Selasa, 19 Mac 2019

CATATAN (19) . KUMPULAN NASYID SERI INTAN




Suatu hari dalam bulan Ramadhan, saya dipelawa oleh Encik Abu Bakar Sidek, kenalan wartawan akhbar Utusan di Teluk Intan untuk hadhir bersamanya ke majlis Ujian Tilawah Al Quran anjuran Utusan Melayu (M) Berhad di ibu pejabat, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.

Encik Abu Bakar Sidek adalah salah seorang peserta tilawah tersebut dan diminta untuk membuat persembahan nasyid sempena malam pembukaannya.

Saya bersetuju. Kerana inilah peluang saya berkenalan secara bersemuka dengan staf di pejabat yang selama ini saya hanya kenal nama atau suara mereka ketika menghantar berita ke pejabat melalui telefon .

Saya juga diminta oleh Encik Abu Bakar menjadi anggota kumpulan nasyid yang beliau tubuhkan bersama beberapa orang rakan lain.

Saya ketawa apabila mendapat jawapan beliau bahawa kumpulan nasyid tersebut baru hendak ditubuh dan setakat ini hanya ada tiga orang ahlinya termasuk saya !.

Namun saya diberi jaminan  akan ada lagi beberapa orang staf di pejabat yang akan sama-sama menyertai kumpulan itu nanti . Untuk tujuan itu menurut beliau, latihan akan diadakan bersama-sama sebelum tiba acara malam pembukaan.

Pada petang hari sebelum pembukaan tilawah saya dan Encik Abu Bakar serta seorang rakannya dari Teluk Intan bertolak ke Kuala Lumpur menggunakan kenderaan kereta saya. Saya turut membawa pakaian Melayu lengkap dan juga alat perakam suara yang sering saya gunakan semasa sessi temubual dengan orang ramai. Alat perakam suara itu perlu dibawa kata Encik Abu Bakar untuk sessi latihan dan beliau juga ada membawa beberapa keping kaset lagu-lagu nasyid untuk dipilih dalam latihan nanti.

Di pejabat akhbar Utusan kami diberi kemudahan menggunakan bilik mesyuarat untuk sessi latihan nasyid.

Dalam perbincangan seramai lima orang yang menjadi ahli kumpulan yang kemudiannya diberi nama Kumpulan Nasyid Seri Intan, kami bersetuju memilih lagu ' Ramadhan ' untuk sessi latihan di situ.

Pada petang itu kami terus berlatih dengan menggunakan alat perakam suara yang saya bawa hingga Encik Abu Bakar berpuas hati untuk persembahan yang akan diadakan pada malam nanti, sempena dengan majlis pembukaan tilawah !.

Pada malam pembukaan tilawah, Kumpulan Nasyid Seri Intan telah dipersilakan oleh juruacara majlis untuk memperdengarkan suara dan dinyatakan nama setiap ahli kumpulan !.

Al hamdulillah....selesai kumpulan kami memperdengarkan suara, tepukan gemuruh diberikan oleh penonton termasuk para jemputan kenamaan yang ada. Tetapi, saya tidak dapat mengenali setiap mereka kerana berada agak jauh dari pentas dan barisan para jemputan itu....

Pada malam pembukaan itu , Encik Abu Bakar termasuk dalam senarai peserta yang  memperdengarkan bacaan Qurannya. Jadi, selepas membuat persembahan nasyid beliau terus berada di belakang pentas membuat latihan sendiri untuk acara seterusnya.

Sementara saya dan rakan-rakan kumpulan pula beredar sebagai penonton majlis tilawah bersama orang ramai. Waktu itulah saya dapat melihat wajah beberapa orang anggota sidang pengarang dan wartawan hiburan yang hanya saya tahu melalui nama masing-masing.Seperti Encik Zainuddin Maidin (Zam), Encik Taib Ahmad, Pak Melan, Puan Fauziah Raof, Juwie dan lain-lain lagi.

Malam itu selepas selesai majlis tilawah saya, Encik Abu Bakar dan seorang rakannya tidur bermalam di rumah seorang anggota kumpulan nasyid ( lupa namanya... ) yang baru saya kenali.

Pada malam kedua dan penutup saya diberitahu oleh Encik Abu Bakar pihak penganjur meminta Kumpulan Nasyid Seri Intan memperdengarkan suara lagi sebelum pengumunan keputusan tilawah !.

" Lagu apa kita nak bawa ? ", tanya saya kepada Encik Abu Bakar.
" Kita bawa lagu semalam ! ", jawabnya pendek.

Kami ketawa serentak. Dan kedengaran Encik Abu Bakar berkata, " Kita bantai sahaja ...Apa peduli ! "......

Hari esuk kembali dari Kuala Lumpur saya bertugas ke sekolah di SRA Simpang Lima pada sessi petang seperti biasa. Ramai guru dan murid kelas saya ' hebuh ' kerana gambar Kumpulan Nasyid Seri Intan tersiar dalam akhbar Utusan Melayu dan gambar saya ada bersama di situ.....

Saya hanya tersenyum melihat sambutan mereka , kerana saya tahu Kumpulan Nayid Seri Intan ditubuhkan secara ' bidan terjun ' dan telah dibubar pula tidak secara rasmi selepas tamat sahaja majlis tilawah ......



Tiada ulasan:

Catat Ulasan