Ahad, 12 Mei 2019

CATATAN ( 26 ) . JAMUAN HARI RAYA SEKOLAH.



Bermula dari Sekolah Rendah Agama Simpang 5, Sungai Besar apabila saya diarah bertukar sebagai guru besar dari Sekolah Rendah Agama Harmoni, Sekinchan jamuan Hari Raya Puasa di sekolah untuk murid-murid dijadikan sebagai aktiviti tetap tahunan sekolah. 

Sebelum itu, jamuan Hari Raya Puasa terhad kepada kalangan guru-guru sekolah sahaja. Dengan cara semua guru akan berkunjung ke rumah salah seorang guru secara bergilir -gilir dengan membawa ahli keluarga masing-masing untuk jamuan Hari Raya yang disediakan oleh ' tuan rumah ' pada sebelah malam hari.

Selepas mendapat persetujuan guru-guru di sekolah, saya memberitahu kepada murid-murid semasa perhimpunan harian bahawa jamuan Hari Raya Puasa akan diadakan mengikut kelas masing-masing , selepas waktu rehat hari persekolahan ditentukan. Pengumunan itu mendapat sambutan meriah dari murid-murid dengan mereka menerima dengan bertepok sorak !.

Pada hari jamuan Hari Raya Puasa tersebut juga semua murid lelaki dan perempuan dibenarkan memakai pakaian Hari Raya masing-masing sebagai menambah kemeriahan jamuan diadakan nanti.

Untuk menjayakan jamuan Hari Raya itu pula, murid-murid diperlukan membawa sedikit kuih dari rumah masing-masing manakala minumannya akan disediakan oleh guru kelas berkenaan.

Jamuan Hari Raya Puasa julung-julung kali diadakan mengikut kelas tersebut ternyata amat berjaya dan meriah sekali. Ternyata kuih raya yang dibawa oleh murid-murid bukan sahaja kuih raya sedia ada di rumah masing-masing, malah ada penjaga murid yang bermurah hati membuat kuih kek raya baru !.

Sebagai mengelakkan dari pembaziran baki kuih raya yang dibawa oleh murid yang ternyata banyak berlebihan , setiap murid digalakkan membungkus baki kuih raya tersebut dan dibawa pulang ke rumah masing-masing semula.

Walaupun begitu, sebelum semua murid menikmati jamuan rupa-rupanya guru kelas masing-masing telah membuat pengumuman supaya murid-murid menyediakan bungkusan jamuan kepada ' guru besar ' sekolah. Kerana kononnya saya tidak mempunyai ' kelas ' dan tidak berada dalam kelas murid-murid semasa jamuan diadakan.......

Hasilnya, bertimbun kuih raya dihantar oleh murid ke pejabat saya , kononnya untuk jamuan supaya saya makan !.

Oleh kerana terlampau banyak kuih raya dengan berbagai jenis yang dihantar, saya telah memberitahu tukang kebun sekolah Encik Abdullah Ibrahim ( Telah meninggal dunia, semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya ! ) supaya kuih tersebut dikumpulkan setempat. Hasilnya, kuih-kuih tersebut berjumlah dua talam membumbung !.

Setelah diasingkan kuih dari jenis biskut dan kuih yang tidak tahan lama seperti kek dan lainnya Encik Abdullah telah menyimpan ke dalam beberapa balang plastik untuk disimpan di bilik rehat guru-guru.

Menjadi kebiasaan di sekolah saya, kebanyakan guru pada masa rehat akan berada di bilik rehat guru untuk berbual sambil minum-minum petang yang disediakan oleh Encik Abdullah, selain ada yang terus pergi minum ke kantin sekolah .

Oleh kerana ' simpanan ' kuih raya berbaki banyak selepas jamuan dahulu, sambil kami minum-minum dan berbual pada waktu rehat maka kuih raya tersebutlah jadi hidangan kami hingga berminggu-minggu lamanya !.

Berikutan kejayaan mengadakan jamuan Hari Raya Puasa kelas-kelas pertama kali diadakan amat berjaya dan meriah, acara tersebut telah diadakan pada tahun-tahun berikutnya oleh pihak sekolah .

Apabila saya telah bertukar ke sekolah lain, acara jamuan  Hari Raya Puasa seperti di Sekolah Rendah Agama Simpang 5 itu saya cuba teruskan dan ternyata sambutannya amat berjaya dan meriah sekali .

Teranjur bercerita tentang jamuan Hari Raya Puasa di atas, saya teringat jamuan Hari Raya Puasa yang diadakan di Sekolah Rendah Agama , Sungai Haji Dorani, sekolah agama pertama selepas pertukaran dari sekolah kebangsaan di Kuala Lumpur.

Jamuan Hari Raya Puasa yang diadakan di Sekolah Rendah Agama Sungai Haji Dorani agak berbeza dengan jamuan yang kami adakan di Sekolah Rendah Agama Simpang 5 seperti diceritakan di atas.

Di Sekolah Rendah Agama Sungai Haji Dorani, waktu itu saya hanya guru biasa dan guru besar sekolah ialah Ustaz Masri bin Haji Karim, bagi mengadakan jamuan Hari Raya Puasa adalah berbeza dengan apa yang saya telah lakukan.

Saya masih ingat lagi, semasa bertugas di sekolah tersebut jamuan Hari Raya Puasa diadakan secara beramai-ramai dalam dewan sekolah dan setiap murid dan guru dikenakan bayaran tertentu untuk membeli kuih muih dan jamuan diadakan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan