Ahad, 24 Februari 2019

CATATAN ( 16 ) -PENULISAN KERATIF



Sebelum aktif menulis berita ketika bertugas sebagai wartawan akhbar Kumpulan Utusan Melayu, sebenarnya saya sudah aktif menulis dalam penulisan cerpen dan sajak di majalah-majalah terbitan tanah air. Namun penulisan dalam bidang cerpen lebih banyak diterbitkan oleh majalah berbanding dengan sajak.

Dalam penulisan cerpen dan sajak saya akui sama sekali tidak mempunyai  asas, berbanding dengan penulisan berita dan rencana. Atau pernah megikuti mana-mana kursus dan bengkel penulisan mengenainya.Saya menulis cerpen dan sajak semata-mata ikut rasa hati atau ' selera sendiri '.

Dengan meneliti cerpen atau sajak yang telah disiarkan majalah atau akhbar mingguan seperti Utusan Zaman, saya cuba membuat penelitian sendiri kaedah penulisannya disamping mengetahui ' kehendak ' majalah tersebut.

Bagi saya ' kehendak ' atau dasar majalah tersebut amat penting diketahui lebih dahulu supaya karya yang ditulis dapat disiarkan. Umpamanya kalau penerbitan tersebut berbentuk hiburan, maka mungkin sukar karya kita disiarkan jika kita menulis cerpen yang berbentuk keagamaan dan ilmiah. Kita perlu menulis cerpen yang berbentuk hiburan juga dan sesuai dengan pembacanya yang terdiri daripada kalangan orang-orang muda.

Begitu juga sebaliknya , kalau penerbitan tersebut berbentuk keagamaan / dakwah maka tidak sesuai cerpen yang berbentuk kisah asmara dan bercinta dihantar kepada majalah berkenaan. Kalau kita hantar juga, maka alamat kena masuk ' bakul sampah ' cerpen tersebut !.

Kerana itu, untuk meneliti apa cerpen yang sesuai dengan penerbitan , saya telah membeli semua majalah yang ada dalam pasaran. Tidak kira majalah tersebut berbentuk hiburan, agama dan majalah kreatif . Tujuannya, tidak lain kerana ingin tahu apakah ' kehendak ' atau dasar bagi sesebuah penerbitan itu.

Dalam hubungan ini, saya tidak memilih nama penerbitan yang terkenal sahaja, malah saya juga membeli majalah-majalah ' kecil ' yang tidak terkenal. Dan saya mendapati, majalah-majalah tidak terkenal itu lebih mudah menyiarkan karya yang kita hantar kepada mereka untuk menjadi siaran.

Beberapa majalah hiburan yang tidak terkenal umpamanya ' Panorama ' lebih mudah menyiarkan cerpen hasil tulisan kita berbanding dengan majalah besar seperti Dewan Bahasa, Mastika dan seumpamanya.

Hasil dari penelitian karya yang disiarkan oleh penerbitan tersebut, hampir tujuh puluh peratus karya yang saya hantar telah disiarkan oleh penerbitan berkenaan !.

Sebenarnya, semasa saya menghantar cerpen atau sajak kepada pihak penerbitan,  soal bayaran atau honorariumnya sama sekali tidak jadi keutamaan saya. 

Pernah saya hanya menerima ' kiriman wang pos ' sebanyak lima belas ringgit bagi sebuah cerpen yang tersiar dalam majalah ' kecil ' berbanding dengan hampir seratus ringgit bayaran sebuah cerpen yang disiarkan oleh penerbitan / majalah ' besar '.

Dan saya tidak merasa kecewa atau merasa hampa jika cerpen atau sajak yang disiarkan pihak penerbitan tidak mendapat apa-apa bayaran, hatta tidak ada satu surat dari penerbitan berkenaan yang memberikan surat sebagai penghargaan ucapan terima kasih !.

Kerana matlamat saya waktu itu hanya ingin tahu dan melihat karya saya sama ada sesuai atau tidak menjadi siaran pihak penerbitan tertentu. Selain itu supaya dapat pula mengetahui tahap mana nilai penulisan saya di mata pihak penerbitan.

Mungkin hasil penelitian dan sikap begitu agaknya, dalam beberapa pertandingan menulis cerpen dan sajak saya berjaya mendapat kemenangan. Al hamdulillah....

Umpamanya dalam pertandingan menulis cerpen dakwah peringkat negeri Selangor anjuran Jabatan Agama Islam Selangor ( tahunnya saya lupa.... ) saya berjaya mendapat tempat kedua. Di mana pemenang tempat pertamanya ialah penulis Bakhtiar Jamily , seorang penulis cerpen yang sudah dikenali ramai waktu itu.

Begitu juga dalam pertandingan menulis cerpen dan sajak peringkat kebangsaan anjuran Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia ( MAYC) saya turut berjaya mendapat tempat kedua dalam penulisan cerpen dan tempat ketiga dalam penulisan sajak. Selain hadiah wang tunai dan sijil penghargaan, saya telah mendapat tajaan MARA untuk melawat negara Singapura bersama istereri selama tiga hari dua malam !.

Untuk catatan, pertandingan anjuran Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) khusus kepada ahli-ahli sahaja dan saya adalah seorang yang aktif dalam persatuan belia MAYC ketika usia 30an hingga 40an dahulu.

Perlu juga saya catatkan di sini, untuk menulis sebuah cerpen saya sering membuat ' khayalan ' dahulu ke atas cerpen yang akan ditulis. Kadang kala hingga beberapa hari....Apabila khayalan tersebut ' siap ' saya pun akan menulisnya secara terus menerus dengan mesin taip hingga selesai dengan masa beberapa jam !.

Apabila cerpen tersebut siap, saya ' simpan ' sementara waktu sehari dua. Bila ada waktu kelapangan yang sesuai, barulah cerpen tersebut saya semak semula dan perbaiki dari segi ejaan dan ayat persembahannya.

Penulisan cerpen ' peringkat awal ' ini kebiasaannya saya lakukan pada waktu malam. Ketika anak-anak dan isteri sudah masuk tidur....Lantaran cara saya begitu, kadangkala isteri saya turut ' merungut ' sebab mengganggu beliau hendak tidur dengan bunyi ketukan mesin taip saya tidak henti-henti !.

Seingat saya, sepanjang menjadi penulis kereatif dan kemudian sebagai wartawan sebanyak tiga buah mesin taip saya telah gunakan . Saya akan membeli mesin taip baru apabila mesin taip tersebut ' rosak ' kerana ketukan huruf longgar dan baris hurufnya tidak sekata serta tidak jelas.

Saya tidak lagi menggunakan mesin taip untuk menulis apabila telah membeli sebuah komputer baru dengan harga hampir tiga ribu ringgit dan terpaksa membuat pinjaman Bank Rakyat untuk memiliknya !.

Komputer yang saya gunakan waktu itu masih ' diperingkat awal ' . Kerana ianya hanya menggunakan skrin hitam putih dan ada satu program saja untuk menulis iaitu program ' word star ' . Waktu itu belum ada program ' windows ' dan lain-lain seperti sekarang. Dan seingat saya, guru-guru agama di Daerah Sabak Bernam yang pertama tahu menggunakan komputer waktu itu hanyalah saya seorang sahaja....( Sekadar untuk makluman, bukan untuk berbangga ).

Berbalik kepada penulisan kreatif, seingat saya hampir semua majalah terbitan tanahair waktu itu ada menyiarkan hasil tulisan saya. Ada juga beberapa majalah yang sering menyiarkan karya saya seperti Majalah Kiblat, Dian, Wanita dan Majalah Fesyen.

Sepanjang aktif menulis kreatif ada kira-kira 40 buah cerpen pernah tersiar di samping dan kurang dari 20 buah sajak. Penerbitan yang menyiarkan hasil tulisan tersebut saya simpan dengan baik untuk kenangan pada masa hadapan. Tetapi, ketika saya berpindah ke rumah baru penerbitan tersebut banyak saya lupuskan kerana telah rosak dan tidak dapat dikemaskinikan dengan sempurna.

Saya sebenarnya pernah bercadang untuk menghimpunkan cerpen-cerpen tersebut untuk diterbitkan dalam sebuah antologi cerpen. Tetapi, malang hajat tersebut tidak kesampaian kerana sebab yang dinyatakan dan ' salinan asal '  turut rosak !.

Sekarang, semuanya tinggal kenangan.......




Tiada ulasan:

Catat Ulasan