Sabtu, 16 Mac 2019

CATATAN ( 17 ). CABARAN GURU BESAR SRA EHYA UL FALAH.



Walaupun ada pengalaman mentadbir sekolah sebagai guru besar di tiga buah Sekolah Rendah Agama (SRA) dalam tempuh lebih 10 tahun sebelum ini, apabila saya diarah bertukar ke Sekolah Rendah Agama Ehya Ul Falah pekan Sungai Besar terasa banyak perkara saya perlu ' belajar ' semula sebagai pentadbir atau guru besar....

Kalau sebelum ini di tiga buah SRA bilangan muridnya tidak lebih dari 500 orang dan belajar dalam satu sessi persekolahan iaitu sebelah petang sahaja, apabila bertugas di SRA Ehya Ul Falah saya terpaksa menghadapi bilangan murid sekitar 1,500 orang dan bilangan tenaga pengajar termasuk staf lebih 50 orang !.

Sudahlah bilangan murid , tenaga pengajar dan staf ramai jumlahnya , sessi persekolahannya juga diadakan pada waktu pagi dan petang.

Selain itu, blok bangunan sekolah juga ada dua bahagian. Satu blok bangunan berhampiran Masjid Jamek Makmuriah dan di situlah ditempatkan pejabat rasmi sekolah, manakala  satu blok bangunan lagi terletak hampir satu kilometer jauhnya dari situ; berhampiran komplek rumah kakitangan kerajaan di Jalan Parit Cabang !.

Oleh kerana sekolah mempunyai dua blok bangunan berasingan dan berjauhan pula, seringkali kerani atau pembantu tadbir sekolah terpaksa pergi balik menaiki motorsikalnya antara dua blok bangunan , kerana urusan-urusan pentadbiran tertentu.

Untuk makluman, SRA Ehya Ul Falah merupakan sekolah yang ' terbesar ' di antara lebih 30 SRA di daerah Sabak Bernam ketika itu. Kerana itu pihak Pejabat Pendidikan JAIS telah mengadakan staf sokongan seorang kerani dan seorang pembantu tadbir dan empat orang tukang kebun termasuk jaga sekolah. Berbanding SRA yang lain,  tidak ada staf sokongan di sediakan atau tukang kebun tetap dan jaga sekolah. 

Dari segi latar belakang ibu bapa , SRA Ehya Ul Falah amat berbeza dengan SRA yang pernah saya bertugas sebelum ini. Di sini, latar belakang ibu bapa ramai dari golongan ' terpelajar ' yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan kerajaan dan swasta, termasuk juga wakil rakyat , pengurus bank dan Pegawai Daerah.

Oleh sebab latar belakang ibu bapa seperti dinyatakan, saya sering menerima panggilan telefon dari mereka untuk bertanya maklumat sesuatu atau menyatakan hal-hal berkaitan pelajar anak mereka, selain datang sendiri ke sekolah untuk berurusan peribadi.

Keadaan ini amat berbeza dengan SRA tempat saya bertugas sebelumnya, di mana jarang ibu bapa berjumpa dengan pihak pentadbiran sekolah untuk mendapatkan maklumat sesuatu atau berbincang hal-hal pelajaran anak mereka. Ada tidaknya, mereka datang ke sekolah secara rasmi hanya pada mesyuarat PIBG setahun sekali sahaja !.

Mujurlah SRA Ehya Ul Falah memang ada telefon pejabat , kalau tidak mungkin setiap hari saya terpaksa berhadapan dengan ibu bapa yang datang dengan berbagai urusan !......

Suatu yang ketara kelemahan saya kerana agak sulit mengenali dan mengingati nama guru-guru yang bertugas pada sessi pagi dan petang dari dua blok bangunan sekolah seperti dinyatakan di atas.

Bagi mengatasi masalah tersebut, saya sering datang di luar masa bertugas kerana hendak berjumpa dengan guru-guru dan staf , supaya lebih mesra dan mengenali mereka.

Perlu juga dinyatakan di sini, masa bertugas semua Guru Besar SRA pada masa itu ( sekitar tahun 2000 dan sebelumnya )  sama sahaja dengan guru-guru penolong lainnya , iaitu bermula dari jam 2.00 petang hingga 6.30 petang.

Di SRA Ehya Ul Falah saya bertugas rasmi pada sessi petang dan pada sessi pagi ada ditugaskan seorang guru penolong kanan sebagai ' penyelia pagi ' untuk urusan-urusan pentadbiran sekolah.

Walaupun demikian, saya sering datang ke sekolah secara tidak rasmi pada sessi pagi persekolahan, kebetulan kerana pergi ke Pekan Sungai Besar untuk berbelanja. 

Sambil-sambil datang ke sekolah , saya turut membantu tugasan Penyelia Pagi dan staf pejabat untuk urusan harian mereka yang tidak dapat diselesaikan ketika ketiadaan saya.

Selain untuk merapatkan hubungan dengan guru dan staf pejabat , saya bersimpati kepada kerani sekolah saya seorang wanita , Puan Aminah binti Yasan ( sudah menjadi Allah Yarhamah beberapa tahun,  selepas saya bertukar ke SRA lain ) yang dipahamkan beliau sering tidak sihat untuk bertugas - Semoga Allah mencucuri rahmat kepada roh beliau yang saya kenali sebagai staf sekolah amat rajin dan lemah lembut tutur kata serta sentiasa membantu saya sebagai pentadbir . Amin Ya Rabbal ' Alamin...

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan