Sabtu, 11 Mei 2019

CATATAN (25) - IHTIFAL GUNA LAMPU GASLIN.


Sekitar tahun 60 an  perkataan ' Ihtifal ' cukup popular di kalangan sekolah-sekolah agama daerah Sabak Bernam. Ihtifal dalam bahasa Arab lebih kepada membawa maksud ' majlis keramaian ' atau ' majlis pertandingan ' dalam kalangan murid-murid sesebuah sekolah.

Pada masa itu boleh dikatakan semua sekolah agama di daerah akan mengadakan ihtifal bagi sekolah masing-masing pada tiap tahun. Paling menariknya, pertandingan-pertandaingan diadakan bukan terhad kepada kalangan murid-murid sekolah berkenaan sahaja, tetapi turut dibuka untuk disertai oleh murid sekolah agama yang lain.

Walaupun begitu, tidak semua acara pertandingan sesebuah sekolah yang mengadakan ihtifal itu menjemput murid sekolah lain untuk menyertai pertandingan diadakan. Biasanya hanya dua atau tiga acara pertandingan sahaja. Seperti acara nasyid, syarahan dan marhaban.

Sekolah Agama Sungai Haji Dorani, merupakan sekolah agama pertama saya bertugas selepas bertukar dari Sekolah Kebangsaan Polis Depot, Kuala Lumpur tidak ketinggalan  turut mengadakan ihtifal pada tiap tahun.

Oleh kerana Sekolah Agama Sungai Haji Dorani merupakan sekolah agama di kampung tempat saya menetap , maka saya adalah salah seorang guru yang terlibat secara langsung dengan persediaan-persediaan tempat dan keperluan lain untuk ihtifal diadakan.

Untuk makluman, ihtifal diadakan pada waktu itu hanya pada waktu sebelah malam sahaja. Bagi persediaan majlis sudah pasti memerlukan kepada banyak lampu bagi menerangi sekitar pentas dan juga kawasan tetamu yang kebiasaannya hanya di kawasan terbuka tanpa khemah.

Sebagai seorang orang yang terlibat secara langsung dengan persediaan pentas dan juga tempat tetamu, tugas yang perlu dilakukan ialah menyediakan seberapa banyak ' lampu gaslin ' untuk menerangi kawasan.Kerana pada waktu itu kemudahaan api elektrik masih belum ada di Kampung Sungai Haji Dorani dan juga kampung-kampung lain dalam daerah Sabak Bernam.

Bagi mengatasikan masalah, saya telah meminjam banyak lampu gaslin daripada penjaga murid-murid yang tinggal berhampiran sekolah. Kerana jika tidak mencukupi sudah pasti majlis diadakan nanti akan berada dalam gelap samar-samar dan tidak meriah.

Selain tugas menyediakan lampu gaslin untuk keperluan pentas dan tetamu, saya juga telah melantik beberapa orang murid yang akan mengawasi lampu tersebut, sekiranya lampu kekurangan ' angin ' dan cahaya menjadi malap. Untuk tujuan itu saya melantik dari kalangan murid darjah enam yang berbadan tinggi, supaya mudah meletak dan menurunkan lampu gaslin di mana-mana sudut.

Saya masih ingat seorang murid sekolah yang berbadan tinggi, namanya Adnan bin Haji Ehsan ( Sudah meninggal dunia - semoga Allah mencucuri rahmat kepadanya...) . Beliaulah yang saya pilih menjadi ketua ' jaga lampu ' bersama beberapa orang rakannya.

Murid bernama Adnan ini berbadan tinggi sama dengan ketinggian saya sebagai orang dewasa. Adnan inilah selalunya yang akan menyangkut lampu gaslin dan digantung pada tiang kayu dan di atas pentas pertandingan atau untuk dipam anginnya oleh rakan-rakannya yang lain supaya cahaya lampu kembali terang seperti sedia kala.
 
Kepada pembaca yang tidak tahu tentang lampu gaslin , elok saya berikan penerangan sedikit di sini. Lampu gaslin mempunyai ' mentol ' yang diperbuat dari benang sutera yang khas. Mentol tersebut akan terbakar dan mengembang bulat seperti mentol elektrik yang berperanan sebagai tapisan percikan cahaya seperti lampu elektrik biasa. Mentol tersebut mudah rosak apabila disentuh dengan tangan atau kerana gegaran kuat oleh sesuatu benda.

Semasa majlis ihtifal berjalan, sekiranya nasib '  kurang baik ' pasti ada sahaja lampu gaslin yang pecah mentolnya dan terpadam kena sentuhan serangga. Keadaan ini berlaku kerana sekitar sekolah agama Sungai Haji Dorani adalah kawasan kebun kelapa dan banyak ' kumbang gajah ' berterbangan  pada waktu malam menuju ke arah cahaya lampu yang terang benderang.


Apabila lampu gaslin kena langgar dan gegaran kuat oleh kumbang gajah, mentolnya akan pecah dan cahaya lampu serta merta padam . Jika gegaran tersebut lebih kuat kadang kala ' kaca cempeni ' lampu juga boleh retak. Apabila lampu terpadam keadaan keliling menjadi gelap . Orang ramai di kawasan situ tentu agak riuh dengan keadaan dan PASTI kedengaran suara kuat , " Lampu padam ! Lampu padam !.... ".


Dalam keadaan beginilah petugas lampu kena serta merta bertindak. Lampu gaslin segera diturunkan dari tempat gantungannya dan mentol baru kena diganti. Untuk menukar mentol baru pula bukannya satu kerja yang mudah !.


Cara mengganti mentol lampu gaslin yang pecah , kena dibuka bahagian         ' kepala ' lebih dahulu kemudian dikeluarkan dari rangkanya untuk disejukkan sementara waktu. Selepas keadaan menjadi sejuk barulah mentol baru boleh diikat kepada ' kepala ' . Selesai dipasang, barulah kerja ' membakar ' mentol boleh dilakukan.


Cara ' membakar ' mentol baru ialah perlu dituang ' minyak spirit ' ditempat yang disediakan dalam lampu gaslin tersebut lebih dahulu. Setelah selesai, barulah minyak spirit itu dibakar melalui  mancis api ( mancis batang sahaja ). Api dari minyak spirit tersebut akan terkena pada mentol baru dan turut terbakar sama. Apabila semua bahagian mentol baru terbakar, barulah minyak lampu gaslin akan dipam secara beransur-ansur hingga mentol tersebut mula mengembang dan mengeluarkan cahaya. Setelah mentol baru bercahaya semunya, barulah minyak dipam secukupnya mengikut ' meter ' tersedia dibahagian tangki simpanan minyak gas lampu gaslin itu.


Suatu hal yang menjadi masalah semasa membakar mentol baru itu apabila kadangkala saluran paip minyak ke mentol telah tersumpat,  kerana ada arang atau kotoran . Apabila keadaan begitu berlaku, api yang dibakar melalui minyak spirit akan menjadi marak tiba-tiba dan keluar dari kepala lampu hingga boleh menyebabkan kebakaran !.


Untuk tugasan menukar mentol baru ini jika ianya berjalan lancar memerlukan masa tidak kurang dari 15 minit. Jika ada masalah , kadangkala memakan masa hingga setengah jam dan terpaksalah orang ramai di sekitarnya bergelap buat sementara......


Jika keadaan kecemasan lampu padam berlaku di pentas pertandingan, maka lampu yang berhampiran dengan tempat tersebut akan diambil serta merta sebagai ganti, sementara  lampu yang padam tadi dapat diperbaiki dan digantung semula ke tempat asalnya.


Walaupun dalam keadaan begitu , sambutan penduduk setempat terhadap ihtifal sekolah pada tiap tahun amat-amat menggalakkan. Mereka akan datang berduyun-duyun sekeluarga dan ada yang membawa anak kecil bagi menyaksikan ihtifal diadakan.


Sempena majlis ihtifal tiap tahun biasanya akan diadakan juga kutipan ' derma ikhlas ' kepada orang ramai yang datang berkunjung bertempat di pintu gerbang sekolah ( Dibuat sempena ihtifal ). Kadang kala ada juga disediakan ' parking ' untuk basikal orang ramai yang hadhir dengan bayaran 20 sen sebuah . Derma tersebutlah digunakan untuk membeli minyak tanah kegunaan lampu-lampu gaslin dan mentol baru jika berlaku kerosakan. Wang yang selebihnya akan dimasukkan ke dalam ' tabung kebajikan sekolah ' .


Dari pengalaman saya beberapa tahun sempena ihtifal sekolah , dapat diberikan kesimpulan bahawa murid sekolah agama pada waktu itu memang ' ringan tulang ' dan boleh diberikan tugasan seperti orang dewasa. Selain itu, masyarakat setempat pula memang memberikan sokongan padu kepada ihtifal diadakan oleh pihak sekolah. Kerana terdapat ramai di kalangan mereka bersedia  ' menaja hadiah ' pertandingan-pertandingan diadakan, walaupun mereka bukan kalangan berpendapatan tinggi dan mewah.


Selain itu , saya berpendapat sambutan begitu menggalakkan berlaku kerana pada waktu itu tidak banyak hiburan seperti masa sekarang . Pada masa itu hiburan hanya ada di panggung wayang gambar dan lagu-lagu di radio sahaja.......


Tiada ulasan:

Catat Ulasan