Selasa, 30 Januari 2018

CATATAN (14 ) - DAPAT PENCEN DUA KALI !




Tidak ramai di kalangan guru Sekolah Rendah Agama (SRA) yang bertugas dengan Jabatan Agama Islam Selangor ( JAIS ) berpeluang menyambung perkhidmatan sebagai guru selepas mereka bersara ( pencen ) , kccuali guru-guru yang berkhidmat di Sekolah Agama Menengah  ( SAM ) atau Sekolah Agama Menengah Tinggi ( SAMT ) . Kerana waktu itu ramai kekurangan tenaga guru-guru terlatih untuk mengajar di sekolah berkenaan di daerah- daerah negeri Selangor.

Di daerah Sabak Bernam hanya terdapat dua orang guru SRA yang berpeluang mendapat tawaran menyambung tugasnya, selain saya ialah Ustaz Haji Suradi bin Sidam yang bersara dari jawatan Nazir Pelajaran Agama Islam Daerah Sabak Bernam. 

Tawaran diberikan kepada kami kerana keadaan kesihatan mengizinkan terus bertugas dan rekod tugas sepanjang terkhidmatan sebagai guru. Ustaz Haji Suradi bertugas dan ditempatkan di Pusat Dakwah Daerah Sabak Bernam di Sungai Lang dan saya ditugaskan di Sekolah Rendah Agama Parit (9) , Sungai Besar ( kampung saya semasa kecil dahulu ).

Sebelum bersara, saya bertugas sebagai guru besar di Sekolah Rendah Agama Parit (6), Sungai Besar, iaitu sekolah tempat saya bersekolah agama tahun 50 an dahulu . Di sekolah tersebut saya bertugas hampir tiga tahun, selepas bertukar dari Sekolah Ehyaul Falah, Pekan Sungai Besar sebagai guru besar juga.

Mungkin perasan guru-guru lain yang hendak bersara agak berbeza dengan perasaan saya yang turut bersara wajib. Kalau dikutkan rasa hati, memanglah sedih dan sayu hendak berpisah dan meninggalkan ramai murid dan guru rakan sejawatan yang sudah menjadi seperti keluarga sendiri selain bergaul setiap hari bertahun-tahun lamanya !.

Walaupun pada hari perpisahan saya agak sebak memberi ucapan perpisahan dan keraian bersara dihadapan murid , kemudian menerima ucapan ' Selamat bersara ' dari semua murid dan guru selain menerima hadiah persaraan dari mereka, selepas kembali ke rumah saya tetap tenang seolah-olah tidak ada perkara berlaku pada hari terakhir saya bertugas di sekolah tersebut.

Keadaan begini berbeza dengan beberapa orang rakan guru yang juga bersara, sebelum saya. Kerana dari pengalaman guru tersebut ada yang seperti ' hilang akal ' pada hari-hari selepas bersara !.

Seorang rakan bersara memberitahu saya, pada hari pertama beliau bersara secara tidak sedar beliau telah bersiap-siap pakaian dan kenderaan hendak pergi ke sekolah seperti biasa, hingga diberitahu oleh isterinya bahawa beliau sudah bersara sebenarnya , tetapi kenapa masih hendak pergi bertugas ke sekolah lagi !. 

Pada hari-hari berikutnya pula, beliau memberitahu merasa amat ' keseorangan ' berada di rumah walaupun bersama keluarga menjelang tiba waktu petang ( masa bertugas di SRA dahulu ). Sehinggakan beliau sanggup pergi ke sekolahnya dahulu untuk melihat murid-murid balik dari sekolah bagi  ' mengubati kesunyian hati ' .....

Beliau berkata lagi, dalam tempuh sebulan selepas bersara  beliau sering menitiskan air mata dan bersedih apabila terkenang kepada murid dan rakan-rakan gurunya.....

Mungkin ada beberapa sebab saya tidak mengalami ' perasaan guru bersara ' begitu. Di antaranya, kerana beberapa hari selepas bersara di SRA Parit (6) saya telah bertugas semula di SRA Parit (9) Sungai Besar yang mana setiap hari perjalanan saya akan lalu di sekolah tersebut kerana bertugas di sekolah baru, selain kebetulan pula dua orang anak saya masih bersekolah di SRA Parit (6) yang membolehkan saya bertemu dengan ramai murid tiap hari dan guru-gurunya semasa mengambil anak saya untuk pulang selepas tamat masa persekolahan sebelah petang.

Begitu juga semasa saya ' pencen kali kedua ' selepas tamat kontrak bertugas selama dua tahun di SRA Parit (9) Sungai Besar, saya tidaklah mengalami perasan '  sedih melampau ' seperti rakan yang ceritakan di atas. Sedih tetap sedih, tapi masih boleh terkawal.......

Cuma satu sahaja perasan saya waktu itu  : Bagaimana agaknya keadaan murid-murid yang lembam membaca dan menulis jawi selepas ketiadaan saya mengajar mereka ( Kerana saya turut bertugas dan mengajar murid-murid tersebut pada tiap kelas dengan kaedah yang saya gunakan,  hasil pengalaman mengajar dari beberapa sekolah sebelum ini ).

Kalau sekiranya selepas saya bersara masih ada guru yang menyambung tugas begitu, amatlah baik dan dapatlah mereka terus belajar sehingga pandai menulis dan membaca jawi yang menjadi asas pembelajaran di SRA. Tetapi, bagaimana kalau tidak ada ' pengganti ' ?.....

Selain itu, mungkin juga perasaan sedih saya boleh dikawal kerana Parit 9, Sungai Besar adalah kampung saya sendiri. Di situlah sebenarnya tempat saya membesar dan belajar di sekolah rendah masa kecil dahulu . Jadi, walaupun tidak bertugas ke sekolah , saya kerap lalu lalang di sekolah untuk pergi menziarahi seorang kakak yang menetap di situ dan kerapkali  bertemu dengan murid-murid atau guru-gurunya .



Tiada ulasan:

Catat Ulasan