Selasa, 26 Mac 2019

CATATAN (21) - BANJIR BESAR DI DAERAH SABAK BERNAM.




Daerah Sabak Bernam bukanlah kawasan banjir. Walaupun pada musim tengkujuh, hanya kampung-kampung yang berada di kawasan sawah padi sahaja sering terlibat dengan ' banjir kecil ' atau banjir kilat. Yang mana terdapat tambak rumah penduduk di kawasan tersebut ditenggelami air buat beberapa hari saja, tetapi tidak memaksa mereka berpindah.

Bagi kawasan rendah berhampiran kawasan sawah padi pula hanya ada beberapa kampung sering  mengalami banjir seumpamanya . Seperti di kawasan Parit 7 Sungai Leman, Sungai Nipah, Peket 60 dan Tebok Marso. Beberapa hari kemudian, air yang naik dan menenggelami jalan masuk atau keliling rumah akan surut apabila ' kunci air ' dibuka dan air dapat dialirkan ke laut.

Mungkin disebabkan kampung-kampung di daerah Sabak Bernam berjauhan dengan kawasan bukit dan berhampiran pula dengan Laut Selat Melaka maka keadaan banjir tidak berlaku seperti di daerah lain di Selangor. Selain itu , keadaan perparitan yang sempurana terutama di kawasan sawah padi , turut menyumbang berlakunya banjir besar dapat dielakkan.

Namun dalam tahun 1978 ( kalau tak salah ingatan saya ) penduduk di Kampung Belia Dua, Sungai Panjang telah dikejutkan dengan banjir besar yang memaksa ramai penduduk di situ diarah berpindah ke pusat pemindahan banjir bertempat di Sekolah KAFA Belia Dua, bilangannya hingga ratusan orang !.

Berita banjir di kampung tersebut menjadi ' gempar ' dan ramai orang seolah-olah tidak percaya boleh berlaku di situ.

Sebagai wartawan tugas saya ialah membuat liputan berhubung dengan bencana banjir ' kali pertama ' berlaku di daerah Sabak Bernam itu dengan secepat mungkin untuk siaran akhbar yang saya wakili.

Segala persiapan tugasan saya bawa waktu itu terutama lensa kamera ' zoom ' yang jarang digunakan dalam upacara majlis biasa. Persiapan tersebut akan lebih memudahkan saya untuk mengambil gambar jarak jauh yang sudah tentu menyulitkan dalam keadaan banjir. Selain itu, tidak ketinggalan membawa alat perakam suara yang memang jadi kebiasaan saya gunakan waktu temubual dengan orang ramai.

Untuk makluman, pada masa itu tidak ada kamera digital seperti sekarang. Semua kamera menggunakan ' filem '. Jadi , semua kamera yang saya bawa sudah sedia diisi dengan filem ' hitam putih ' !. Alat perakam suara pula saya gunakan untuk memudahkan semasa termubual. Kerana saya tidak pandai ' tulisan trengkas'  dan semasa mencatat biasanya saya lebih selesa menggunakan tulisan Jawi berbanding dengan dengan tulisan Rumi.

Setibanya saya ke pusat pemindahan banjir , saya lihat orang ramai berada di salah satu bangunan sekolah tersebut bersama keluarga. Ramai di kalangan wanita yang turut membawa anak kecil di situ.
Suasana agak riuh rendah. Macam dalam pasar !.

Ketibaan saya disambut baik oleh pihak pengurusan banjir di situ. Ramai penduduk di situ memang saya kenali. Mereka tanpa ' disoal ' turut memberitahu apa yang belaku untuk makluman saya.

Malah ada seorang penduduk menawarkan saya menaiki motorsikalnya untuk melawat kawasan banjir dan rumah-rumah penduduk yang terlibat dengan banjir. Dengan senang hati saya menerima pelawaan beliau dan tidak menaiki kerera sendiri.

Saya dibawa ke beberapa jalan di kawasan situ yang ditenggelami air kira-kira satu meter. Di kawasan yang kurang ditenggelami air dan terdapat penduduk yang masih enggan berpindah ke pusat pemindahan, saya terpaksa menyingsing ( menggulung ) seluar hingga lebih dari paras lutut  untuk datang menemui mereka membuat temu bual.

Di kawasan lain saya dibawa oleh penduduk melawat kawasan paling teruk dilanda banjir kerana berada di kawasa rendah dan berhampiran dengan sungai. Di situ, ada rumah penduduk yang ditenggelami air hampir ke paras bumbung dan penghuninya telahpun berpindah ke pusat pemindahan lebih awal.

Hasil temubual saya dengan penduduk terlibat, banjir berlaku kerana benteng Sungai Bernam telah pecah dan air masuk ke kawasan kampung tanaman kelapa sawit ditambah pula dengan waktu air pasang,

Mereka juga memberitahu, banjir berlaku memang tidak diduga oleh penduduk kerana berlaku amat pantas kira-kira beberapa jam sahaja sudah menenggelami kawasan rumah dengan teruk , terutama di kawasan rendah.

Bagi tujuan membuat liputan, saya terpaksa datang tiap hari ke pusat pemindahan banjir bagi mendapatkan perkembangan terkini, hingga pusat pemindahan ditutup beberapa hari kemudian. Ini kerana waktu itu tidak ada hubungan telefon bimbit seperti sekarang dan juga di kampung tersebut tidak ada kemudahan ' pondok telefon ' untuk perhubungan maklumat dengan pihak luar.

Sesungguhnya, pengalaman membuat liputan banjir Kampung Belia Dua menjadi pengalaman baru saya sepanjang menjadi wartawan akhbar. Mana tidaknya, laporan perlu disampaikan kepada pihak akhbar secepat mungkin bersama dengan gambar-gambar perisitiwa berlaku , sedangkan kemudahan tidak ada seperti era sekarang !.

Walau apa pun , saya bersyukur dengan sebab saya adalah seorang guru telah memudahkan tugasan yang agak sukar tersebut. Sama ada dari segi kerjasama penduduk terlibat mau pun oleh pegawai di pusat pemindahan banjir dari kalangan anggota bomba, polis dan jawatankuasa kampung berkenaan.

Hasil hubungan baik saya dengan semua pihak menyebabkan ada di kalangan mereka terutama penduduk berada di kawasaan pendalaman dan jarang berjumpa bertanya kepada saya , " Ustaz masih jadi pemberita ke ? "...... Walaupun saya sudah berhenti sebagai wartawan akhbar hampir 10 tahun, sejak tahun 2000 !.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan