Rabu, 20 Mac 2019

CATATAN (20) . DAPAT TAWARAN KE PEJABAT AKHBAR.




Setelah beberapa tahun saya bertugas sebagai wartawan daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor, pernah saya diberitahu oleh rakan saya , Encik Abd.Rahman Anuar yang betugas sebagai sidang pengarang di pejabat Utusan Melayu, Kuala Lumpur ada kekosongan jawatan di bahagian majalah, Utusan Kiblat.

Beliau memberitahu salah seorang pengarang Utusan Kiblat, Haji Zakaria Asmawi, kebetulan beliau adalah rakan lama saya dan pernah belajar sekelas semasa bersekolah di Madrasah Ubudiah, Parit 6 Sungai Besar, mempelawa saya bertugas di pejabat Utusan Melayu bahagian majalah.

Encik Abd.Rahman memberitahu, gaji bertugas di pejabat lebih tinggi dari gaji bulanan yang saya terima bertugas sebagai guru pada masa itu.

Pada mulanya saya amat berminat menerima tawaran tersebut. Kerana memang benar, gaji saya pada waktu itu hanya sekitar RM 200 lebih sahaja sebulan, di samping tugas tersebut bersesuaian dengan minat saya sebagai penulis.

Untuk makluman , gaji guru yang bertugas di Jabatan Agama Islam Selangor ( JAIS) pada waktu itu amat rendah berbanding dengan guru bertugas di Sekolah Kebangsaan di bawah Kementerian Pendidikan. 

Walaupun bergaji rendah, saya merasa amat bangga kerana boleh dikatakan semua rakan saya guru agama di daerah Sabak Bernam masing-masing sudah mempunyai motorsikal sendiri sebagai kenderaan harian. Malah ada rakan yang sudah mampu membeli kereta.  Seperti Ustaz Jamaludin bin Ahmad, yang kami gelar beliau sebagai OKB ( orang kaya baru ) !.

Berbanding dengan guru Sekolah Kebangsaan , masih ada yang tiada kenderaan sendiri serta terpaksa naik bas setiap hari bertugas ke sekolah masing-masing . Ada juga yang menumpang motorsikal rakan untuk sama-sama bertugas ke sekolah.

Menyedari gaji di pejabat Utusan Melayu ' agak tinggi ' berbanding dengan gaji sebagai guru, pada mulanya hati saya sudah mula ' goyang ' antara menerima tawaran tersebut atau kekal sebagai guru .

Namun bila saya ajukan tawaran itu kepada isteri , hati saya menjadi tabah semula untuk terus bertugas sebagai guru di samping  bertugas sambilan sebagai wartawan !.

Isteri saya yang juga bertugas sebagai guru ketika itu memberi alasan, jika saya berhenti sebagai guru dan bertugas di pejabat Utusan Melayu, sudah tentu terpaksa meninggalkan isteri dan anak-anak di kampung. Kalau beliau turut sama berpindah ke Kuala Lumpur pula mungkin sukar untuk minta tukar tempat bertugas ke luar daerah lain . 

Di samping itu saya diberikan alasan , bagaimana nanti tentang rumah kediaman , persekolahan dan penjagaan anak-anak. Malah kos makan minum di bandar juga adalah mahal berbanding di kampung selain saya tidak dapat mengerjakan sawah sebagai pekerjaan sambilan bagi menambah pendapatan keluarga.

Keputusan itu kemudian saya maklumkan kepada Encik Abd.Rahman dan beliau turut akur dengan keputusan tersebut. Saya juga mohon maaf melalui beliau , kepada rakan saya Haji Zakaria kerana tawaran yang diberikannya mempunyai halangan yang tidak dapat hendak dielakkan.

Apabila saya terkenang semula hal di atas, sekarang saya merasa amat bersyukur dengan kedudukan dan apa yang saya perolehi pada hari ini. Sebenarnya, banyak kebaikan saya perolehi dan dapat rasakan, berbanding jika saya meletak jawatan guru dan bekerja dengan pihak swasta ( akhbar ) .

Alhamdulillah....Allah telah menentukan jalan kebaikan kepada saya sekeluarga pada masa ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan