Sabtu, 30 Mac 2019

CATATAN ( 22 ) - GAJI PERTAMA GURU !.




Sesuatu yang berlaku buat ' kali pertama ' kepada seseorang pasti menjadi kenangan yang sukar hendak dilupakan. Penerimaannya juga pasti berbeza. Ada rasa gembira, rasa kecewa, rasa kagum, rasa takut, rasa kesal dan berbagai-bagai lagi.....

Bagi saya, menerima gaji pertama kali sebagai guru suatu yang cukup teruja dan amat menggembirakan. Saya juga sudah berazam, gaji pertama yang saya terima kelak saya akan beli ' sesuatu ' yang akan menjadi kenangan. Kalau boleh, biar kekal sampai bila-bila....

Untuk makluman, gaji saya sebagai guru pada waktu mula-mula menjawat jawatan sebagai ' guru agama pelatih' tidak sampai RM 120 sebulan, termasuk elaun sewa rumah tinggal di bandar sebanyak RM 20 ! . 

Kalau diberitahu tahu kepada generasi sekarang jumlah gaji saya yang sebenarnya, pasti mereka ketawa besar, sampai sakit perut ! .

Namun begitu untuk pengetahuan,  rata-rata gaji guru agama pada waktu itu memang ' amat-amat rendah ' berbanding dengan gaji guru Sekolah Kebangsaan atau gaji seorang buruh kasar. 

Mungkin kerana itu, menyebabkan tidak ramai orang berminat menjadi sebagai guru agama; terutama mereka yang tinggal di kawasan bandar besar seperti Kuala Lumpur, tempat pertama saya bertugas sebagai guru .

Untuk pengetahuan , pada masa itu gaji guru-guru agama yang bertugas di daerah  Kuala Lumpur diberikan secara wang tunai di Pejabat Agama Islam di Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Ada dua orang Nazir Pelajaran ditugaskan membayar gaji guru di pejabat itu.

Bagi guru yang bertugas dalam kawasan bandar Kuala Lumpur mereka akan dibayar oleh Nazir Pelajaran Dalam Bandar ,Ustaz Haji Abd.Jalil Sapuan             ( Sudah lama jadi Allah Yarham ). Manakala guru bertugas luar bandar Kuala Lumpur dibayar oleh Nazir Pelajaran Luar Bandar, Ustaz Haji Hassan Azhari      ( Qari terkenal mengajar Quran di Radio Malaysia ketika itu - Baru menjadi Allah Yarham kira-kira setahun lalu ).

Ketika saya dimaklumkan akan menerima gaji pertama, perasaan hati saya amat gembira sekali. Kerana walaupun jumlahnya ' sedikit ' , sebenarnya saya belum pernah menerima wang ' sebanyak ' itu pada masa lalu !.

Pada hari ditentukan, saya dan dua lagi rakan sama-sama guru agama yang tinggal serumah menaiki bas mini ke pajabat Nazir di Datuk Keramat untuk menerima gaji masing-masing. Kami amat gembira mendapat gaji dan melihat wang kertas berwarna merah !.....

Sebenarnya, saya sudah berazam akan balik ke kampung di Parit Sembilan, Sungai Besar apabila cuti sekolah selepas mendapat gaji untuk menemui ibu saya dan adik beradik serta bercadang membeli suatu ' benda ' kenangan dari wang gaji tersebut.

Al hamdulillah....hajat saya hendak membeli sebuah jam tangan berjenama tercapai menggunakan gaji pertama yang diterima !.

Pada masa itu jam tangan berjenama ' Titus ' adalah di antara jenama agak disukai ramai dan jarang rakan-rakan saya di kampung mampu membeli dan memilikinya kerana harganya ' agak mahal '. 

Kerana sangat gembira dan untuk menjadi kenangan ' gaji pertama ' , saya memberanikan diri membelinya. Walaupun harganya hampir separuh gaji yang saya terima bulan itu !.

Jam tangan tersebut saya pakai setiap hari dan rasanya lebih dari 10 tahun, sebelum ianya rosak dan tidak boleh diperbaiki lagi. 

Walaupun begitu, saya terus menyimpan ' rangka jam ' tersebut untuk beberapa lama hingga sempat beberapa orang anak saya turut melihatnya, sebelum jam tersebut hilang sama sekali dalam simpanan kerana kami berpindah rumah......




Tiada ulasan:

Catat Ulasan