Isnin, 17 Februari 2014

CATATAN (6) - MENGAPA KAU TERMENUNG.......


Setiap kali lagu ' Mengapa kau termenung...' .nyanyian Jeffry Din, salah seorang penyanyi pop yeyeh yang popular sekitar tahun 60an berkumandang di udara , ingatan masa saya tinggal di Kampong Baru, Kuala Lumpur tiba-tiba datang menjelma semula..... Terasa seolah-olah saya masih berusia awal 20an . Baru menjadi guru.....

Apa tidaknya ?. Waktu itu, lagu tersebut hampir sepanjang masa , pagi petang dan malam kedengaran di radio dan juga ' radio gram ' dari kedai makan Pasar Minggu, Kampong Baru berhadapan dengan rumah Wak Kaslan tempat kami tinggal . 

Kerana setiap waktu lagu tersebut berkumandang di udara , saya yang tidak pernah menghafaz senikatanya secara langsung pun telah hafaz dan boleh menyanyiknnya !. Dan menjadi gurauan kami pula apabila salah seorang rakan sebilik ' termenung ' , ( mungkin memikirkan sesuatu ! )  adalah nanti yang menyapa sambil menyanyikan lagu ' mengapa kau termenung.... ' Selepas itu, deraian ketawa kami bertiga akan bergema seketika !.

Suatu ketika , kerana ketawa kami agak 'menggila-gila ' isteri Wak Kaslan yang kami bahasakan beliau sebagai ' embah widok ' bertanya kenapa ketawa mengila-gila , dari ruang dapurnya di sebelah bilik kami .

Tumadi, rakan sebilik yang rapat dan sering berbual-bual dengan ' embak widok ' lantas menjawab berjenaka , " kilingan bojo !.. " ( Teringatkan isteri !....). Mendengar jawapan begitu, isteri Wak Kaslan pun turut ketawa juga.

Menjadi suatu kebiasaan , pada waktu malam selepas makan malam dan solat isyak, kami akan bertandang ke rumah Wak Kaslan di ruang hadapan tingkat atas. Tujuan kami tidak lain dan tidak bukan sekadar hendak menonton TV dan mendengar siaran warta berita ( Waktu itu masih TV hitam putih ! ). Adakalanya, kami turut dihidangkan minuman dan kuih oleh isteri Wak Kaslan sambil kami berbual-bual dengan ' Din ' cucu lelaki beliau yang masih bersekolah rendah dan tinggal serumah di situ .

Selepas menonton TV kira-kira jam sepuluh malam atau lebih, sering kami duduk melepak-lepak pula di sebuah bangku panjang di bawah pokok mempelam di halaman rumah Wak Kaslan, terutama pada malam minggu. 

Tujuan kami selain berehat dan mengambil udara malam adalah untuk memerhatikan berbagai gelagat pengunjung Pasar Minggu dan juga memerhatikan kalau ada rakan kenalan dari daerah Sabak Bernam yang datang berkunjung ke Pasar Minggu pada malam itu.

Pada masa itu, mana-mana rombongan dari luar bandar yang melawat Kuala Lumpur  seperti ' tidak sah ' kalau tidak datang menjenguk Pasar Minggu untuk menyaksikan kelompok-kelompok orang ramai dan menyaksikan hiburan di pentas disediakan.

Bagi kalangan orang-orang muda pula, mereka gemar dan sengaja pergi bersesak-sesak melalui kawasan jalan yang dikenali sebagai ' jambatan gesel ' terletak di pertengahan Jalan Perkin menuju Jalan Tuanku Abdul Rahman , tidak jauh dari Masjid Kampong Baru .

Suatu keadaan yang rasa menggelikan hati bila dikenang semula , kami duduk-duduk  melepak di halaman Wak Kaslan hanya memakai kemeja T, berkain sarung ( kami sebut kain gulung ! ) dan sekadar memakai selipar Jepun sahaja. Ramai juga rakan-rakan dari kampung terkejut dan bertanya apabila melihat kami berpakaian begitu.

Bila dinyatakan kami tinggal di situ ( berhadapan Pasar Minggu ) baru mereka paham. Kemudian turut sama duduk-duduk melepak beberapa ketika sambil memerhati orang ramai lalu lalang. 

Ada kalanya , kami turut membantu ketua rombongan mencari ahli kumpulan mereka yang tidak pulang ke tempat bas sedang  menunggu , kerana ' hilang '  dan sesat dalam kelompok orang ramai yang bercampur baur di situ. Pada hal rakan-rakan lain telah masuk dan berkumpul dalam bas untuk bertolak pulang !.

Menginsafi suasana begitu, saya baru percaya seperti dikatakan ramai orang sebelum ini bahawa orang tempatan Kuala Lumpur memang boleh kenal di kalangan orang ramai yang datang berpusu-pusu ke Pasar Minggu itu sama ada dia ' orang KL ' atau dia ' orang kampung ' ( Walaupun mereka berpakaian kemas dan tunjuk lagak !.....).

Selalunya, kami agak mudah mencari ahli kumpulan yang hilang dan sesat itu berpandukan gerak geri dan penampilan pakaian mereka di kalangan orang ramai, walaupun kami tidak mengenali mereka.

Apabila dikenang-kenang semula tabiat kami suka duduk-duduk melepak waktu malam, rupa-rupanya ada juga faedah atau kebaikannya . Kerana sekali sekala dapat juga membuat sedikit kebajikan kepada mereka yang meminta pertolongan !...... 




Jumaat, 7 Februari 2014

CATATAN (5) - " TINGGAL DEPAN SYORGA TU ! ".....


Masa saya bertugas sebagai guru di Kuala Lumpur dulu, gaji bulanan kami tidak dibayar melalui bank. Kami diberikan gaji secara wang tunai . Tempat kami guru-guru mengambil gaji bulanan ialah di Pejabat Agama Islam Datuk Keramat. Saya datang ke pejabat berbasikal sahaja dari Kampung Baru. Rakan-rakan lain ada yang datang naik teksi dan juga bas mini.

Untuk makluman pembaca, di Pejabat Agama Islam Datuk Keramat ditempatkan dua orang Nazir Pelajaran Agama untuk membayar gaji guru-guru. Seorang bernama Ustaz Haji Abdul Jalil Safuan ( Allah Yarham ) beliau bagi pentadbiran sekolah ' Kuala Lumpur Luar Bandar ' manakala seorang lagi Ustaz Haji Hassan Azhari ( Guru pembimbing dan Qari Quran yang mengajar di Radio Malaysia . Al Hamdulillah, masih lagi sihat sekarang ini ! ( Terkini: Meninggal dunia tahun 2018 ) beliau bagi pentadbiran sekolah ' Kuala Lumpur Dalam Bandar '.

Semasa guru-guru datang mengambil gaji di pejabat , saya berpeluang berkenalan dengan ramai guru agama  seluruh Kuala Lumpur. Salah seorang yang saya amat kenali ialah Ustaz Hambali Abd.Razak. Beliau adalah merupakan salah seorang ' orang kuat ' Persatuan Guru Agama Islam Selangor ( PEGUAM ) waktu itu

Alhamdulillah, Ustaz Hambali Abd.Razak masih menjadi kenalan rapat saya walaupun selepas kami berpisah tempat bertugas - Saya bertugas di Daerah Sabak Bernam dan beliau tetap bertugas di Kuala Lumpur - kerana kebetulan saya turut aktif menjadi jawatankuasa PEGUAM untuk beberapa tahun dan juga Koperasi Guru-Guru Islam Selangor.

Ustaz Hambali Abd.Razak adalah seorang guru agama berwibawa dan berani serta berjaya memperjuangkan nasib guru-guru agama hingga mendapat gaji setaraf dengan guru-guru sekolah kebangsaan . melalui persatuan guru agama Selangor ( PEGUAM ) dan juga persatuan guru agama Malaysia Barat ( KKGUMB ) yang beliau pimpin

Terlanjur bercerita tentang kedudukan guru agama atau lebih dikenali juga sebagai ' ustaz ', saya ingin menyatakan di sini bahawa pandangan masyarakat terhadap guru agama waktu itu adalah sebagai ' rendah ' . Mana tidaknya ? Gaji guru agama pelatih seperti saya dapat gaji bulanan hanya RM 100 lebih sahaja , berbanding dengan guru sekolah kebangsaan mendapat gaji lebih RM 300  !..

Oleh kerana menerima gaji yang cuma ' secubit '  dan tinggal di Kuala Lumpur pula, dua atau tiga minggu sekali kami bertiga bergilir-gilir balik ke kampung untuk mengambil beras segantang dua. Pada hal harga beras di Kuala Lumpur ketika itu kalau tak salah ingatan saya cuma RM 2.20 segantang !.

Walaupun dengan pendapatan gaji sebegitu, saya tetap bersyukor kepada Allah SWT kerana banyak pengalaman hidup saya perolehi , di samping dapat berbakti dan berdakwah agama Islam kepada anak bangsa.

Suatu yang saya rasa cukup bertuah kerana dapat berkenalan dengan pembimbing / qari Quran , Ustaz Hassan Azhari yang sering suaranya didengar melalui radio Malaysia (RTM) waktu itu. Malah saya amat gembira kerana beliau telah mengenali saya secara dekat sebagai guru dan dapat pula berbual-bual semasa datang ke pejabatnya atau semasa beliau mengajar kelas bimbingan minggunan guru-guru agama pelatih.

Suatu hari, beliau pernah bertanya di mana saya tinggal menyewa rumah di Kuala Lumpur. Saya memberitahu beliau , saya menyewa rumah Wak Kaslan berhadapan Pasar Minggu, Kampong Baru bersama dua orang rakan guru agama yang sama-sama datang dari daerah Sabak Bernam

Sambil ketawa kecil beliau berkata : " Tinggal depan syorga tu ! ". Saya paham maksud beliau...kerana Pasar Minggu Kampong Baru waktu itu memang tempat hiburan dan menjadi tumpuan orang ramai, terutama pada malam minggu.....



Isnin, 3 Februari 2014

CATATAN (4) - MURID INDIA PANDAI BACA QURAN !



Di antara kelas-kelas yang saya masuk mengajar pelajaran agama Islam, terdapat sebuah kelas ada dua orang murid berbangsa India turut belajar di dalamnya. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Murid lelaki itu saya perhatikan kurang sedikit bijak pelajarannya berbanding dengan murid perempuan . Kedua-dua mereka saya lupa namanya !.

Saya telah diberitahu oleh Guru Besar, kedua-dua murid tersebut semasa saya masuk mengajar pelajaran agama Islam tidak perlu mereka disuruh turut sama belajar. Pesan Guru Besar, mereka boleh diberikan kerja lain yang sesuai sepanjang pelajaran saya. Tetapi, kalau mereka ingin turut sama belajar, bolehlah diajar seperti murid Melayu yang lain.

Saya akur dengan arahan Guru Besar itu.....

Namun, setiap kali saya mengajar pelajaran agama Islam, saya perhatikan kedua-dua murid India itu berminat mendengar penerangan pelajaran yang diberi. Oleh kerana itu saya suruh mereka duduk berhampiran dengan murid Melayu yang berdekatan , supaya mudah mengikuti pelajaran melalui buku teks agama.

Saya kurang pasti dan tidak pula bertanyakan hal kedua-dua murid India itu kepada Ustaz Mohd.Nor yang telah mengajar pelajaran agama Islam sebelum saya masuk tertugas di sekolah itu. Sama ada murid tersebut beliau arahkan turut sama belajar pelajaran agama Islam atau sebaliknya.

Memandangkan kedua-dua murid itu ' berminat ' kepada pelajaran agama Islam, sekali sekala saya soal mereka apa yang telah diajar. Kedua-dua mereka nampaknya boleh menjawab !. Maknyanya mereka betul-betul mengikuti pelajaran yang diajar.....

Ketika saya mengajar semua murid membaca ayat Quran dalam surah lazim yang terdapat dapat buku teks, mereka kelihatan turut sama membacanya bersama murid-murid lain !.

Suatu hari, sengaja saya suruh seorang dari mereka membaca ayat Quran yang diajar. Masya Allah dan Subhanallah !....Dia boleh menbacanya seperti murid-murid Melayu yang lain. Maknanya murid tersebut juga memang paham perkataan dalam tulisan jawi......

Sejak hari itu, saya berazam  kedua-dua murid India itu akan saya ajar secara langsung pelajaran agama Islam seperti murid-murid lain. Mana tahu, suatu hari nanti dengan kepahamanan mereka tentang agama Islam mereka akan memeluk Islam pula !.

Atas keazaman itu, saya sering mengambil sedikit masa untuk menerangkan kebaikan agama Islam kepada semua murid dan bercerita kisah-kisah para nabi untuk teladan. Tindakan saya menyelitkan kisah-kisah nabi tersebut nampaknya lebih menarik minat kedua-dua murid India tersebut dan juga rakan-rakan lain dalam kelas. Hinggakan setiap kali sebelum memulakan pelajaran saya diminta murid-murid menyambung kisah nabi yang lalu lebih dahulu !

Saya perhatikan , kedua murid India itu paling ' terkesan ' apabila saya bercerita kisah Nabi Ibrahim AS yang dibakar oleh Raja Namruz. Hinggakan mereka pernah memberikan pendapatnya , memang betul patung-patung berhala sekarang pun tidak boleh bercakap seperti patung-patung yang dibinasakan oleh Nabi Ibrahim itu......

Walaupun sudah puluhan tahun dan begitu lama saya keluar bertugas dari Sekolah Kebangsaan Polis Depot,  kenangan ini masih saya ingati dan amat membanggakan sepanjang tugas sebagai guru .

Namun sehingga sekarang, saya tidak tahu apakah terjadi kepada kedua-dua murid tersebut. Saya berharap mereka terus belajar agama Islam selepas tamat sekolah rendah, sekolah menengah dan pengajian tinggi atau bekerja . Dan mungkin mereka telahpun memeluk agama Islam ? .

Mudah-mudahan harapan saya ke atas mereka dimakbulkan Allah SW. Amin ya rabbal 'alamin !.