Rabu, 15 Mei 2019

CATATAN (27) - PEMANDU KERETA' TERBANG ' !



Bangunan lama Sekolah Rendah Agama Simpang 5, Sungai Besar masa dulu binaannya hanya separuh batu dan berdinding papan sahaja. Bangunannya setingkat, hanya ada dua blok . Blok A mengandungi beberapa kelas murid, pejabat sekolah serta bilik rihat guru. Manakala blok B hanya menempatkan kelas murid sahaja.

Bangunan blok A terletak berhampiran dengan parit besar tepi jalan raya Sabak Bernam - Kuala Selangor sekarang . Hanya beberapa meter sahaja jaraknya dengan pagar kawat sekolah yang didirikan bagi menjaga keselamatan dan mengelakkan murid waktu rehat bermain di tepi parit besar itu.

Oleh kerana blok A berada dihadapan blok B, semua kenderaan lalu lalang dijalan raya dapat dilihat jelas, dari pejabat sekolah, bilik rehat guru dan kelas-kelas murid di situ. Kerana itulah ada kelas murid kelas tahap satu sengaja duduk dalam keadaan membelakangkan jalan raya,  bagi mengelakkan gangguan masa belajar.

Guru besar sekolah waktu itu bernama Ustaz Haji Ahmad bin Tahir. Beliau dikenali sebagai ' Ustaz Mat ' sahaja oleh murid-murid dan kalangan guru. Saya adalah sebagai ' guru biasa ' sahaja di situ, selepas bertukar tugas dari Sekolah Agama Sungai Haji Dorani beberapa tahun lalu.

Pada suatu hari persekolahan , kebetulan saya dalam pejabat sekolah berurusan dengan guru besar dan hendak keluar ke bilik rehat guru yang bersebelahan untuk mengambil sesuatu di situ, tiba-tiba saya terlihat sebuah kereta dipandu laju melanggar longgokan rumput dan tanah tepi jalan. Rumput dan debu tanah berterbangan !..... Kereta itu bergulung-gulung dan terbalik beberapa kali dan akhirnya menjunam masuk ke dalam parit besar di tepi jalan raya !.

Dalam sekelip mata, saya melihat kereta itu sudah terapung-apung dalam air dengan ke empat-empat rodanya berada di atas !. Saya bergegas keluar menghampiri pagar sekolah termasuk beberapa guru lain untuk melihat kejadian lebih dekat lagi. Beberapa orang murid dalam kelas berhampiran tempat kejadian juga keluar ke muka pintu kelas sambil menjerit berkali-kali,    " Kereta masuk parit ! ".

Kerana ketika itu masih masa belajar, semua murid tidak dibenarkan keluar kelas dan hanya dibenarkan melihat dari tingkap sekolah seketika sahaja . Saya dan beberapa guru segera keluar pagar sekolah dan cuba memerhati lebih dekat dan hendak tahu berapa ramaikah berada dalam tersebut. Sejurus kemudian, timbul seorang mangsa dari permukaan air dengan keadaan pakaiannya basah kuyup. Tercungap-cungap dan cuba naik ke tebing parit.

Kami bantu dia naik ke darat dan sempat bertanya berapa ramai berada dalam kereta itu. Sambil menyapu air meleleh di kepada dan muka, dia hanya menjawab dengan isyarat tangan ' tiga ' sahaja. Beberapa saat kemudian, timbul seorang lagi dari dalam air. Keadaannya sama sahaja dengan mangsa pertama tadi. Kami juga bantu dia naik ke darat dan didudukkan berhampiran rakannya di tepi parit.

Dalam masa kelam kabut itu, kami tertanya-tanya ke mana seorang lagi mangsa kereta itu ? Mungkinkah dia masih di dalam kereta dan telah lemas ?.

Semasa dalam kebingunan mencari seorang lagi ' mangsa ' , saya dan beberapa guru telah membantu mangsa pertama dan kedua berjalan menyusuri pagar , masuk ke dalam kawasan sekolah. 

Waktu itu kebetulan rehat belajar separuh masa telah tiba , maka ramailah murid keluar kelas masing-masing dan terus pergi melihat kejadian dengan suara riuh rendah. Tiba-tiba kedengaran beberapa murid perempuan bersuara sambil menjerit beberapa kali , " Ustaz , kat sini ada orang ! ".

Kami guru-guru segera pergi ke tempat dimaksudkan . Memang benar. Kami dapati seorang mangsa dalam keadaan tertiarap di tepi longkang bangunan sekolah . Semua yang melihatnya kebingunan dan tertanya-tanya bagaimana manga itu boleh ' terbang ' masuk ke kawasan sekolah yang berpagar setinggi kira-kira 2.5 meter dan tidak ' terkena ' dengan sepohon kelapa tumbuh berhampiran di situ ?......

Dengan dibantu oleh beberapa guru saya baring telentangkan mangsa yang berpakaian basah kuyup itu. Kemudian saya cuba rasa dengan tangan di tempat-tempat nadinya. Tidak ada !. Sudah meninggal dunia, fikir saya .... Kemudian, kami terus sahaja letakkan kedua tangannya ke dada seperti orang yang meninggal dunia !.

Sementara itu, dua orang rakannya yang sudah berada bersama kami di situ turut mengesahkan bahawa rakan beliau itulah yang jadi pemandu kereta malang tadi.

Dalam beberapa ketika saya masih tertanya-tanya bagaimana mangsa itu boleh  ' terbang ' masuk kawasan sekolah dan tidak kena sebarang halangan . Sedangkan, jaraknya hampir 10 meter dari tempat kejadian dan saya sendiri tidak sempat melihatnya ! .Saya yakin, inilah kuasa Allah hendak menyelamatkan mangsa dari mati lemas dalam kereta....

Sedang kami berada di situ dalam kebingungan dan berfikir sendirian , ramai murid juga sudah beredar, saya terlihat sekeping kaca bahagian hadapan kereta dalam keadaan baik berada dalam pagar sekolah berhampiran di situ. Pada telahan saya pasti pemandu kereta itu tercampak dan kepalanya telah terlekat pada kaca depan kereta waktu kemalangan berlaku. Kerana hentakan kepala terlalu kuat hingga tertanggal, beliau telahpun ' terbang keluar ' bersamanya!. Wallahu 'alam.....

Lebih 20 minit ( rasanya ) selepas penemuan mangsa pemandu kereta itu , tiba-tiba kami lihat beliau seperti orang tersedak kemudian dadanya terus turun naik bernafas semula. Dua orang rakannya yang duduk berhampiran, terus memeluknya dengan tangisan sedu sedan......Al hamdulillah, Allah masih mahu dia terus hidup, kata saya dalam hati.....

Semua mangsa selamat akhirnya.
 
Dari temubual dengan dua rakan mangsa, saya diberitahu kereta yang dipandu memang laju melebihi 130 km sejam ketika itu , padahal keadaan jalanraya bengkok berada di hadapan sekolah kami. Kerana pemandu tidak dapat mengawal kelajuan kenderaan , kereta terus meluru ke hadapan melanggar longgokan tanah dan rumput tepi jalan terus menyebabkan kereta masuk ke dalam parit bergulung-gulung bersama-sama semua yang ada di dalamnya.

Saya juga diberitahu, mereka semuanya adalah pekerja lelaki Melayu sebuah kontrak pembinaan di pekan Sungai Besar. Oleh kerana mengejar masa hendak memulangkan semula kereta yang pinjam dari ' taukeh ' selepas balik dari Kuala Lumpur, kereta terpaksa dipandu terlalu laju hingga membawa nahas tadi !. 

Semua mangsa kemudian balik menumpang sebuah kereta ke Sungai Besar dengan pakaian basah kuyup. Manakala pemandunya masih lemah untuk berjalan sendiri dan terpaksa dibantu rakannya. Kereta mereka yang masuk ke dalam parit tadi ditinggalkan di situ sahaja , sementara menunggu ' tukang tarik kereta ' sampai mengangkat keluar.

Walaupun dalam masa bertugas di sekolah , sebagai wartawan saya sudah dapat satu berita perlu / segara hari itu !.

Saya telah hantar beritanya ke pejabat akhbar melalui telefon apabila sudah balik ke rumah. Esuknya, berita itu keluar dalam Utusan Malaysia tanpa ada gambar - Kerana saya tidak membawa ' beg wartawan ' semasa datang bertugas ke sekolah tadi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan