Ahad, 12 Jun 2016

CATATAN ( 9 ) - HADHIR KURSUS WARTAWAN

 

Peringkat awal , saya menyertai kursus kewartawanan melalui pos sahaja. Selepas beberapa bulan, saya ditawarkan pula oleh pihak pengelolanya untuk berkursus secara hadhir di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Tawaran tersebut saya terima dan amat menggembirakan . Kerana tarikh-tarikh tersebut adalah dalam waktu cuti persekolahan. Jadi, ianya tidak mengganggu tugas hakiki di sekolah sepanjang mengikuti kursus tersebuat. Kursus tersebut pula diadakan cuma beberapa hari sahaja.

Saya bersetuju dengan tawaran tersebut serta menjelaskan semua bayaran kursus yang ditetapkan dengan bayaran sekali gus. Pada peringkat awal, saya menjelaskan bayaran kursus pada tiap bulan dan telah berjalan beberapa bulan sebelumnya.

Kebetulan , waktu itu saya sudah mempunyai sebuah kenderaan kereta . Jadi tidak menjadi masalah kalau saya berkursus secara hadhir ke Kampung Baru , Kuala Kumpur atau balik ke rumah pada bila-bila masa,  jika ada berlaku apa-apa kecemasan ke atas keluarga saya yang ditinggalkan.

Dengan membawa pakaian diperlukan dan juga alatan kegunaan harian, saya pun bertolak ke Kampung Baru, Kuala Lumpur bersendirian menuju ke alamat diberikan. Al hamdulillah, kerana saya pernah tinggal di Kampung Baru , Kuala Lumpur pada masa mula-mula bertugas sebagai guru dahulu maka tidak ada masalah untuk ke tempat dituju.

Saya tiba di Yayasan Bakti, tempat akan berkursus kalau tidak salah ingatan saya kira-kira jam 10 pagi. Waktu itu sudah ramai perserta yang hadhir. Mereka berbual dan berkenalan di antara satu dengan lain. Ada peserta lelaki dan ada peserta perempuan. Tapi, mereka semuanya masih muda-muda berbanding dengan saya yang sudah berumah tangga.

Saya lupa berapa jumlah sebenar peserta waktu itu. Tapi , kalau tidak salah ingatan saya lebih dari 20 orang  semuanya.

Semasa acara suai kenal, saya dapat tahu peserta tersebut datang dari negeri- negeri selain negeri Selangor. Ada dari Johor, Pahang , Melaka dan juga Kedah. Kebanyakan mereka belum bekerja dan ada juga yang sudah berjaya menulis di akhbar-akhbar tempatan .

Selepas acara  itu, saya sudah mendapat beberapa orang kenalan di kalangan peserta. Seperti Cikgu Marzuki bin Nyak Abdulllah dari Kedah dan Haji Ramlan bin Tarmom dari Tanjong Karang yang bertugas sebagai guru KEMAS.

Saya mendapat tahu, Cikgu Marzuki sudah banyak tersiar tulisan beliau di akhbar-akhbar tempatan. Beliau turut membawa keratan akhbar tersebut. Oleh itu, saya lebih rapat dengannya untuk mengetahui cara penulisan beliau yang membolehkan tersiar di akhbar. Beliau pula memang seorang yang peramah dan tidak ' lokek ' bertukar-tukar pendapat tentang cara penulisan yang pernah dilakukkannya.

Sepanjang hadhir kursus wartawan , kami banyak didedahkan maklumat sebenar cara penulisan oleh Pengelola Yayasan Bakti, Encik Abd.Ghani Ahmad yang pernah bertugas di penerbitan akhbar Kumpulan Utusan Melayu. Pada tajuk-tajuk tertentu ada penceramah undangan turut memberi ceramahnya seperti Subky Latif dan Pak Wan ( Tuan punya Redzuan Foto Media ).

Kami menjalani kursus diadakan sepanjang hari hingga waktu malam. Untuk penginapan, kami ditempatkan di sebuah hotel untuk beberapa malam sepanjang tempuh kursus dengan peserta lelaki dan perempuan ditempatkan di hotel berasingan.

Sepanjang tempuh kursus itu , saya turut berpeluang bergaul dan lebih rapat dengan Encik Abd.Ghani, Pengelola Yayasan Bakti.  Kerana kebetulan beliau sering menggunakan kereta saya untuk berurusan dengan penceramah undangan dan membawa saya bersama-sama sekali.

Di samping itu, saya turut berpeluang bergaul dan bertukar- tukar pendapat dengan semua peserta tanpa mengira latar belakang pendidikan dan pekerjaan mereka. Tambahan pula saya perhatikan mereka turut beranggapan saya adalah lebih matang dari segi usia dan latar belakang pekerjaan.

Pendek kata, pergaulan dalam tempuh beberapa hari di Yayasan Bakti menyebabkan kami saling bantu membantu dalam tugasan harian dan tidak beranggapan siapa lebih pandai dalam bidang kewartawanan. 

Di kalangan peserta tersebut, Haji Ramlanlah merupakan seorang ' rakan baru ' saya yang kemudiannya menjadi ' rakan sebaya ' selepas tamat berkursus dan masing-masing pulang ke rumah. Kerana tempat tinggal kami tidak berjauhan dan sering berjumpa di mana-mana

Al Hamdulillah persahabatan saya dan Haji Ramlan berterusan hingga ke saat ini.....



Tiada ulasan:

Catat Ulasan