Selasa, 15 April 2014

CATATAN (7) - NAIK BASIKAL KELILING BANDAR KL.



Sebagai ' orang baru ' di bandar Kuala Lumpur, saya memang ingin tahu banyak perkara. Terutama jalan-jalan di bandar dan juga tempat- tempat menarik yang menjadi distinasi lawatan apabila datang ke Kuala Lumpur bersama rombongan sekolah dulu. Umpamanya, Zoo Negara, Taman Tasek/ Bunga, Tugu Negara, Muzium Negara, Stadium Merdeka dan Stadium Negara dan banyak lagi.

Oleh kerana saya ada kemudahan untuk membuat tinjauan sekitar bandar Kuala Lumpur dengan menunggang basikal ( sekitar akhir tahun 60an masih ramai penunggang basikal di KL ), hampir setiap petang selepas balik bertugas di sekolah, saya akan ' hilang ' dari rumah !.

Boleh dikatakan hampir semua lorong dan jalan di bandar telah saya lalui. Saya sudah tahu di mana letaknya panggung ternama dan juga gedung-gedung pakaian yang masyhur di situ. Malah suatu petang saya ' tersesat ' masuk ke kawasan tempat yang dikenali sebagai ' Belakang Mati ' !.....

Dan oleh kerana saya sudah tahu semua jalan dan lorong, maka rakan-rakan saya Tumadi dan Tahril pernah mengajak saya meronda malam pergi ke Taman Tasek/ Bunga kemudian melalui Muzium Negara, Masjid Negara dan akhirnya balik ke Kampung Baru dengan berjalan kaki sahaja.

Apa yang menggelikan hati, keesukan harinya Tumadi sebuk kerana tumit kasutnya kelihatan senget   akibat  ' dimakan ' jalan tar malam tadi . Entah berapa batu jauhnya !....Memang benar. Bila masing-masing melihat tapak kasut, semuanya kelihatan ' senget ' . Nasib badan....

Suatu petang , seperti biasa saya meronda bandar melalui jalan Ampang. Saya tidak tahu ke mana hujung jalan tersebut. Saya teruskan perjalanan tanpa arah tujuan tertentu....Rupa-rupanya saya telah masuk ke jalan Zoo Negara di Hulu Klang !. Saya tidak masuk ke Zoo Negara, cuma berligar-ligar di luar dan bersembang dengan seorang penjual air di kawasan itu. Hampir jam tujuh petang baru saya sampai semula ke rumah.....

Walaupun begitu, ada dua perisitiwa yang tidak dapat saya lupakan ketika meronda bandar dengan menunggang basikal. Pertama, saya nyaris-nyaris di langgar kereta dari arah belakang berhampiran Masjid Jamek, Jalan Tun Perak. Dan kedua bagaimana saya hampir kena saman polis !.

Perisitwa pertama berlaku suatu petang ketika saya melalui jalan Tun Perak hendak masuk ke Jalan Tuanku Abd.Rahman. Waktu itu Jalan Tuanku Abd.Rahman bukan jalan sehala . Kenderaan masih boleh berulang alik. Saya bercadang hendak balik ke Kampung Baru  melalui tersebut.

Selepas memberi isyarat tangan untuk belok ke kanan, tiba-tiba sebuah teksi memotong jalan saya dari belakang menggunakan sebelah kanan juga. Orang ramai yang berada dan berkeliaran berhampiran situ ramai yang menjerit kuat, kerana terkejut saya hampir-hampir dilanggar teksi. Mujur teksi tersebut dapat memberhentikan kenderaan bila menggesel basikal saya . Mujur juga basikal saya tidak tumbang....

Saya tidak pasti pemandu teksi tersebut sama ada bangsa Melayu atau Cina. Cuma yang dapat saya perhatikan, orang ramai datang berkerumun dan melimparkan kata-kata kesat kepadanya kerana membawa teksi tanpa mempedulikan orang yang menunggang basikal.....

Dengan rasa cemas dan berdebar-debar ketakutan, saya meneruskan perjalanan pulang melalui Jalan Tunaku Abd.Rahman dan masuk ke Jalan Perkin terus balik ke rumah di Kampung Baru. Peristiwa tersebut saya tidak beritahu kepada Tumadi dan Tahril atau sesiapa pun....

Peristiwa kedua ialah suatu petang semasa saya kali pertama pergi ke Taman Tasek / Bunga menunggang basikal dari arah jalan Muzium Negara. Seperti saya katakan , saya meronda jalan-jalan di bandar Kuala Lumpur memang tidak ada tujuan untuk ke mana-mana tempat tertentu . Jadi, selepas melalui jalan di kawasan Taman Tasek/ Bunga, saya lihat di hadapan ada bangunan parlimen. Saya terus menunggang basikal ke arah situ.

Tanpa diketahui, rupanya saya telah memasuki jalan bulatan / keliling di situ dan terus membelok ke lorong jalan arah kanan. Saya sama sekali tidak menyedarinya, kerana waktu itu tidak ada sebarang kenderaan lalu lalang yang menandakan ianya jalan bulatan / keliling.

Sedang saya menunggang basikal, tiba-tiba di hadapan ada sebuah kenderaan polis membunyikan siren dan berhenti di hadapan saya !. Saya tergamam serta merta. Seorang polis keluar dari kenderaan dan menghampiri saya.

Apa saya lakukan ketika itu ?.....

Saya pun tidak menduga atau  merancangnya lebih awal apa yang perlu dilakukan.  Mungkin ianya adalah secara kebetulan dan mungkin Allah SWT hendak menolong saya dari kena saman polis......

Sebaik sahaja saya turun dari basikal tiba-tiba perut saya naik memulas dan terus muntah !.

" Kenapa ni ?.... Kenapi ni ? " , tanya polis tersebut kepada saya.
" Saya pening dan hendak muntah ' , jawab saya sambil mengesat mulut dengan sapu tangan.

" Ini salah jalan tau !. Kenapa belok kanan ? ....Ikut kiri baru betul ! ", tambahnya.
" Saya tau . Tapi, saya tak perasaan masuk jalan kanan sebab rasa pening " , jawab saya berdalih.

Alhamdulillah....saya tak kena saman !. Malah saya diperingatkan oleh polis tersebut supaya jangan menunggang basikal kalau badan tak sihat dan pening-pening.

" Kalau pening, makan ubat ! ", pesannya sambil masuk semula ke dalam kenderaan dan meninggalkan saya keseorangan di situ. Saya ucapkan teima kasih atas nasihatnya. 

Dan saya menunggang semula basikal mengunakan lorong yang sama melalui bulatan tersebut terus melalui Tugu Negara dan balik ke Kampung Baru.... Peristiwa ini juga tidak saya beritahu kepada sesiapa selepas itu.

Sehubungan itu, saya ingin mohon kemaafan kepada polis berkenaan jika beliau terbaca tulisan ini. Dan kepada Allah SWT saya memohon ampun di atas kesalahan berbohong yang pernah saya lakukan lebih 40 tahun lalu !.....



Tiada ulasan:

Catat Komen