Isnin, 27 Januari 2014

CATATAN (3) - MEMANG SEKOLAH TERBAIK !


Sekolah tempat saya bertugas ini memang sebuah sekolah yang terbaik !. Terutama dari segi peraturan dan disiplinnya. Ini dapat dilihat di kalangan guru-guru, murid-murid hingga kepada semua pekerja kantin sekolah.

Bagi saya yang terbiasa dengan suasana di sekolah agama, peraturan dan disiplin yang diamalkan di sekolah ini boleh diibaratkan bagai langit dengan bumi ; berbanding dengan disiplin sekolah agama ( Mungkin juga di sekolah kebangsaan lain yang berada di luar bandar ? ).

Apa tidaknya, kalau semasa saya bersekolah di Madraah Ehyaul Falah atau Madrasah Khairiah Wataniah dahulu murid-murid hingar bangar kalau disuruh menghafaz pelajaran, tetapi di sekolah ini umpama kelas kosong tidak ada murid; walaupun mereka  sebenarnya ada dan sedang menghafaz pelajaran !.

Untuk makluman, di sekolah ini saya ditugaskan mengajar pelajaran agama murid darjah empat sebanyak dua kelas dan darjah lima dua kelas. Walaupun begitu, saya lebih banyak ' rehat ' dibilik guru , kerana dalam sehari saya masuk kelas hanya dua atau tiga kali sahaja. Kerana itu , saya banyak masa untuk berkenalan dengan guru-guru di situ semasa mereka rehat tidak masuk kelas.

Pada hari mula-mula saya hendak masuk mengajar ke kelas, saya merasa bingung . Kerana tidak tahu di mana kelas sepatutnya saya masuk mengajar. Namun saya diberitahu oleh Ustaz Mohd. Nor, nanti ada ketua darjah kelas berkenaan akan datang menjemput masuk ke kelasnya.

Memang benar. Kira-kira lima minit sebelum waktu saya sepatutnya masuk ke kelas, datang seorang murid ke bilik guru dan bertanyakan nama saya. Saya diperkenalkan oleh guru di sebelah saya kepadanya. Saya pun diiring hingga masuk ke kelas.

Sebaik saya melangkah masuk ke pintu kelas, ketua darjah menyuruh semua murid bangun hormat dan memberi salam. Saya jawab salam mereka sambil senyum. Selepas mereka memberi salam, saya lihat semua murid masih lagi berdiri . Kenapa ?....Oh baru saya sedar, mereka belum disuruh duduk !.

Setelah diberikan izin , baru mereka duduk. Semua tangan murid di letak ke peha. Saya sempat mencuri pandang, tidak ada seorang pun murid lelaki atau perempuan yang meletakkan tangan di atas meja seperti kebiasaan murid sekolah lain.

Sebelum memulakan pelajaran, saya memperkenalkan diri sebagai guru baru bertugas di situ. Semua murid menumpukan perhatian apa yang saya cakapkan. Dari jumlah murid kira-kira 40 orang dalam kelas tersebut, tidak ada yang dilihat berpaling ke kiri ke kanan. Apa bila disuruh membuka buku pelajaran, serta merta mereka mengikut arahan dan kembali tangan di letak ke peha untuk mendengar penerangan guru.

Saya amat kagum dengan disiplin semua murid dan ini satu kejutan !

Sebelum saya menamatkan pelajaran, ketua darjah minta izin saya untuk menjemput guru lain yang akan masuk ke kelas itu. Apabila saya menamatkan pelajaran sahaja, saya lihat guru tersebut sudahpun  ' sedia ' di muka pintu kelas menunggu saya keluar ! ( Dari peritiwa itu , saya dapat belajar budaya sekolah ini supaya guru perlu ' tepat masa ' bagi memulakan pelajarannya ! ).

Di Sekolah ini murid tidak serentak keluar untuk rehat. Mereka digilirkan mengikut kelas-kelas untuk pergi ke kantin begitu juga dengan guru-guru. Sebelum rehat, pekerja kantin akan datang ke bilik guru untuk mencatat tempahan makanan dan minuman setiap guru pada hari itu. Apabila guru berkenaan datang ke kantin, makanan yang ditempah sudahpun sedia ! .Hebat dan satu kejutan lagi bagi saya....

Pada hari yang lain, saya masuk ke kelas dan selepas pelajaran saya waktu rehat untuk kelas pun tiba......Saya arahkan semua murid bersedia untuk keluar rehat. Ketika itu ketua darjah memberi arahan semua murid berbaris keluar dalam satu barisan panjang hingga sampai ke kantin !.

Sambil mengikuti mereka keluar pintu kelas, saya dapat melihat tidak ada seorang pun murid yang keluar dari barisannya sehingga mereka masuk ke kantin. Di kantin pula, saya perhatikan mereka masih lagi berbaris untuk membeli makanan dan dalam keadaan tertib berdisiplin !.

Melihat suasana begitu, saya terkenang dengan murid-murid sekolah lain di kampung.......



Sabtu, 25 Januari 2014

CATATAN (2) - HARI PERTAMA BERTUGAS




Waktu saya ditugaskan mengajar di Sekolah Kebangsaan Polis Depot, Kuala Lumpur, perkhidmatan pengangkutan bas tidak sampai ke kawasan sekolah. Bas hanya melencung ke kawasan Dato' Keramat dari Kampung Baru. Oleh kerana hal demikian, penumpang bas yang hendak ke kawasan kem dan Sekolah Kebangsaan Polis Depot , mereka terpaksa berjalan kaki untuk ke sana.

Bagi mengatasi keadaan itu, sebelum pindah ke Kampong Baru saya telah membawa sebuah basikal kepunyaan kakak saya yang secara kebetulan baru dibelinya selepas menuai padi musim itu.

Waktu itu, bandar Kuala Lumpur masih tidak sesak dengan kenderaan kereta di jalan raya seperti sekarang. Masih terdapat orang yang menggunakan kenderaan basikal di jalan-jalan bandar seperti Jalan Tuanku Abd.Rahman, Jalan Pudu , Jalan Parlimen dan lain-lain. Oleh itu,  apabila saya menggunakan basikal di jalan bandar, tiada sesiapa yang merasa pelik dan asing.

Sebenarnya, sebelum bertugas pada hari sekolah dibuka, terlebih dahulu saya membuat tinjauan jalan-jalan menuju ke sekolah menggunakan basikal. Maklumlah.....kali pertama berada di Kuala Lumpur . Saya masih tidak tahu nama dan arah jalan-jalannya !

Amat melucukan ! Saya sangat gementar apabila melihat di kiri kanan dipenuhi oleh kenderaan kereta semasa berada di persimpangan jalan yang ada lampu isyarat. Menggigil rasanya !. Namun kerana terpaksa, saya gagahkan juga dengan penuh semangat......

Pada mulanya saya mengikuti jalan raya untuk ke sekolah melewati Stadium TPCA ( ketika itu ). Setelah diberitahu ada ' jalan potong ' melalui kawasan kampung, saya tidak lagi menggunakan jalan tersebut sepenuhnya tetapi hanya keluar dari jalan kampung ke persimpangan jalan masuk ke Dato' Keramat saja.

Walaupun begitu, untuk beberapa hari saya tetap merasa gementar ketika berada di persimpangan jalan sama ada semasa pergi dan balik dari sekolah.
Pada hari pertama bertugas, saya datang berbasikal lebih awal ke sekolah. Kelihatan ramai murid  datang dan juga guru-gurunya semasa saya tiba. Kehadhiran saya, seolah-olah tidak diperhati oleh sesiapapun !.

Selepas melapor diri kepada Guru Besar ( Saya lupa nama beliau...rasa-rasanya Salehuddin ! ) saya berjalan meninjau-ninjau sebentar di halaman sekolah dan tidak lama kemudian loceng dibunyikan. Semua murid berpusu-pusu datang dan membuat barisan mengikut kelas masing-masing. Guru-guru juga turut keluar ke halaman tempat perbarisan murid.

Inilah kali pertama saya melihat jumlah murid dan guru sebuah sekolah yang ramai bilangannya. Mungkin sekitar 700 orang !..... (Kerana semasa saya bersekolah di Madrasah Ehyaul Falah, Sungai Besar dulu jumlah murid hanya sekitar 200 orang dan di Madrasah Khairiah Wataniah, Sungai Haji Dorani sekitar 120 orang sahaja).

Pada mulanya saya tidak tahu di mana kedudukan guru-guru semasa perbarisan murid. Setelah melihat guru-guru berbaris di hadapan, saya pun ikut sama berbaris. Saya kurang pasti bilangan guru-guru di situ. Mungkin sekitar 50 orang lebih !.

Saya lihat ada dua orang guru yang agak berlainan pakaiannya berbanding dengan guru-guru lain. Seorang memakai songkok hitam dan seorang lagi memakai serban. Saya menjangkakan mereka ini tentu guru agama macam saya juga....

Sangkaan saya memang tepat. Guru yang memakai songkok hitam itu namanya Ustaz Mohd.Nor dan yang memakai serban pula Ustaz Haji Yusof ( Saya ketahui nama mereka setelah berkenalan di bilik guru kemudiannya ).
Sesungguhnya keadaan yang dicatatkan,  merupakan satu kejutan dalam sejarah hidup saya !.

Pada hari tersebut, Guru Besar tidak memberikan apa-apa tugasan di kelas kepada saya sehingga loceng tamat waktu persekolahan dibunyikan. Saya dibenarkan ' rehat panjang ' di bilik guru saja , sementara Ustaz Mohd.Nor mengubah suai jadual mengajarnya untuk diberikan kepada saya.

Semasa berada di bilik guru ada beberapa orang guru lelaki yang menyapa saya dan ada yang bertanya dari mana saya datang. Tetapi perbualan kami tidak panjang, kerana mereka masuk  ke kelas masing-masing untuk memulakan tugas.

Keseluruhan guru-guru di situ saya perhatikan semuanya sudah berkeluarga. Cuma ada beberapa orang dilihat masih bujang , seperti saya.

Beberapa hari kemudiannya  baru saya ketahui guru-guru bujang tersebut adalah kumpulan guru Maktab Perguruan Bahasa, Lembah Pantai  dan Maktab Perguruan Harian yang sedang mengikuti program latihan praktikal mengajar di sekolah.

Saya juga kemudiannya dimaklumkan bahawa sekolah  ini adalah salah sebuah sekolah terbaik di Kuala Lumpur dan beberapa orang muridnya turut terlibat dengan rancangan radio ke sekolah-sekolah waktu itu. Wow.....saya amat bangga dapat bertugas di sekolah ini !





Khamis, 23 Januari 2014

CATATAN (1) - DILANTIK MENJADI GURU.


Sudah ditakdirkan oleh Allah SW.....Pada 01 Oktober 1967 saya dilantik oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebagai seorang guru agama di Negeri Selangor Darul Ehsan dan diarah melapor diri bertugas di Sekolah Kebangsaan Polis Depot, Kuala Lumpur.

Persoalan pertama yang timbul dalam fikiran saya : Sekolah tu di mana ?....Nak tinggal di mana kalau bertugas di Kuala Lumpur tu ?.

Al hamdulillah, tentang masalah mengajar dan menghadapi murid sudah tidak bermasalah kepada saya lagi. Kerana saya telah biasa menghadapi murid semasa menjadi guru rakyat di Kampong Parit (7) Gambut, Sungai Besar, (*) seperti pernah dicatatkan dalam blog saya terdahulu.

Tindakan pertama saya untuk mengatasi masalah-masalah tersebut ialah berbincang dengan Tumadi Haji Saleh, rakan sekelas di Madrasah Ehyaul Falah. Beliau turut ditugaskan melapor diri di Sekolah Kebangsaan Jalan Kuantan, Kuala Lumpur.

Dalam perbincangan itu kami bersetuju membuat tinjauan awal dan akan berjumpa dengan kenalan Tumadi yang menjadi guru serta tinggal di Kampong Baru, Kuala Lumpur untuk meminta pertolongan beliau mencari rumah sewa.

Sementara itu, anak saudara kepada Guru Besar Madrasah Ehyaul Falah, Ustaz Haji Abd.Latif bin Ab.Shukor, bernama Tahril bin Selamat yang berkelulusan dari Sekolah Menengah Agama Batu 40. Sabak Bernam ,  turut diarah melapor diri di Sekolah Kebangsaan Convent , Bukit Nenas, Kuala Lumpur. Beliau juga bersetuju turut sama untuk membuat tinjauan awal bersama kami.

Pada  hari yang dijanjikan, kami telah pergi ke Kuala Lumpur dan berjumpa dengan guru kenalan Tumadi bernama Ustaz Abd.Ghani. Beliau telah mencadangkan kami menyewa bilik di rumah Wak Kaslan. Rumah tersebut betul-betul terletak di persimpangan jalan Raja Muda Musa berhadapan dengan Pasar Minggu, Kampong Baru.

Bilik / rumah yang akan kami sewa itu hanyalah satu ruang bangunan dapur yang dibahagi dua dan dibina dinding papan untuk mengasingkan bilik kami dengan bilik dapur rumah Wak Kaslan tersebut. Keluasannya kira-kira 10 X 12 kaki persegi dan mempunyai pintu masuk yang berasingan.

Kami diberikan bilik terebut kerana bilik-bilik lain telah habis disewa , begitu juga dengan  rumah-rumah sewa kepunyaan Wak Kaslan . Sewa bilik yang perlu kami bayar setiap bulan hanya RM 30 ! ( Sewa termurah di antara bilik / rumah sewa beliau ). Syukor Al Hamdulillah.....

Setelah membuat tinjauan dan berundiang. kami bersetuju menyewa bilik tersebut dan akan tinggal bersama seramai tiga orang : Saya, Tumadi dan Tahril......

Catatan : Pada saya bilik sewa tersebut adalah sempit untuk dikongsi tiga orang. Kerana ianya hampir sama dengan keluasan rumah  pondok saya semasa belajar di Madrasah Khairiah Wataniah , Sungai Haji Dorani dulu. Namun, bersyukor kerana sudah ada tempat tinggal sebelum memulakan tugas sebagai guru ! )




PEMBUKA TIRAI !


 
Al Hamdulillah. Sejak sekian lama saya ' berjanji ' kepada pembaca untuk menyambung tulisan saya dalam blog (*)  ' Nostalgia Ehyaul Falah ', maka dengan keizinanNYA Insya Allah mulai hari ini saya akan mencatatkan pengalaman dan pejalanan hidup sebagai seorang guru dan dalam waktu yang sama bertugas sebagai seorang wartawan akhbar ( sambilan ).

Tulisan ini bukan bertujuan untuk bermegah-megah dan berbangga diri. Sebenarnya, sebagai tatapan dan ingatan bersama , terutama kepada ahli keluarga saya sendiri yang mungkin tidak tahu apa yang berlaku dan tersirat dalam hati saya sebagai suami atau bapa kepada anak-anak dalam tugas seharian.

Saya amat terhutang budi kepada Encik Abd.Rahman Anuar ( Allah Yarham - Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya - Amin ! ) kerana mendorong saya serta menyokong kuat untuk menulis dan memberi peluang saya menjadi sebagai wartawan kepada akhbar Kumpulan Utusan Melayu/ Malaysia Berhad, mulai tahun 1986.

Selain itu, saya juga berterima kasih kepada guru-guru yang mendidik dan memberi ilmu semasa belajar di Madrasah Ehyaul Falah , Sungai Besar dan Madrasah Khairiah Wataniah , Sungai Haji Dorani dan menjadikan saya seorang yang berkeyakinan dengan ilmu dipelajari untuk menjadi seorang guru agama ( ustaz ).

Adalah diharapkan tulisan saya nanti akan menjadi pendorong kepada ahli keluarga saya sendiri dan juga pembaca sekalian untuk terus mengharungi hidup yang penuh dengan berbagai ranjau / duri dan cabaran.