Isnin, 15 Januari 2018

CATATAN (12) - KEISTIMEWAAN WARTAWAN DAERAH



Memang benar, bertugas sebagai wartawan atau lebih dikenali oleh orang kampung sebagai ' pemberita ' boleh meletakkan diri kita sebagai ' selebriti ' atau lebih dikenali di kalangan masyarakat setempat. Sebaliknya , seorang wartawan bertugas di daerah juga dapat banyak kemudahan dari ramai orang yang mengenalinya bagi mendapatkan ' sumber berita ' yang diperlukan.

Tanpa membanggakan diri, ketika saya bertugas sebagai wartawan hampir semua ketua jabatan kerajaan di daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor saya kenali mereka dan sebaliknya. Selain itu , termasuk juga pemimpin masyarakat seperti penghulu mukim,ketua-ketua kampung, pemimpin pertubuhan sukarela seperti belia dan tidak ketinggalan kalangan pemimpin politik seperti wakil-wakil rakyat dan jawatankuasa bahagiannya. Sama ada politik kerajaan atau politik pembangkang.

Hubungan baik dengan mereka itu banyak membantu tugasan saya seharian, tanpa halangan apa-apa . Banyak juga maklumat yang ' tersembunyi ' di kalangan orang-orang politik dan parti politik saya tahu dan mereka dengan mudah memberitahu , sama ada politik bagi pihak kerajaan atau pembangkang. Namun, kerana berpegang kepada etika kewartawanan, saya tetap simpan segala ' rahsia ' diperolehi tanpa memberitahu sesiapa atau menghebahkan kepada pihak lain.

Sebagai contoh, semasa kempen pilihanraya umum atau pilihnraya kecil saya agak bebas untuk masuk ke bilik gerakan pilihanraya parti kerajaan atau pembangkang. Petugas- petugas dalam bilik gerakan mudah memberi saya kebenaran melihat carta gerak kerja mereka tanpa curiga apa-apa.

Di pihak parti politik kerajaan mereka maklum saya agak rapat dengan wakil-wakil rakyat tempatan dan sering bekerjasama memberi maklumat kepada akhbar Utusan Malaysia / Utusan Melayu untuk siaran. Manakala petugas bilik gerakan parti pembangkang ( PAS ) kebanyakan mereka sedia mengenali saya kerana sama-sama bertugas sebagai guru ( ustaz ) dan mereka sudah kenal biasa.

Selain itu, bertugas sebagai wartawan daerah kadangkala kita bernasib baik dapat layanan lebih istimewa dari para jemputan lain dalam satu-satu perhimpunan majlis. Sebagai contoh, saya pernah dijemput manikmati jamuan di pentas diraja Sultan Selangor waktu itu !.

Ceritanya begini : Suatu ketika dalam satu majlis yang dihadhiri oleh DYMM Sultan Selangor di daerah Sabak Bernam , saya dan rakan-rakan wartawan TV / Radio dan akhbar perdana dari Kuala Lumpur telah dijemput oleh Orang Besar Daerah Sabak Bernam, Dato' Baharin Mat Akhir untuk menikmati jamuan di Pentas Diraja, selepas baginda Sultan berangkat pulang bersama tetamu lain.

Mulanya saya dan wartawan lain menolak, tetapi diberitahu oleh beliau yang merupakan orang bertanggungjawab dalam majlis tersebut bahawa majlis sudah tamat dan sebagai tanda menghargai kami yang tidak ada kesempatan menikmati jamuan bersama tetamu kerana bertugas, seorang demi seorang di kalangan kami naik ke pentas mengambil tempat untuk ' menyapu ' semua ' sisa santapan ' baginda sultan . Dan ada seorang wartawan akhbar Berita Harian dari ibu pejabat yang juga kenalan saya ( tak perlu diberitahu namanya !... ) lantas mengambil tempat duduk baginda sultan untuk menikmati jamuan yang tersedia !.

Dari segi hubungan persaudaraan / kenalan pula tidak dinafikan tugas sebagai wartawan daerah memberikan peluang untuk berhubung dengan orang ramai. Ke mana sahaja saya pergi , ada sahaja mereka yang menyapa, walaupun bukan di kampung sendiri. Malah hingga sekarang apabila saya pergi menghadhiri satu majlis di daerah masih ada mereka yang beranggapan saya masih bertugas sebagai wartawan - Walaupun saya sudah meninggalkan kerjaya sejak tahun 2000 dahulu !.

Bagi mereka yang agak ragu2 lantas bertanya , " Ustaz masih menulis lagi ke ? ".( Mereka mungkin beranggapan saya masih lagi wartawan akhbar.) Dan saya berikan jawapan, bahawa saya sudah berhenti sebagai wartawan akhbar, tetapi masih bertugas sebagai penulis portal berita sendiri sahaja sekarang.

Selain itu , ada juga di kalangan orang ramai yang mengenali saya memberitahu bahawa sekarang mereka agak sukar menyuarakan masalah kampung kepada pihak akhbar supaya lebih ' diambil perhatian ' oleh pihak-pihak berkenaan, kerana wartawan yang mereka kenali sudah tidak ada seperti dulu di daerah ini.

Kata mereka, masa saya bertugas sebagai wartawan daerah dulu amat mudah mereka hendak memberitahu sesuatu. Kerana jika tidak bersua di mana-mana majlis mereka boleh datang ke sekolah tempat saya bertugas untuk tujuan memberi maklumat.

Kata mereka lagi , walaupun sekarang kemudahan telefon tangan dimiliki oleh ramai orang, untuk tujuan memberi maklumat kepada wartawan di daerah , tetapi banyak hal tidak dapat disuarakan melalui akhbar tempatan. Malah kadangkala wartawan yang dihubungi  bersikap ' memilih ' berita atau individu pemberi maklumt pula, selain mereka tidak mengenali secara dekat dengannya.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan