Isnin, 13 Jun 2016

CATATAN (10) - LATIHAN AMALI




Sepanjang mengikuti kursus kewartawanan , tugasan paling mencabar kepada semua peserta  apabila mereka diarah membuat latihan amali menulis rencana. Latihan amali ini dilakukan sehari sebelum semua perserta tamat berkursus dan diberikan sijil kelayakan.

Sebelum itu, semua perserta dibahagi mengikut kumpulan masing-masing dan diarah membuat temubual dengan peniaga di pasar malam kawasan ' Benteng ' yang terletak tidak jauh dari Masjid Jamek Tun Perak. Sekembalinya dari temubual itu nanti peserta dikehendaki membuat sebuah rencana yang akan dinilai oleh Encik Abd.Ghani dan akan dicatatkan keputusan 'markah ' rencana di dalam sijil masing-masing.

Di kalangan peserta , ramai mereka yang tidak arif di mana letaknya kawasan berniaga dimaksudkan. Terutama peserta perempuan dan mereka yang tinggal di luar negeri Selangor. 

Mujur ada berberapa peserta termasuk saya sendiri tahu arah jalan ke tempat tersebut . Oleh itu  kami diminta oleh Encik Abd.Ghani mengetuai peserta lain untuk ke sana dengan berjalan kaki dari Kampung Baru ke kawasan perniagaan berkenaan

Saya tidak ingat berapa ramai peserta dalam satu-satu kumpulan yang diarah ke sana, cuma yang saya, ingat setiap kumpulan ada seorang atau berdua peserta wanita.

Apabila sampai ke kawasan perniagaan di Benteng, semua kumpulan berpecah untuk membuat temu bual dengan peniaga-peniaga di situ. Saya bersama kumpulan tidak terus membuat temubual, tetapi kami memilih sebuah warung kepunyaaan seorang India yang menjual makanan dan minuman untuk minum terlebih dahulu di situ.

Seorang rakan wanita kumpulan saya merungut panjang kerana terpaksa berjalan kaki begitu jauh dan beliaulah yang mencadangkan supaya membasahkan tekak sebelum membuat temubual dengan peniaga. Kemudian, kami masing-masing pun membuat pesanan minuman dan sambil minum kami berbincang bagaimana memulakan temubual....

Saya mencadangkan kepada ahli kumpulan supaya membuat temubual dengan peniaga tempat kami minum di situ sahaja. Mereka bersetuju. Saya meminta rakan yang malu-malu untuk bertanya bertugas menjadi ' tukang catat temubual ' sahaja dan biarlah kami yang ' biasa bercakap ' membuat pertanyaan-pertanyaan diperlukan  Mereka turut bersetuju.....

Al hamdulillah, sessi temubual kami dengan peniaga tersebut mendapat kerjasama baik selepas saya memperkenalkan kepadanya bahawa kami adalah ' wartawan  '  . Maklumat yang saya berikan nampaknya tidak menimbulkan sebarang keraguan kepadanya. Mungkin beliau melihat setiap kami dibekalkan dengan ' kad nama ' setiap seorang.

Selesai sessi temubual dengan peniaga dan waktu dihadkan telah tamat, kami berkumpul semula dan sama-sama balik dengan berjalan kaki sekali lagi ke Kampung Baru. Sepanjang perjalanan keadaan agak riuh rendah diselangi dengan gelak ketawa. Kerana ada kumpulan menceritakan kisah-kisah lucu mereka semasa membuat temubual dengan peniaga-peniaga ! .

Kami tiba semula ke Yayasan Bakti, Kampunng Baru sudah agak jauh malam dan kami diarah menulis sebuah rencana hasil temubal dengan peniaga malam itu pada hari esuk sahaja untuk diserahkan kepada Encik Abd.Ghani dan diberikan penilaian.

( Pengalaman membuat temubuah dengan peniaga pada malam itu menjadi satu perisitiwa yang  tidak boleh saya lupakan.....Nasib baik juga kami tidak diarah untuk mengambil gambar-gambar yang berkaitan sekali ! ) .

Keesukan hari saya dan kumpulan membuat perbincangan sedikit dan mendapatkan maklumat dari ' jurutulis ' temubual malam tadi. Kami juga berbincang supaya rencana yang dihasilkan masing-masing tidak sama atau hampir sama antara seorang dengan yang lain. Terutama segi hendak membuat ' intro ' dan juga susunan pertanyaan diajukan dan jawapan peniaga berkenaan.

Untuk  makluman, waktu itu tulisan yang popular adalah tulisan tangan. Jadi semua peserta menulis rencana masing-masing dengan tulisan tangan sahaja di atas kertas yang disediakan.

Selesai semua peserta menyerahkan tulisan rencana masing-masing  , Encik Abd.Ghani telah membuat ' komen ' satu demi satu rencana yang dihasilkan peserta. Purata rencana dihasilkan kata beliau adalah baik dan mengikut panduan diberikan. Menurut beliau lagi , keputusan  ujian masing-masing akan turut ditulis dalam sijil yang diberikan nanti.

Agak melucukan juga , apabila selesai majlis penyampaian sijil tidak ada di kalangan peserta mahu menunjukkan sijil mereka kepada rakan-rakan lain atau memberitahu markah diterima. Masing-masing menyembunyikannya dan memberitahu sabagai ' rahsia '......

Bagi saya, walaupun turut bersikap sama seperti mereka, saya sebenarnya telah berjaya mendapat markah ' A '. Dan saya tidak tahu berapa ramai peserta lain yang mendapat markah sama seperti saya atau lebih rendah lagi . Hinggalah ke hari ini......

Namun begitu , selepas pulang ke kampung halaman masing-masing saya dapat melihat ada beberapa hasil tulisan rakan-rakan saya telah disiarkan oleh akhbar tempatan. Tidak ketinggalan juga tulisan-tulisan saya turut disiarkan oleh akhbar Kumpulan Utusan Melayu. 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan