Khamis, 9 Mei 2019

CATATAN ( 24 ) - TUGASAN MENGHANTAR BERITA




Tugasan ' wartawan daerah ' berbeza dengan wartawan akhbar yang bertugas di pejabat. Kalau bertugas di pejabat,  mereka akan menunggu arahan ' ketua ' untuk membuat liputan sesuatu perhimpunan atau sidang akhbar yang diberi oleh pemimpin negara, jabatan atau lainnya.

Sebagai seorang wartawan daerah saya bebas memilih waktu dan tempat pergi ke mana sahaja tanpa arahan. Kerana itu, hubungan baik dengan orang ramai amat diperlukan. Terutama pegawai jabatan kerajaan / swasta, wakil rakyat, pemimpin masyarakat tempatan atau orang perseorangan . Supaya maklumat- maklumat dapat diketahui serta diambil tindakan untuk dibuat liputan.


Oleh kerana saya seorang guru, orang ramai memang sudah mengenali melalui tugasan hakiki tersebut. Dan ia adalah satu keistimewaan yang saya perolehi berbanding  wartawan akhbar lain di daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor.


Saya tidak bercadang untuk menceritakan lebih lanjut hal di atas, tetapi lebih fukas kepada tugasan saya sebagai wartawan daerah untuk melakukan tugasan tertentu.


Saya bertugas di sekolah pada sebelah petang mulai jam 2.30 petang. Jadi , pada waktu sebelah pagi  kebiasaannya saya boleh keluar membuat liputan ke mana sahaja dan balik ke rumah untuk tugas hakiki selewat-lewatnya jam 1.00 petang. Kemudian, pada sebelah malam pula saya masih ada masa untuk tugasan wartawan daerah jika ada keperluan.


Walaupun tugasan saya agak sebuk dengan ' dua pekerjaan '. saya masih dapat membahagikan masa sebaiknya. Mungkin dengan tindakan begitu saya tidak pernah diberi amaran oleh ketua saya sama ada guru besar ( sebelum bertugas guru besar ), Nazir Pelajaran Agama Islam Daerah dan juga pegawai atasan di Jabatan Agama Islam  Selangor ( JAIS ) termasuk Pengarah JAIS sendiri.


Malah dari maklumat yang saya terima ramai pegawai di JAIS mengetahui tugasan kedua tersebut dan mereka merasa ' seronok ' kerana berita-berita JAIS sering keluar dalam akhbar Kumpulan Utusan Melayu atau Berita Harian ( Selepas saya berhenti dari wartawan daerah Kumpulan Utusan Melayu  kepada akhbar Berita Harian ).


Oleh kerana saya keluar bertugas sebagai wartawan daerah berpandukan kepada ' maklumat ' awam yang diterima sama ada melalui tetefon atau surat jemputan, saya akan bersedia lebih awal dan membawa semua keperluan seperti beberapa jenis kamera pelbagai guna , alat perakam suara dan buku catatan. Semua peralatan itu ditempatkan dalam beg sandang khas saya,


Sebagai wartawan akhbar , saya mempunyai ' kad wartawan ' perakuan dari pihak akhbar saya wakili. Tetapi , kad tersebut jarang-jarang saya sematkan di baju, kecuali dalam majlis rasmi seperti keberangkatan sultan dan kehadhiran para menteri atau orang kenamaan di luar daerah Sabak Bernam. Kerana apabila saya datang dengan ' beg sandang wartawan ' ke satu-satu majlis , pihak urusetia sudah paham saya adalah wartawan akhbar yang membuat lipuran berita untuk majlis atau perhimpinan mereka.


Alhamdulillah, sepanjang bertugas sebagai wartawan daerah saya tidak pernah ' kena halau keluar ' dari mana-mana majlis oleb pihak berkuasa dan oleh pihak tertentu !.


Seterusnya,  apabila balik dari membuat liputan kebiasaannya saya akan menyiapkan dahulu teks berita untuk dihantar kepada akhbar. Jika berita tersebut ' penting/ segera '  saya akan menghantar melalui tetefon kepunyaan sendiri di rumah ke pejabat akhbar serta merta untuk disunting. Jika berita tersebut tidak berapa penting saya akan poskan sahaja  pada keesukan hari bersama-sama gambar hitam putih yang saya proses sendiri di dalam bilik gelap  studio saya sendiri ( Jika berkaitan dan perlu )


Oleh kerana dalam tempuh saya bertugas sebagai wartawan akhbar Kumpulan Utusan Melayu waktu itu alat komunikasi terhad kepada telefon dan  kemudahan faksimili ( faks ) saja, maka tugasan saya agak menyulitkan dan memberatkan juga.....


Sebagai contoh, menghantar berita penting/ segera saya kena angkat telefon dan bercakap dua tiga patah sekali gus dengan wartawn penerima di pejabat sehingga semua teks berita siap dibacakan . Manakala penghantaran gambar penting/ segera pula saya kena hantar melalui bas expres Sabak Bernam - Kuala Lumpur dengan kos satu bungkusan surat RM 5.00,  pada jam 10 pagi keesukan hari pada kebiasaannya.


Mujurlah saya mendapat kemudahan penggunaan telefon bagi tujuan menghantar berita penting / segera secara ' bayaran oleh penerima ' dari pejabat akhbar , Kalau tidak , bertambahlah kos bil telefon saya setiap bulan !. Kerana, kadangkala hingga lima minit atau lebih penghantaran berita terpaksa dilakukan bagi sebuah berita penting/ segera. Malah kadangkala, pemberita di pejabat yang mengambil berita pula sedang sebuk dan diminta menunggu beberapa minit  lagi. Sedangkan bil telefon terus juga berjalan !.....


Cata penghantaran berita penting/ segera selain dari dilakukan melalui telefon secara terus, jika ada gambar berita berkenaan saya akan notakan kepada pihak akhbar supaya mengambilnya pada esuk hari di perhentian bas expres Pudu Raya, Kuala Lumpur dengan menyatakan sekali nombor kenderaan bas yang membawanya .


Oleh kerana daerah Sabak Bernam adalah kawasan luar bandar,  maka berita penting / segera seperti jenayah pembunuhan , rompak samun dan seumpamya amat jarang berlaku. Kerana itu tugas menghantar berita penting/ segera juga tidak selalu dilakukan. Malah kebanyakan berita dan rencana saya hantar hanya melalui pos biasa dengan wang setem sendiri.


Saya berhenti mewakili akhbar Kumpulan Utusan Melayu  beberapa tahun menjelang tahun 2000. Selepas berhenti, saya dipelawa pula oleh kenalan pemberita dari akhbar Berita Harian, Encik Saring Sirat yang bertugas di Biro Berita Harian Klang , sebagai wartawan Berita Harian pula.


Pelawaan beliau saya persetujui dan sejak waktu itu penghantaran berita saya tidak lagi menggunakan pos atau telefon seperti masa bertugas di akhbar Kumpulan Utusan Melayu.  Kerana saya sudah membeli sebuah mesin faksimili ( faks ) sendiri untuk kemudahan . Semua berita / rencana saya taip dan terus difaks ke pejabat Berita Harian , Klang.


Dari pengalaman saya , berkhidmat dengan akhbar Berita Harian ada sedikit perbezaan kemudahan dan layanan berbanding dengan Kumpulan Utusan Melayu. Di akhbar Berita Harian wartawan daerah ada diberikan ' elaun perbatuan ' pergi bertugas membuat liputan,  selain dibekalkan filem kamera hitam putih percuma dan buku catatan khas untuk setiap bulan selain ada dicarumkan ansuran kemalangan waktu bertugas.


Semasa berkhidmat dengan Kumpulan Utusan Melayu saya hanya diberikan akhbar percuma keluaran setiap hari melalui wakil penjual akhbar di pekan Sungai Besar. Manakala dari segi bayaran berita / rencana yang disiarkan dalam akhbar,  saya rasa antara kedua-dua akhbar tersebut tidaklah begitu ketara dan berbeza .


Apabila dibandingkan tugasan saya masa dahulu dengan tugasan wartawan daerah yang ada di daerah Sabak Bernam pada waktu ini, rasanya amat jauh berbeza sekali !. Sekarang segala kemudahan sudah ada. Dari segi alat fotografi , perhubungan dan juga kecanggihan medianya ....... 


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan