Sabtu, 17 Februari 2018

CATATAN ( 15 ) - USTAZ PUN MAIN BOLA .!




Dalam tahun 70an , guru-guru agama yang bertugas di Sekolah Rendah Agama (SRA) atau Sekolah Menengah Agama (SMA) daerah Sabak Bernam, kebanyakan usia mereka waktu itu sekitar 30an dan awal 40an sahaja. Tidak ramai yang berusia sekitar 50an. 

Di samping itu, bilangan guru agama wanita atau lebih dikenali sebagai ' ustazah ' juga amat kurang bilangannya berbanding dengan bilangan guru lelaki. Tidak seperti masa sekarang, di mana guru agama wanita lebih ramai dari guru agama lelaki betugas dalam sebuah sekolah !.

Saya pada waktu itu baru berusia awal 20an...... Dan memang ramai rakan-rakan guru agama tidak terlatih dalam usia seperti saya. Mereka masih muda belia dan bertenaga serta terlibat dalam bidang bersukan . Di antara mereka ramai terlibat menjadi pemain bola sepak, sepak takraw dan badminton mewakili pasukan tempat mereka tinggal dan ada juga yang menjadi pemain di peringkat daerah Sabak Bernam !.

Oleh kerana ramai bilangan guru agama lelaki dalam usia muda belia serta terlibat dalam sukan, maka dakam tahun 70an ( saya lupa tahun sebenar ) atas cadangan Majlis Guru Besar daerah Sabak Bernam telah dianjurkan perlawanan boleh sepak peringkat daerah Sabak Bernam . Selain itu, diadakan juga perlawanan sepak takraw dan badminton perseorangan dan beregu.

Oleh kerana perlawanan diadakan di peringkat-peringkat zon lebih dahulu, maka amat ' bersemangat ' ketua-ketua zon dilantik untuk memilih dan melatih para pemainnya.  Untuk membentuk pasukan pemain peringkat zon mereka tidaklah sukar, kerana setiap zon memang ramai pemain-pemain terdiri dari golongan guru muda dan berkebolehan !.

Saya mendapat tahu, Dewan Tun Razak di pekan Sabak dan Dewan Seri Bernam di Sungai Besar adalah gelanggang latihan digunakan oleh pasukan bandminton berlatih tiap malam !. Di antara beberapa orang ' jaguh ' badminton guru agama yang dikenali seperti Ustaz Hasan Basri bin Othman , Ustaz Masri bin Abd.Karim ( guru besar Sekolah Rendah Agama Sungai Haji Dorani - tempat saya bertugas ) dan lainnya telah terpilih mewakili zon masing-masing.  Manakala bagi latihan pasukan bola sepak dan sepak takraw pula mereka gunakan padang sekolah agama yang bersesuaian di zon masing-masing.

Dalam pemilihan mewakili pasukan peringkat zon lebih separuh pemainnya adalahh terdiri dari kalangan guru agama tidak terlatih seperti saya, terutama bagi pasukan bola sepak . Namun, saya tidak termasuk dalam mana-mana pasukan mewakili zon, kerana saya memang tidak berminat dan tiada kebolehan dengan permaian sukan seperti bola sepak, badminton dan sepak takraw. 

Ini adalah disebabkan saya ' takut ' dengan bidang sukan,  berikutan peristiwa semasa saya bersekolah rendah dahulu pernah ' pengsan ' kena tendangan bola sepak di mana saya belatih menjadi penjaga gol bagi pasukan Sekolah Melayu ( sekarang Sekolah Kebangsaan ) Parit Sembilan, Sungai Besar !. Sejak peristiwa itu, saya terus ' kecut ' perut dan berhenti meminati bidang sukan .....

Pada tahun 70an saya memang sudah mula menulis di akhbar Utusan Melayu sebagai penulis ' sukarela " ( tanpa menerima apa-apa bayaran ). Oleh kerana itu, pada masa latihan zon diadakan saya cuma jadi ' pemerhati ' ..... Saya hanya ' terlibat ' pada masa perlawanan akhir peringkat daerah Sabak Bernam sahaja untuk membuat siaran akhbar Utusan Melayu.

Dalam perlawanan sepak takraw dan badminton peringkat zon serta daerah saya tidak terlibat menyaksikan kesemua perlawanannya, tetapi saya hanya mengambil keputasan perlawanan sahaja . Tindakan begini diambil kerana saya bercadang hanya membuat siaran akhbar bergambar bagi perlawanan bola sepak sahaja . Saya beranggapan pihak akhbar pasti akan menyiarkannya kerana mempunyai ' nilai berita ' dan agak luar biasa guru agama ( ustaz ) main bola pada waktu itu !.

Sangkaan saya ternyata tepat. Kerana keputusan perlawanan bola sepak dan perlawanan lainnya telah disiarkan oleh akhbar Utusan Melayu bersama gambar pasukan bola sepak guru agama yang menjadi johan peringkat daerah Sabak Bernam, beberapa hari berikutnya !.

Saya dibeitahu oleh rakan-rakan guru , akhbar Utusan Melayu yang menyiarkan berita dan gambar johan pasukan bola sepak guru agama daerah Sabak Bernam ' amat laris ' pada hari siaran tersebut !. Kerana ramai kalangan guru lain ingin melihat ' wajah ' johan pasukan bola sepak di akhbar  pula ....

Sebagai ' wartawan ' yang menghantar berita tersebut,  saya juga turut  gembira  kerana hasil tulisan saya sudah  ' dinilai ' oleh pihak akhbar ! ( Malangnya keratan akhbar tersebut rosak dalam simpanan dan telah dibuang , semasa saya berpindah ke rumah sendiri pada awal tahun 2000 dahulu..... )



Tiada ulasan:

Catat Ulasan