Selasa, 2 April 2019

CATATAN ( 23 ) - KELAS PEMULIHAN JAWI




Semasa saya bertugas sebagai guru besar di Sekolah Rendah Agama (SRA) Ehya Ul Falah, Sungai Besar jumlah murid tahun enam sahaja meningkat hampir 150 orang. Bilangan ini menyamai bilangan murid sebuah sekolah di kebanyakan SRA daerah Sabak Bernam ketika itu.

Dari jumlah tersebut lebih 30 peratus terdiri kalangan murid yang lemah membaca dan menulis Jawi ( lembam Jawi ). Masalah ini pasti boleh menyebabkan peratus kelulusan peperiksaan Sijil Pelajaran Rendah Agama (SPRA) menjadi rendah. Memandangkan semua mata pelajaran sekolah agama menggunakan tulisan Jawi.

Mula-mula bertugas, saya dapati murid-murid tahun enam yang lemah ( lembam ) tulisan Jawi itu telah ditempatkan dalam kelas-kelas bercampur dengan murid yang pandai dan boleh menguasai tulisan Jawi.

Semasa bertugas mengajar mata pelajaran khat ( Tulisan Jawi )  di semua kelas tahun enam tersebut, saya telah membuat bancian sendiri jumlah sebenar murid yang lemah tulisan Jawi pada setiap kelas.

Selepas berbincang dengan guru-guru kelas tersebut , mereka turut bersetuju menurut cadangan saya supaya murid yang lemah tulisan Jawi dihimpunkan dalam sebuah kelas khas pemulihan

Kalau tidak salah ingatan saya terdapat dua kelas terdiri dari murid yang ' buta Jawi ' sama sekali dan sebuah kelas terdiri daripada murid yang ' lemah Jawi ' . 

Kepada guru-guru kelas tersebut saya turut memberi panduan supaya mengubah cara pengajaran yang biasa kepada ' kaedah baru ' dengan membanyakkan soalan lisan sahaja berbanding soalan berbentuk tulisan, disamping membenarkan murid-murid mencatat buku teks mereka dengan tulisan Rumi di bawah tulisan Jawi.

Sebenarnya, sejak saya bertugas sebagai guru besar di SRA Simpang Lima kemudian bertukar ke SRA Sungai Limau , Sungai Besar saya telah ' mencipta ' buku panduan menulis Jawi sebanyak dua jilid . Panduan digunakan adalah membuat ' kamus ' pertukaran huruf-huruf Jawi kepada huruf Rumi, selain cara atau kaedah menyambung huruf Jawi menjadi satu-satu perkataan.

Kaedah yang digunakan telah saya kaji dan perbaiki sejak bertugas di SRA Simpang Lima dahulu dan apabila bertugas di SRA Sungai Limau kaedah tersebut telahpun dapat disempurnakan serta dijadikan buku panduan dengan nama ' Asas Jawi .1 ' dan ' Asas Jawi .2 '.

Kepada murid-murid tahun enam yang ' buta Jawi ' saya telah gunakan semasa mengajar mata pelajaran khat ( tulisan Jawi ) dengan membuat pendedahan dan latihan berterusan yang terdapat dalam buku tersebut hingga menjelang peperiksaan SPRA sebenar.

Saya selalu mengingatkan kepada murid-murid berkenaan supaya mereka jangan kecewa dan merasa rendah diri kepada rakan-rakan tahun enam yang pandai membaca dan menulis Jawi apabila menghadapi peperiksaan SPRA nanti.

" Kalau rakan kamu yang pandai menulis Jawi mendapat markah ' jayyid jiddan ' ( terbaik ) dalam peperiksaan SPRA, tidak mengapa kamu dapat markah setakat ' maqbul ' ( lulus ) pun jadilah.... ". Itulah pesanan saya hampir setiap kali apabila saya menamatkan sessi pembelajaran kepada mereka.

Walaupun begitu, dalam hati kecil saya sentiasa merasa khuatir kalau-kalau nanti semua murid berkenaan hanya dapat markah ' dhaif ' ( gagal ), kerana ' alat ' mereka untuk menjawab soalan peperiksaan iaitu membaca dan menulis Jawi sangat lemah atau tidak dapat menguasainya sama sekali !.

Namun setelah tiba keputusan peperiksaan SPRA sebenar , saya bersyukur kepada Allah kerana tugasan dan harapan saya kepada mereka selama ini tidak sia-sia !.

Kerana terdapat hampir 40 peratus dari jumlah murid berkenaan berjaya mendapat markah ' lulus ' seperti pesanan yang sering saya berikan. Malah ramai juga yang hampir-hampir mencapai tahap lulus hanya beberapa markah lagi . Kesian !........

Memandangkan usaha pemulihan Jawi yang saya gunakan itu boleh berjaya, kaedah tersebut telah saya gunakan pula di kelas pemulihan Jawi di SRA Parit Enam , selepas betukar dari SRA Ehya Ul Falah beberapa tahun kemudian.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan