Isnin, 18 Mac 2019

CATATAN (18) . MURID SEKOLAH ' HILANG '




Saya lupa hari dan tarikh tragedi ' menggemparkan ' ini. Tetapi dalam catatan harian sekolah, rasanya memang ada dicatatkan peristiwa ini bersama lampiran salinan repot polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam di Sungai Besar.

Tetapi , saya masih ingat waktu itu saya baru ' bersiap-siap ' hendak bertugas ke sekolah pada sessi petang, kira-kira jam 1.00 petang lebih kurang.

Secara tiba-tiba saya dapat panggilan telefon dari Puan Aminah , staf pejabat sekolah memberitahu seorang murid lelaki tahap satu belajar sessi pagi , didapat ' hilang ' semasa bapanya hendak membawa pulang !.

Mendengar suara Puan Aminah dalam telefon begitu cemas, saya juga turut jadi cemas..... Ingatan saya sepantas kilat teringat peristiwa seorang kanak-kanak Tionghua bernama ' Tong Seng ' yang dihebuhkan dalam akhbar telah hilang, sejak beberapa minggu lalu.

Puan Aminah meminta saya datang segera ke sekolah. Kerana bapa murid berkenaan sedang menunggu. Saya beri jawapan akan datang segera dan beri masa saya sebentar untuk menunaikan solat zohor.

Selesai solat zohor saya berdoa semoga apa yang tergambar dalam fikiran saya tidak akan berlaku......

Tanpa makan tengah hari terlebih dahulu, saya segera memandu kereta ke sekolah yang jauhnya kira-kira 5 kilometer sahaja dari rumah kediaman saya di Sungai Haji Dorani.

Sebaik sampai ke sekolah, sudah ramai guru-guru bertugas sessi pagi menunggu saya di halaman sekolah termasuk bapa murid yang saya memang kenali beliau.

Saya mendapatkan maklumat awal dari guru kelas murid tersebut dan diberitahu sewaktu murid-murid hendak pulang ke rumah masing-masing memang ada murid berkenaan bersalaman dengan guru kelas . Beliau menduga murid tersebut pasti menemui bapanya di luar pagar sekolah , seperti kebiasaan.

Guru kelas mendapat tahu hanya setelah bapa murid datang berjumpa dengan beliau bertanyakan sama ada anaknya telah keluar bilik kelas atau sebaliknya.

Setelah dibuat pemeriksaan dan mendapat maklumat bahawa murid tersebut tidak ada di kawasan sekolah atau di luar pagar , sedangkan ramai rakan-rakannya telah pulang, guru berkenaan terus membuat laporan kepada Puan Aminah di pejabat sekolah  bersama dengan bapa murid tersebut. 

Tindakan awal saya lakukan waktu itu , bertanya siapa rakan-rakan rapat murid tersebut. Saya membuat andaian  murid berkenaan mungkin pergi ke rumah rakannya sebelum bapanya datang mengambilnya untuk pulang.

Dalam keadaan cemas, bapa murid memberitahu saya anaknya tidak pernah pergi ke rumah rakan-rakan, melainkan selepas dijemput balik ke rumah sendiri.

Dari makluman guru kelas pula, ada beberapa orang murid dikelasnya yang dilihat rapat dengan murid yang ' hilang ' itu.  Saya dapatkan alamat tempat tinggal murid tersebut dari rekod guru kelas dan meminta bapa murid yang kelihatan amat risau itu supaya bersama saya membuat pemeriksaan ke rumah rakan anaknya.

Selepas membuat pemeriksaan di beberapa rumah rakan dan diberitahu murid berkenaan tidak ada di situ, perasaan saya semakin risau ditambah dengan bapa murid berkenaan sering bertanya kepada saya , " Macam mana anak saya , ustaz.....".

Saya cuba mententeramkan keadaan dengan memberi harapan bahawa anak mereka ' tak apa-apa '. Walaupun saya juga sebenarnya turut risau !.

Selepas gagal menemui kanak-kanak tersebut, akhirnya saya membawa bapa murid untuk membuat repot ke Ibu Pejabat Polis Sabak Bernam di Sungai Besar yang tidak jauh dari SRA Ehya Ul Falah dan meminta pihak polis bekerjasama mencari dan mendapatkan murid yang hilang itu semula. 

Saya berpendapat, dengan bantuan pihak polis pasti tragedi yang berlaku kali pertama dalam sejarah SRA Ehya Ul Falah itu akan dapat di atasi segera.

Saya rasa kira-kira jam 4.00 petang barulah selesai membuat laporan polis dan meminta bapa murid tersebut supaya bertenang dan jangan risau, walaupun kehilangan kanak-kanak Tioghua bernama ' Tong Seng ' masih panas dalam ingatan orang ramai.

Sebagai wartawan akhbar pula, saya sudah membuat jangkaan  peristiwa ini pasti ' panas ' jika tersiar dalam akhbar Utusan Melayu dan Utusan Malaysia yang saya wakili pada hari esuk....

Walaupun begitu, saya lebih berharap ia tidak akan berlaku demi kebaikan tugas saya sebagai guru besar dan pentadbir SRA Ehya Ul Falah. Kerana murid yang ' hilang ' itu sebenarnya adalah anak saudara kepada Ahli Parlimen Sabak Bernam, Haji Hussein bin Taib yang juga pengerusi PIBG sekolah ! .

Al hamdullah ! Allah sentiasa menolong saya.....

Kira-kira jam 5.00 petang bapa murid yang ' hilang ' itu datang memberitahu saya bahawa anaknya sudah balik ke rumah dari rumah jiran sebelah !.

Saya diberitahu, jiran sebelah rumah telah membawa pulang anaknya sendiri dari sekolah bersama murid yang ' hilang ' itu . Oleh kerana murid tersebut berjiran, keluarganya mempelawa untuk makan tengah hari bersama-sama. Selepas makan, murid tersebut turut bermain-main dalam rumah dan tidak pulang ke rumah sendiri dengan segera.

Saya mengucap syukor kepada Allah dengan penjelasan tersebut dan meminta beliau memberitahu semula balai polis tentang anaknya telah dijumpai . Supaya tidak menyusahkan pula petugas polis di sana yang saya kira sudah menyusun operasi untuk mencari murid sekolah ' hilang '.

Pulang ke rumah, perasaan saya amat tenteram dan tenang. Pertama, saya tidak perlu bergelut memikirkan khayalan ' perkara bukan-bukan '. Kedua, saya tidak perlu menulis untuk berita ' murid hilang ' untuk akhbar yang boleh menambah lagi kerisauan ibu bapa selain kehilangan kanak-kanak Tionghua bernama ' Tong Seng ' tidak lama dulu.....

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan