Negara dan kerja-kerja baik pulih telahpun dilakukan sejak lama , supaya ia terus kekal dengan bentuk bangunan asal.

Kisah yang saya hendak paparkan di sini ada kaitan dengan jin yang dijelaskan di atas tadi. Dan ianya berlaku semasa saya bertugas sebagai guru besar di Sekolah Rendah Agama Sungai Limau, selepas bertukar tugas sebagai guru besar di Sekolah Rendah Agama Simpang 5.

Pakaian harian saya bertugas ke sekolah adalah pakaian biasa sahaja. Kecuali pada hari Jumaat saya mengenakan pakaian Melayu dengan bersampin. Saya tidak pernah memakai serban di kepala , kecuali memakai songkok putih ( ketayap ) sahaja.

Sekolah Rendah Agama Sungai Limau dibina dengan bangunan batu sepenuhnya terdiri dari dua blok. Blok pertama hanya dua tingkat dan blok ke dua ada tiga tingkat. Antara blok-blok bangunan itu ada ' jejantas ' laluan untuk kemudahan lalu lalang antara dua bangunan yang berada di tingkat dua.

Sekolah ini banyak bilik darjah, sedangkan bilangan murid tidaklah ramai. Kerana itu , terdapat beberapa bilik darjah terbiar kosong sahaja. Bilik kosong tersebut ketika saya jadi guru besar telah dijadikan bilik-bilik perpustakaan, kelas pemulihan Jawi dan juga bilik rakaman audio dan latihan nasyid.

Pejabat sekolah terletak di tingkat bawah blok pertama bangunan dua tingkat. Manakala dewan sekolah juga berada di tingkat bawah tetapi berada di bangunan tiga tingkat berhampiran.

Oleh kerana saya tidak memegang kelas yang khas seperti guru-guru lain, saya gunakan waktu  ' rehat ' untuk mengajar murid-murid di kelas pemulihan Jawi terdiri daripada murid tiap-tiap kelas, semasa kelas tersebut mengadakan mata pelajaran khat ( tuisan jawi ).

Murid Pemulihan Jawi itu semuanya ditempatkan dalam dewan sekolah tersebut setiap kali kelas berjalan untuk diberikan bimbingan. Saya menggunakan ' modul ' sendiri yang saya telah buat dan laksanakan sejak bertugas di Sekolah Rendah Agama Simpang 5 dahulu.

Waktu saya tidak ada tugas di pejabat dan tidak membuat kelas bimbingan tersebut, saya selalu berada di perpustakaan sekolah tingkat dua di bangunan dua tingkat ( atas pejabat sekolah ) untuk membaca buku di situ.

Pada suatu hari , semasa rehat separuh masa dan semua murid keluar kelas pergi ke kantin manakala sebahagian guru masuk ke bilik rehat bersebelahan pejabat saya, ada seorang guru wanita memberitahu bahawa murid-murid dikelasnya merasa kehairanan kerana melihat saya ada memakai serban masuk ke bilik perpustakaan !.

Katanya, ramai murid yang melihat saya berpakaian begitu. Saya hanya ketawa dan memberitahu bahawa saya tidak pernah memakai serban, kecuali songkok putih ( ketayap )  sahaja pada tiap hari ke sekolah....

Jawapan saya disampuk oleh seorang guru wanita lain di situ. Beliau juga memberitahu murid-murid di kelasnya juga melihat saya memakai serban  semasa masuk perpustakaan dan mereka merasa pelik kenapa pada itu saya memakai serban ?.

Guru-guru tersebut kelihatan hairan dan bertanya kepada saya , " Habis, siapa orang tu kalau bukan ustaz ? " . Saya jawab pendek sahaja , " Jin " . 

Guru-guru yang mendengar jawapan saya masing menggerakkan badan seperti orang ketakutan....Ada yang tidak dapat menahan rasa ketakutan lantas berkata , " Heeei ....Takutnya ! "

Guru-guru di sekolah saya kebanyakannya adalah wanita. Hanya seorang guru lelaki bernama Ustaz Bel Mastal. Beliaulah juga menjadi ' iman ' solat Asar bersama murid dan guru pada setiap hari di Masjid Sungai Limau yang sangat berdekatan dengan kedua-dua bangunan sekolah. Malah berada dalam satu kawasan pagar pun !.

Sejak hari itu tersebarlah di kalangan guru-guru bahawa sekolah kami sudah ada penghuni jin !.

Peristiwa kedua ialah semasa saya duduk membuat tugasan dalam pejabat yang hanya terpisah dari bilik rehat guru oleh sebuah bilik dan pintu kaca lut sinar yang boleh dilihat dari bilik rehat tersebut.

Sudah jadi kebiasaan , bila tidak ada tugasan saya akan keluar duduk bersama guru yang menunggu giliran pertukaran mata pelajaran di bilik rehat guru . Sama ada untuk berbual biasa atau berbincang. Jika tidak ada guru di bilik rehat, saya biasanya akan terus ke bilik perpustakaan atau ke dewan sekolah mengajar pemulihan jawi.

Suatu hari , selepas selesai tugasan harian saya keluar pintu pejabat dan masuk ke ruang bilik rehat guru. Oleh kerana tidak ada sesiapa di situ, saya terus naik ke tingkat dua dan berada di bilik perpustakaan selama 30 minit sementara giliran saya bertugas di kelas bimbingan Jawi pada hari itu.

Semasa rehat separuh masa , ramai guru masuk ke bilik rehat semula manakala sebahagian ke kantin  yang jaraknya hanya kira-kira dua meter dari bangunan sekolah. 

Salah seorang guru wanita ( lupa namanya ) bertanya kepada saya siapa pelawat yang datang berjumpa saya di pejabat sebentar tadi. Saya memberi jawapan, tidak ada sesiapa pun yang datang waktu itu . Guru tersebut kelihatan mula kehairanan.....

Beliau menjelaskan pada waktu menunggu masuk kelas, selama 30 minit telah berada di bilik rehat di situ. Beliau ada mendengar orang berbual-bual dalam bilik pejabat saya, Saya memberitahu , pada waktu dinyatakan saya telah pergi ke bilik perpustakaan....

Semua guru yang mendengar perbualan, kelihatan kehairanan...

Saya bertanya semula kepada guru tersebut, sama ada beliau ada melihat saya berada di meja pejabat menerusi pintu kaca . Beliau menjawab tidak kelihatan saya berada di situ !.

Sekali lagi saya menjelaskan, kalau saya tidak ada di pejabat tetapi ada suara orang berbual-bual, maka sahlah itu adalah makhlok jin !.

Semua guru wanita mengerakkan badan tanda ketakutan dan menyatakan mereka tidak akan berada dibilik rehat guru kalau seorang diri sahaja, kecuali saya sah berada di situ atau ada teman guru lain !.

Sebenarnya, sebelum kejadian tersebut saya sudah diberitahu oleh tukang kebun sekolah yang juga bertugas sebagai ' siak  ' masjid Sungai Limau , mesra dengan panggilan ' Encik Atan ' , bahawa sering berlaku peristiwa beberapa lampu dalam bilik darjah di tingkat dua ' menyala ' sendiri pada waktu malam. Kebiasaannya selepas solat isyak. Beliau kemudian terpaksa naik ke kelas berkenaan untuk menutup suisnya semula.

Beliau juga ada memberitahu , kejadian itu sudah lama berlaku sejak guru besar sebelum saya iaitu Ustaz Haji Suradi bin Sidam bertugas di sekolah itu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan