Ahad, 9 Oktober 2016

CATATAN ( 11 ) - MENGASAH BAKAT MURID.





Semasa bertugas di Sekolah Agama Sungai Haji Dorani - sekarang di kenali sebagai Sekolah Rendah Agama ( SRA) Sungai Haji Dorani - pada awal tahun 70an , aktiviti sekolah mengadakan perayaan / majlis ihtifal masih berterusan seperti masa saya masih bersekolah di Madrasah Ehya Ulfalah ,Sungai Besar dahulu..

Waktu itu , sekolah tempat saya bertugas masih lagi mempunyai tingkatan menengah ' Darjah Khas ' hingga tahun (2). Dengan sebab itu, murid yang belajar juga adalah terdiri daripada kalangan murid yang telah berusia lebih dari 12 tahun, selain murid yang masih bersekolah di peringkat rendah.

Oleh kerana sekolah pada setiap tahun akan mengadakan masjlis ihtifal untuk memilih wakil dalam pertandingan peringkat sekolah dan majlis ihtifal sekolah agama yang lain, maka guru besar sekolah waktu itu, Ustaz Masri bin Abd.Karim telah mengarah supaya semua murid dilibatkan dalam aktiviti pertandingan ihtifal diadakan.

Sehubungan itu , semua guru juga diarah sebagai ketua guru kumpulan ( firqah ) masing-masing dan memberi latihan kepada murid dalam firqahnya. Begitu juga di kalangan murid mereka turut dibahagi kepada empat kumpulan yang diberi nama Firqah Saidina Abu Bakar, Firqah Saidina Omar , Firqah Saidina Othman dan Firqah Saidina Ali.

Setiap Firqah turut diberikan ' pendahuluan ' sekurang-kurangnya seorang kalangan murid yang memang sudah berkebolehan dalam bidang tertentu. Umpamanya bacaan Quran, Berzanji, marhaban, membaca sajak ( puisi ), membaca syair, nasyid, syarahan/ pidato, membaca khutbah, membaca tafsir Quran dan termasuk juga bidang sukan seperti badminton dan sepak takraw. Selebihnya, murid yang tidak mempunyai kebolehan akan dibahagi mengikut kelas masing-masing secara purata bagi setiap firqah.

Saya tidak ingat apa nama firqah yang saya ketuai waktu itu dan nama rakan guru satu firqah       ( kerana tidak ada catatan dan masa berlaku telah berdekad-dekad lamanya ! ). Namun saya masih ingat bidang yang saya ambil untuk melatih murid-murid firqah ialah syarahan, membaca khutbah, membaca sajak, membaca syair dan masyid. Bidang lain pula telah diambil alih oleh guru rakan firqah.

Oleh kerana setiap guru ingin ' menaikkan ' nama firqah masing-masing semasa pertandingan ihitfal sekolah nanti , maka berbagai-bagai cara dan rahsia latihan dilakukan kepada ahli firqahnya. Ada yang melatih murid waktu cuti sekolah iaitu pada hari sabtu dan ahad  , ada yang melatih murid pada waktu rehat hari persekolahan dan ada juga di kalangan guru sanggup membawa balik muridnya untuk diberi latihan di rumah !.

Dalam bidang sukan pula, ada kalangan guru sanggup membelikan reket badmintan berjenama  diberikan kepada murid di bawah firqahnya untuk membuat latihan menghadapi perlawanan badminton dengan firqah lain !.

Apabila semakin hampir hari ihtifal sekolah diadakan, semakin bersungguh-sungguh lagi guru firqah membuat latihan murid yang bakal bertanding. Dalam tempuh tersebut sikap ' kekitaan ' guru firqah dan murid firqahnya terus dipupuk. Hinggakan ada kalangan murid tidak bertegur sapa dengan rakan disamping merahsiakan cara latihan dan tempat latihan mereka kepada rakan sekolah dari firqah lain !.

Sikap begitu turut terbawa-bawa kepada kalangan guru-guru firqah  . Hinggakan mereka beranggapan seolah-olah guru lain adalah ' musuh ' yang  tidak perlu didekati serta ditakuti pula rahsia latihan atau keupayaan murid diketahui ' musuh '  . Kononnya demi menjaga nama dan untuk kejayaan firqah masing-masing kelak !....

Di samping itu, kerana setiap firqah diwajibkan menghantar seorang wakil dalam setiap pertandingan diadakan maka ramailah kalangan guru yang tidak ada kepakaran dan kebolehan melatih sendiri muridnya dalam bidang tertentu telah mendapatkan khidmat penduduk tempatan untuk melatih wakilnya dengan membayar ' sagu hari ' .

Saya masih ingat salah seorang penduduk yang terlibat melatih murid dimaksudkan ialah Zakaria bin Gibin. Beliau seorang pelajar Madrasah Khairiah Wataniah, Pekan Selasa Lama. Beliau berkebolehan dalam bidang bacaan Quran dan diberi tugasan melatih pelajar perempuan bernama Kamariah binti Kosrin

Catatan: Mungkin hasil dari perkenalan / percintaan semasa mengadakan latihan bacaan Quran itu, Zakaria dan Kamariah akhirnya telah berkahwin beberapa tahun kemudian selepas mereka tamat persekolahan masing-masing. Al hamdulillah, mereka hidup bahagia dengan dikurniakan Allah SWT beberapa orang anak dan sekarang terus menetap di kariah Pekan Selasa Lama, Sungai Haji Dorani.....

Pendek kata, hasil kegigihan guru-guru firqah melatih muridnya , telah melahirkan ramai murid Sekolah Agama Sungai Haji Dorani yang berbakat dalam berbagai bidang serta berjaya pula memenangi dalam pertandingan diadakan peringkat ihtifal sekolah atau peringkat  ihtifal di sekolah  agama yang lain. Sebagai contoh, bidang bacaan Quran ialah Surati binti Sudaip dan Kamariah binti Kosrin, bidang marhaban Bariah binti Haji Mahfoz dan rakan-rakannya, bidang sukan sepak takraw Abas bin Samidi dan rakan-rakannya, bidang syarahan Sulaiman bin Zahlan, bidang membaca khutbah Rosni bin Marzuki dan lain-lain yang saya terlupa nama-nama mereka.....

Apa yang membanggakan saya sekarang, sebagai guru yang terlibat dengan usaha mengasah bakat murid-murid tersebut di zaman persekolahan dahulu, apabila mereka menceburkan diri dalam masyarakat setempat dengan bakat sedia ada.

Mereka yang dimaksudkan sekadar menyebut beberapa nama yang saya ketahui ialah Sulaiman bin Zahlan - pensyarah di UiTM, Rosni bin Marzuki - imam di Masjid An Nur Kampong Sungai Haji Dorani dan Nordin bin Ramli - bilal di masjid yang sama. Selain kitu ramai juga di kalangan mereka telah menjadi guru di beberapa daerah Negeri Selangor berbekalkan pengalaman dan bakat yang ada.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan